Saturday, May 30, 2009

Terminator Salvation cabar musuhnya


Deretan filem besar Hollywood tunggu giliran untuk masuk ke pawagam kita

TAHUN 2009 boleh juga dianggap sebagai tahun meriah dengan filem sekuel, prekuel mahupun buatan semula.

Maklum saja, sudah menjadi amalan syarikat gergasi perfileman antarabangsa, apabila sesuatu judul meletup di pawagam, pasti ada sambungan atau kisah seterusnya.

Pada tahun ini, antara filem susulan dan buatan semula yang sudah atau bakal ditayangkan termasuk Transformers: Revenge of the Fallen, Harry Potter and the Half-Blood Prince, Star Trek, G.I. Joe: The Rise of Cobra, Terminator Salvation, X-Men Origins: Wolverine, Ice Age: Dawn of the Dinosaurs, Angels & Demons, Night at the Museum: Battle of the Smithsonian, Fame, Fast & Furious, The Final Destination, H2: Halloween 2, The Pink Panther 2, Crank: High Voltage dan Alvin and the Chipmunks: The Squeakuel.

Anda pilihlah sendiri judul mana yang berkenan di hati. Bagi saya, kesemuanya mempunyai keistimewaan dan pengikutnya sendiri. Cuma, agak menarik apabila dalam banyak judul aksi dan filem berteraskan penggunaan teknologi CGI, terselit sebuah filem buatan semula berjudul Fame. Dijangka ditayangkan September nanti, filem ini dibikin semula daripada filem muzikal keluaran 1980 dengan judul serupa.

Namun, kali ini bukan topik mengenai Fame hendak diperkatakan, sebaliknya filem Terminator Salvation yang dipertontonkan kepada wakil media minggu lalu. Sebaik saja keluar panggung, pelbagai reaksi spontan didengar. Sudah tentulah ada yang menggemarinya, begitu juga ada yang mempersoalkan rasional pengarahnya, McG, menghasilkan Terminator Salvation mengikut acuan berbeza.

Secara peribadi, saya menyenangi pendekatan pengarah yang popular menerusi siri filem Charlie’s Angels ini. Amat tidak adil untuk membandingkan filem keempat Terminator dengan tiga edisi pertama. Untuk apa dihasilkan filem susulan, sekiranya bentuk dan perjalanan ceritanya adalah sama?

Lalu, bagi membezakan penghasilannya dengan pengarah terdahulu, James Cameron dan Jonathan Mostow, McG menjadikan visual filem ini lebih kusam, apabila dia melunturkan warna filemnya. Sedikit sebanyak ia memberikan rasa berbeza apabila menonton gambar dalam bentuk sedemikian.

Penerimaan aktor British, Christian Bale untuk menghidupkan watak John Connor dalam Salvation juga seharusnya membuka mata peminat. Pelakon ini selalunya agak cerewet apabila memilih filem. Lihat saja filem lakonannya terdahulu seperti The Machinist, Velvet Goldmine, Batman Begins, The Dark Knight, American Psycho dan sebagainya.

Dia seorang bintang yang mementingkan skrip dan karakter. Lalu, apabila pelakon ini menerima tawaran membintangi Salvation, pasti ada sesuatu yang menarik mengenai filem ini. Bale juga yang mengecas semula minat orang ramai terhadap francais Batman, maka tidak mustahil dia mampu berbuat begitu juga pada siri filem Terminator.

Di tangan McG, watak John Connor bukan lagi melarikan diri daripada mesin pembunuh yang cuba menghapuskannya, sebagaimana dalam filem terdahulu. Kali ini, Connor tampil menentang robot pemusnah dan Skynet.

Begitu juga beberapa watak baru turut diperkenalkan untuk menghidupkan lagi cerita termasuk watak Marcus Wright yang dilakonkan Sam Worthington. Pelakon Australia itu terpilih menjayakan watak terbabit apabila disarankan sendiri oleh Cameron kepada McG. Tidak menghampakan, apabila Worthington mampu mempamerkan karakter sebuah robot yang berasakan dirinya seorang manusia. Ada pertarungan emosi dalam diri karakter ini, yang membuatkan wataknya seakan lebih menyerlah berbanding Connor.

Salvation juga begitu hebat dengan pelbagai aksi yang dirakam dengan sudut lebih menarik. Ditambah kewujudan mesin terbaru seperti robot gergasi penuai manusia, mesin berupa motosikal canggih dan robot seakan seekor ular, ia menambah keseronokan menonton filem ini.

Babak Wrigt cuba menyelamatkan rakan barunya, Kyle Reese (bapa John Connor) dan seorang kanak-kanak daripada diangkut robot penuai pula antara adegan paling menarik dalam filem Terminator edisi 2009 ini.

Bagi mereka yang merindui kemunculan Terminator asal pula, pasti terhibur dengan babak pertarungan antara Bale dan Arnold Schwarzenegger yang dihasilkan oleh CGI. Walaupun agak singkat kemunculannya, tetapi ia memadai untuk melengkapkan jenama governator itu dengan francais berkenaan.

Terminator Salvation mula ditayangkan di Malaysia pada 28 Mei.

INFO: Carta pecah panggung:

  • 1 - Night At The Museum 2
  • 2 - Angels & Demons
  • 3 - Syurga Cinta
  • 4 - I Corrupt All Cops
  • 5 - Monsters Vs. Aliens (3D)
  • 6 - Star Trek
  • 7 - X-Men Origins: Wolverine
  • 8 - Sarvam (Tamil)
  • 9 - I Love You, Man
  • 10 - Fireball (Thai)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: