Friday, May 29, 2009

Warisan rel bawah tanah

Stesen metro di Paris yang dibina sejak tahun 1900 dan tidak digunakan lagi itu, kini menarik perhatian para pelancong dan pembikin filem kerana kekayaan sejarahnya.




HAXO, salah sebuah daripada stesen metro 'hantu' di Paris, Perancis telah dibina pada tahun 1900 tetapi ia jarang digunakan. Seperti stesen yang lain, kemudahan yang tidak lagi digunakan itu kini menarik perhatian para pelancong dan pembikin filem kerana kekayaan sejarahnya.

Hampir sepuluh stesen kereta api bawah tanah metro di ibu kota Perancis telah ditutup selepas Perang Dunia Kedua. Ia ditutup sama ada kerana jaraknya berdekatan dengan stesen-stesen yang lain atau atas alasan ekonomi.

Semasa tahun-tahun perang, stesen-stesen metro itu menjadi 'rumah' bagi ribuan yang hidup merempat. Sebagai contoh, Stesen Place des Fetes dan Maison Blanche di utara dan selatan masing-masing meneduhi kira-kira 2,000 orang setiap malam.

"Mereka tidur di atas platform, landasan dan tangga," kata Julian Pepinster yang menyelia program memelihara warisan rangkaian rel dan bawah tanah kota yang kaya sejarah ini.

"Untuk tujuan itu, sistem peredaran udara dipasang bagi menapis udara yang tercemar dan tujuh hingga sepuluh tandas telah ditambah," ujarnya.


RAMAI pelancong dari dalam dan luar negara kini kembali mengunjungi ke stesen metro di Perancis ini.


Pada penghujung perang, loceng 'kematian' dibunyikan ke atas stesen-stesen itu.

"Apabila perang berakhir, kuasa elektrik dicatu dan metro hanya beroperasi dengan perkhidmatan asas sahaja. Ia ditutup pada hari Ahad," kata lelaki itu.

Stesen-stesen hantu itu akhirnya mendapat perhatian beberapa pengarah filem yang membuat rakaman di sana. Ia termasuklah filem tahun 2001 The Fabulous Destiny of Amelie Poulain iaitu sebuah filem tentang seorang pelayan Paris yang memutuskan untuk melakukan perubahan yang lebih baik ke atas mereka di sekelilinginya.

Lain-lain filem termasuklah filem Diva iaitu sebuah thriller berkenaan kisah cinta seorang posmen yang menggilai seorang penyanyi opera dan filem tahun 2008 Lem Femmes de l'Ombre tentang wanita-wanita Perancis yang berkhidmat di Resistance dan bekerja sebagai mata-mata semasa Perang Dunia Kedua.


STESEN bawah tanah ini menarik ramai pengarah filem untuk membuat rakaman.


"Banyak filem popular yang berlatar belakang landasan yang tidak digunakan dalam stesen-stesen ini," kata Joel Bordes daripada pihak berkuasa rangkaian pengangkutan RATP bandar.

"Bagaimanapun, filem The Last Metro karya Francois Truffaut bukanlah salah satu daripadanya," katanya merujuk kepada filem Perancis pemenang anugerah pada tahun 1980 yang mengisahkan penaklukan Jerman ke atas Paris pada Perang Dunia Kedua.

Laluan metro pertamanya telah disiapkan pada tahun 1900 dan banyak stesennya terkenal dengan signatur pintu masuk berseni Art Nouveau ciptaan arkitek Hector Guimard.

Banyak pelancong dari dalam dan luar negara kini kembali melawati kemudahan-kemudahan 'hantu' itu sambil berjalan kaki khususnya dalam lawatan-lawatan yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan ADEMAS, yang didedikasikan untuk memelihara sejarah metro.


APABILA perang berakhir, kuasa elektrik dicatu dan metro beroperasi dengan perkhidmatan asas.


ADEMAS, atau Association D'Exploitation du Material Sprague, terlebih dahulu menganjurkan lawatan menyaksikan model gerabak Paris Metro Sprague-Thompson iaitu model gerabak pada tahun 1900-an. Tetapi, program lawatan itu telah dihentikan seketika kerana masalah teknikal.

"Lawatan itu dianjurkan untuk melihat kereta api yang dibina antara tahun 1908 dan 1938 tetapi beberapa masalah teknikal telah berlaku," kata Pepinster.

"Tetapi kini segala-galanya telah pulih dan lawatan biasanya boleh dilakukan pada hari Sabtu atau Ahad. Lawatan terakhir musim ini dijadualkan pada 20 Jun ini," tambahnya.

Sebuah stesen, Saint-Martin, bukan sahaja telah berkhidmat sebagai rumah bagi orang merempat. Bahkan, dengan bantuan Salvation Army, mereka boleh mendapatkan khidmat doktor, memotong rambut atau mandi di stesen berkenaan.

Pelancong-pelancong seakan-akan dibawa ke dunia lama stesen apabila mengunjunginya. Pada dinding berjubin seramiknya masih ada kesan-kesan umpilan poster pudar iklan lama produk Perancis yang kini hanya tinggal sejarah: Olida ham dan Maizena wheat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: