Friday, May 29, 2009

Transformasi berbeza




Isma dan Tomok mohon ruang dan peluang untuk terus memartabatkan industri seni tanah air

ADA beberapa persamaan paling jelas mengaitkan dua beradik ini. Selain meminati bidang nyanyian, mereka mula menyanyi sejak berusia belasan tahun. Si adik, Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 24, menyertai pertandingan realiti One In A Million musim ketiga (OIAM 3) di 8TV dan rezeki berpihak kepada vokalis kumpulan New Boyz itu apabila ditabalkan sebagai juara pertama mewakili golongan artis.

Si kakak pula, Ismaliza Ismail, 30, belum sampai sebulan menamatkan pengajian dan bergelar 'graduan' selepas menyertai Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) 17 Mei lalu. Bagaimanapun Isma hanya mampu berpuas hati di posisi kelima program kebanggaan saluran Astro Ria itu.

Tidak seperti Tomok yang menerima ganjaran RM1 juta, ibu kepada lima orang anak itu hanya diberikan trofi dan sebuah single berjudul Bisikan... Godaan ciptaan suami tercinta yang menggunakan nama pena, Aiman dan liriknya hasil nukilan Slen.

Pertemuan dengan Hip baru-baru ini memberi peluang untuk mengorek cerita mengenai mereka. Kedua-duanya hadir dengan isyarat transformasi berbeza namun atas paksi yang sama ingin terus memartabatkan industri seni. Tomok paling ketara transformasinya kerana tampil berbeza tanpa tiada lagi imej tangkap 'leleh' lantas sudah mula tahu pasaran muzik mana yang sesuai dengannya.

Tak kurang hebat Isma yang mula mendapat gelaran Hot Mama selepas 10 minggu berjuang habis-habisan di AF7. Kata Isma, berat badannya susut daripada 55 kg ke 50 kg sepanjang berada di akademi. Cuma yang tidak sedap didengar, masih ada kelompok suara tertentu yang melihat isteri kepada Zulkifli Majid, 37, belum cukup hebat kualiti vokalnya.



Menurut Isma yang hanya menggenggam trofi dan sebuah single ciptaan suaminya sendiri, apa yang paling penting, dia dapat menimba pengalaman berharga kerana AF7 menjadi landasan terbaik untuknya memulakan langkah menyusuri liku-liku gerbang hiburan di Malaysia. Biar ada yang berpendapat tidak wajar Isma hanya menerima trofi tanpa hadiah sampingan, dia bangga menjadi calon tunggal mewakili pelajar wanita.

"Saya hanya bersedia menerima apa juga kemungkinan yang akan berlaku. Saya bersyukur dan menerima segala ketentuan ini. Soal hanya mendapat trofi itu sekadar sampingan tapi apa yang paling penting ialah kejayaan menempatkan diri ke peringkat akhir. Perjuangan yang sebenar bermula selepas saya keluar AF7 kerana itulah permulaan segala-galanya," kata Isma yang ditemani suami sewaktu sesi fotografi ini dijalankan.

Mula menyanyi seawal usia 18 tahun, Isma kerap memenuhi undangan persembahan membabitkan Kombo Seni Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia dan band Dcity Tops IPK Kuala Lumpur. Sebelum menyertai pertandingan AF7, Isma menyanyi selama tiga tahun di Restoran Cerana. AF7 menjadi pertandingan realiti terbesar yang disertainya.

Buat masa ini, Isma belum pasti sama ada mahu kembali menyanyi di restoran itu kerana kini segala urusan seninya selama enam bulan diuruskan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Menurut Isma, dengan kesempatan dan rahmat yang didakap kini, dia tidak mahu mempersiakan peluang yang diberikan.


"Kalau boleh saya mahu fokus di dalam bidang seni ini. Biarpun usia saya dilihat agak lambat untuk menerjah persada seni, ia bukan alasan untuk saya mengorak langkah ke depan. Soal usia bersifat subjektif dan semuanya terpulang kepada rezeki yang ditentukan Tuhan. Kita hanya melakukan yang terbaik dan terus berusaha.

"Paling penting sokongan suami dan keluarga sudah cukup membuatkan saya bersemangat. Tomok pun ada memberikan kata rangsangan dan galakan kepada saya untuk bersedia dalam apa juga kemungkinan yang bakal berlaku di dalam dunia seni. Dengan pengalaman yang dimilikinya selama 10 tahun semestinya dia lebih banyak berdepan dengan pelbagai pahit manis," katanya yang sebelum ini lebih banyak menyanyi lagu tradisional dan balada. Namun, kata Isma, melihat kepada keadaan pasaran album, dia mungkin lebih terarah memilih genre muzik rancak.

Mengalih bicara kepada sisi peribadi, Isma berkahwin dengan suaminya ketika berusia 18 tahun dan dikurniakan lima orang anak iaitu Muhd Haiqal Aiman (11), Muhd Haiqal Aydiel (10), Seri Aida Merlisa (8), Seri Ayreen Merlynda (5) dan Seri Adryana Marcella (1).

Kata Isma, dia tidak melihat status berkahwin dan pertambahan usia itu sebagai penghalang untuk menggapai impian. Katanya lagi, belum cuba belum tahu dan tambahnya, dia tidak menggalakkan anaknya untuk mengikuti jejak menjadi anak seni sepertinya, suami (pernah menganggotai kumpulan 2 By 2) dan Tomok.

"Saya tidak pernah membataskan soal kahwin sekali gus akan menyekat peluang di depan mata. Ia berbalik kepada soal rezeki dan usaha kita untuk mencapai apa yang diingini. Sebelum menyertai AF7 pun saya menyanyi di majlis tertutup dan bezanya cuma saya tidak ke depan saja untuk betul-betul serius menjadi penyanyi komersial. Usia juga bersifat subjektif.

"Mengenai anak, mereka sudah biasa 'ditinggalkan' kalau saya perlu bekerja (menyanyi). Jadi dengan keadaan sekarang pun, mereka sudah faham dengan keadaan itu. Kalau saya tiada sekalipun di rumah, pembantu rumah melaksanakan tanggung jawabnya. Malahan, ibu (Siti Fatimah Haron) pun sentiasa boleh menjenguk apa yang patut di rumah kerana kami tinggal bersebelahan," katanya yang lebih suka melihat anak-anak memberi tumpuan penuh kepada pelajaran.

Tidak semua berani seperti Isma

TOMOK secara jujur memberitahu dia tidak menjangka kakaknya hanya mampu selesa berada di tempat kelima. Kata Tomok yang agak kecewa dengan keputusan itu, dia pada mulanya berharap Isma akan berada di kelompok tiga terbaik. Bagaimanapun, semuanya sudah tertulis dan ia adalah pilihan pengundi.

Tomok memberitahu dia begitu bangga dengan kejayaan yang dipamerkan Isma dan berharap perjalanan seni kakaknya selepas ini akan terus memberi sinar berpanjangan. Jelas Tomok, dengan status yang dimiliki Isma, dia sedar tidak semua mampu mengambil langkah berani seperti kakaknya itu.

"Ikutkan kakak saya memang sudah ada bakat, cuma peluang baru datang sekarang untuk dia menyerlah. Pengkritik AF7 pun tak menafikan dia mempunyai vokal yang baik untuk terus digilap. Saya juga melihat transformasinya di AF7 amat berjaya termasuklah corak persembahan dan gayanya. Berat badannya pun kian susut.

"Di dalam pertandingan itu pun, dia berjaya menyahut cabaran menyanyikan genre lagu lain biarpun sebelum ini, dia lebih selesa menyanyi rentak asli dan pop. Dengan status ibu kepada lima anak, dia boleh berbangga kerana dapat melakukan perubahan tersendiri," katanya di awal bicara.

Kini, selain sibuk memenuhi undangan fotografi dan membuat persembahan, Tomok juga sedang mengumpul material untuk album solonya yang berkonsepkan pop rock seperti mana yang diperjuangkannya sewaktu berentap di dalam persaingan OIAM 3. Kata Tomok, dia tidak berani menjanjikan bila album itu akan muncul, namun apa yang terdaya, dia berharap karya sulung menampilkannya sebagai penyanyi solo itu akan keluar secepat mungkin.

"Selepas menjuarai OIAM 3 pada 1 Mei lalu, saya tidak boleh menidakkan kenangan sewaktu nama New Boyz pernah meletup suatu ketika dulu kembali bertandang pada ketika ini. Saya bersyukur kerana kehadiran dan peluang kedua ini mendapat sambutan yang menggalakkan serta memberangsangkan.

"Saya tidak akan sesekali mempersiakan kesempatan ini. Saya tidak mahu nama Tomok itu sendiri terus dibiarkan berkubur dan kembali dipandang sepi. Gelaran juara juga bukan alasan untuk saya bersikap sambil lewa dan memandang sesuatu perkara itu secara mudah. Nak diikutkan OIAM dua musim terdahulu, naib juara lebih menyerlah berbanding juara.

"Lalu, saya harus buktikan sokongan dan harapan peminat akan terus berbaloi. Saya kini kembali berada di alam realiti dan kena bekerja keras untuk memastikan hayat saya terus bertahan. Jika di dalam OIAM, saya mendapat publisiti dan sokongan meluas kerana bantuan stesen 8TV. Tapi kini, saya perlu bijak mengambil peluang dan perlu bersedia berdepan dengan apa juga kemungkinan," katanya positif.

Profil Isma

  • Nama penuh: Ismaliza Ismail
  • Nama komersial: Isma
  • Tarikh lahir: 21 Mei 1979
  • Umur: 30
  • Status: Berkahwin
  • Pengalaman: Bergelar finalis AF7
  • Mula menyanyi secara serius pada usia 18 tahun


Profil Tomok
  • Nama penuh: Shah Indrawan Ismail
  • Umur: 24 tahun
  • Tempat lahir: Kuala Lumpur
  • Genre muzik: Pop rock & rock
  • Kejayaan: memiliki lima album bersama kumpulan New Boyz, album pertama bersama kumpulan itu pada usianya 15 tahun.
  • Pernah digosipkan dengan penyanyi dan pelakon Hetty Sarlene, bagaimanapun kini Tomok selesa menjalinkan hubungan dengan seorang gadis biasa.
  • Kejayaan: Menjadi juara One In A Million musim ketiga

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: