Friday, May 29, 2009

Ujian bangkit kemarahan dunia

Korea Utara menyifatkan ujian nuklear terbaru ini sebagai sebahagian daripada langkah untuk meningkatkan kemampuan persenjataan pertahanan negara.




KEUPAYAAN Korea Utara melancarkan ujian nuklear yang kedua baru-baru ini telah meletakkan negara itu sebagai antara negara kuasa nuklear di rantau Asia dan dunia.

Tatkala kejayaan rejim komunis itu melakukan ujian nuklear bawah tanah sekali gus melancarkan ujian peluru berpandu, kesemua itu disifatkan sebagai sebahagian daripada langkah untuk meningkatkan kemampuan persenjataan pertahanan negara.

Namun ujian tersebut terus membangkitkan kemarahan dunia sehingga mendapat bantahan dan kutukan keras daripada pemimpin-pemimpin dunia serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).




Ujian nuklear bawah tanah yang disifatkan Pyongyang sebagai berjaya itu dikesan diadakan di Kilju, utara negara tersebut.

Dalam ujian terbaru ini, keupayaan dua peluru berpandu iaitu sebuah peluru berpandu darat ke udara dan sebuah peluru berpandu darat ke kapal turut diadakan di sebuah kawasan pantai timur berdekatan bandar Humhung. Ujian itu mencapai sasaran dalam jarak 350 kilometer (km).

Kekuatan ledakan ujian itu dianggarkan hampir menyamai letupan bom-bom atom yang memusnahkan Hiroshima dan Nagasaki semasa Perang Dunia Kedua.

Kementerian Pertahanan Rusia pula melaporkan kekuatan ledakan itu berlaku di antara 10 hingga 20 kilo tan yang membuktikan bahawa ia lebih besar dan kuat berbanding dengan ujian yang dilakukan sebelum ini pada Oktober 2006.

Pada April lalu, Korea Utara telah melancarkan sebuah roket yang dipercayai untuk menguji teknologi peluru berpandu jarak jauhnya.

Ujian itu bukan sahaja menggemparkan dunia malah jelas melanggar resolusi 1718 PBB iaitu resolusi yang diluluskan pada Oktober 2006 sejurus Korea Utara melancarkan ujian nuklear yang pertama. Mengikut resolusi itu, rejim komunis itu diharamkan daripada melakukan sebarang ujian nuklear pada masa depan.


UJIAN nuklear kedua ini disifatkan mengancam keamanan dunia.


Namun Korea Utara terus berdegil dengan melancarkan ujian nuklear kedua pada 25 Mei 2009 dan ekoran itu, ia membangkitkan kemarahan dunia. Berikutan itu juga, PBB mengadakan satu sidang tergempar dengan sebulat suara mengutuk tindakan Korea Utara dan membincangkan tindakan susulan terhadap ujian itu.

Presiden Majlis Keselamatan PBB, Vitaly Churkin dari Rusia berkata, kuasa-kuasa utama dalam Majlis Keselamatan menimbangkan langkah sekatan baru ke atas rejim komunis itu bagi menyekat Korea Utara meneruskan ujian nuklear.

"Sidang tergempar yang berlangsung di ibu pejabat PBB di New York, memutuskan untuk dengan segera merangka resolusi baru Majlis Keselamatan bagi menangani ujian terbaru itu termasuk mengesyorkan sekatan baru ke atas rejim komunis Korea Utara.

"Kesemua anggota Majlis Keselamatan menyuarakan bantahan keras terhadap ujian nuklear yang dijalankan itu dan ia disifatkan mengancam keamanan dunia," kata Churkin.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown turut menyelar ujian nuklear tersebut dan menyifatkannya sebagai mengancam keamanan dunia serta bakal menggagalkan prospek damai di Semenanjung Korea.

Dalam pada itu, ujian nuklear rejim komunis itu telah mendapat perhatian hebat Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) yang melibatkan Menteri-Menteri Luar Asia dan Eropah yang berlangsung di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.


KEKUATAN ledakan berlaku di antara 10 hingga 20 kilo tan yang disifatkan lebih besar daripada ujian pertama.


Dalam satu kenyataan, menteri-menteri luar itu menggesa Korea Utara tidak meneruskan ujian nuklear dan menegaskan supaya mematuhi resolusi yang ditetapkan oleh PBB sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Takeo Kawamura berkata, Korea Utara jelas melanggar resolusi yang diluluskan PBB dengan pelancaran ujian nuklear tersebut dan pihaknya juga tidak akan bertoleransi dengan perkara itu.

Gara-gara tindakan Korea Utara yang bercanggah dengan resolusi 1718 PBB itu, negara jirannya, Korea Selatan menggesa sekutunya, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun bersikap lebih 'berjaga-jaga'.

Sementara itu, keputusan Korea Selatan untuk menyertai Inisiatif Peningkatan Keselamatan (PSI) yang diketuai AS turut mencetuskan konflik sehingga menimbulkan keadaan tidak stabil di Semenanjung Korea.

Tindakan Korea Selatan itu bagaimanapun mengundang rasa tidak senang hati Korea Utara dengan menyifatkan tindakan tersebut sama seperti mengisytiharkan perang terhadapnya.

Pyongyang memberitahu dalam satu kenyataan bahawa, tentera mereka tidak lagi terikat dengan perjanjian gencatan senjata.

"Jika perjanjian itu tidak lagi mengikat kami, Semenanjung Korea akan kembali menjadi kawasan peperangan.

"Ini bermakna tentera Korea Utara tidak berfikir panjang untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap kawasan tertentu di Semenanjung Korea," kata satu kenyataan daripada wakil ketenteraan Pyongyang di sempadan perkampungan Panmunjom.


KOREA UTARA membuktikan melalui ujian nuklear bahawa ia benar-benar ingin menyertai 'Kelab Nuklear Dunia'.


Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa, pihak yang berhasrat memprovokasi mereka akan menerima hukuman sewajarnya tanpa sebarang belas kasihan dan di luar imaginasi mana-mana pihak.

Rejim komunis itu juga berkata, pihaknya tidak menjamin keselamatan laluan kapal AS dan Korea Selatan serta kapal penduduk awam di kawasan tersebut.

"Lebih-lebih lagi, sebarang tindakan yang 'berbau' permusuhan pastinya akan mengundang serangan ketenteraan terhadap mana-mana pihak. Serangan itu juga akan dilakukan dengan segera dan kuat," ujar kenyataan itu.

Dalam satu perkembangan lain, penganalisis kanan mengenai Korea Utara dari Institut Kajian Penyatuan, Choi Jin-wook berkata, ujian tersebut membuktikan ramalan pihaknya bahawa Korea Utara benar-benar mahu menyertai 'kelab nuklear dunia'.

"Mereka mahu perubahan segera dalam dasar AS. Mereka percaya ia boleh dilakukan," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: