Friday, May 29, 2009

Tiada masalah tukar tajuk


David Teo tidak kisah dianggap tamak dalam misinya menerbitkan 100 filem dalam masa 10 tahun

PENERBIT filem, David Teo mengakui beliau tiada masalah untuk menukar judul Remp-it Nan Sempit kepada perkataan lain sesuai dengan istilah baru iaitu samseng jalanan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, tiada pihak yang memberi arahan kepadanya supaya perkataan rempit ditukar dan menggunakan istilah baru itu.

David yang ditemui ketika majlis doa selamat filem Remp-it Nan Sempit di pejabatnya di Subang baru-baru ini berkata, setakat ini filem berkenaan sudah pun menerima Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP) untuk memulakan penggambaran.

“Setakat ini kami tidak menghadapi masalah kerana Finas sudah pun mengeluarkan SPP. Cuma kami belum menerima arahan dari polis supaya judul itu ditukarkan. Jika diminta menukar judul filem ini, saya tiada masalah untuk menukarnya.

“Pada mulanya Idham mencadangkan kita gunakan judul Sempit. Tetapi saya tidak setuju kerana judulnya tidak menarik, jadi kita sengaja menambah Remp-it di depan kemudian kita gunakan nama watak utama Adnan atau Nan barulah kita letakkan perkataan sempit,” katanya.

David menafikan filem terbitannya yang berkisar mengenai kehidupan samseng jalanan mempengaruhi penonton sehingga menyumbang kepada peningkatan kes ragut berleluasa.

Katanya, filem terbitannya langsung tidak memaparkan adegan ragut sebaliknya menyelitkan kisah yang boleh dijadikan iktibar kepada masyarakat.

“Tidak adil jika semua pemandu motosikal dituduh sebagai samseng jalanan. Begitu juga dengan filem terbitan saya, kalau anda betul-betul menontonnya, filem saya tidak pernah memaparkan babak ragut.

“Kebanyakan filem saya berakhir dengan mesej positif yang disampaikan secara terang. Ini bererti kejadian kes ragut yang semakin meningkat tiada kena mengena dengan filem,” katanya.

Walaupun menggunakan judul hampir dengan filem terdahulu keluarannya, Remp-it, filem terbaru ini bagaimanapun bukanlah sambungan kepada filem terdahulu sebaliknya sebuah karya baru dan segar. Selain itu genrenya juga berbeza, Remp-it mengetengahkan genre aksi sementara Remp-it Nan Sempit pula memaparkan aksi yang digabungkan bersama elemen komedi.

Filem ke-33 terbitannya ini menelan kos sebanyak RM1.5 juta dan memulakan penggambarannya 24 Mei lalu. Idham nampaknya terus berani apabila mengetengahkan pelakon sedang meningkat Shaheizy Sam sebagai pendukung utama sebagai Adnan atau Nan.

Pelakon lain dalam filem ini ialah Intan Ladyana, Norliana Samsudin, Along Cham, Zack X-Factor, Shahfiez, Cat Farish dan Julai Hana.

Selepas rancak menerbitkan filem berunsur seram, MMP kini mensasarkan filem genre komedi. Setelah Senario The Movie Episod 1 diikuti dengan sekuel filem itu, kemudian Syurga Cinta dan Jangan Pandang Belakang Congkak.

Namun menurut David, setiap filem keluaran syarikatnya dihasilkan berlandaskan kajian iaitu empat elemen yang mampu menarik penonton ke pawagam ialah cinta, komedi, aksi dan seram. Sebagai syarikat pengeluar filem yang produktif, semua elemen itu sudah dicuba dan terbukti berjaya.

“Filem terbitan syarikat saya mementingkan pasaran pembangunan. Kita hanya mengeluarkan filem yang ada nilai komersial, disebabkan itu filem terbitan saya mampu mencatat kutipan box-office.

“Saya tidak kisah sekiranya orang menuduh saya tamak. Saya hasilkan filem bukan untuk merebut duit orang sebaliknya hanya ingin berkongsi hiburan dengan seluruh rakyat Malaysia.

“Konsep saya adalah untuk membangunkan industri dan saya juga memberi peluang kepada pelapis baru. Ini penting untuk pembangunan industri hiburan, saya juga bukan nak menumpang populariti mana-mana artis tetapi saya membantu membangunkan populariti artis,” katanya.

David ternyata mempunyai wawasan tinggi apabila mensasarkan 100 buah filem berjaya diterbitkan apabila usianya memasuki 55 tahun iaitu 10 tahun dari sekarang. Dia optimis sasaran itu mampu dicapai kerana dalam jangka masa lapan setengah tahun berkecimpung dalam dunia penerbitan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: