Thursday, May 28, 2009

Sedia tukar judul filem


SELAKU penerbit filem Remp-it Nan Sempit, Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG), David Teo mengakui dia tidak berhadapan dengan masalah besar untuk menukar judul filemnya itu kepada Samseng Jalanan sekiranya menerima arahan rasmi daripada pihak berkuasa di negara ini.

Bagaimanapun, kata David, setakat ini, dia tidak menerima sebarang arahan daripada mana-mana pihak untuk menukar judul filem berkenaan.

"Filem Remp-It yang juga genre aksi komedi ini sudah mendapat Sijil Perakuan Penggambaran filem daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), 22 Mei lalu.

Jika filem ini tidak mendapat sijil berkenaan, ia juga menyukarkan pihak saya untuk mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) selepas filem ini siap nanti.

"Justeru, sokongan daripada pihak berkuasa sangat penting untuk saya merealisasikan filem ini," katanya.

David berkata, filem ini juga bukan sambungan filem Remp-it dulu, sebaliknya kisah Mat Rempit yang sudah ditangkap polis dan insaf dengan perbuatannya.

"Bekas Mat Rempit ini juga sudah berkahwin dalam filem Remp-it Nan Sempit. Apa yang dipaparkan dalam filem ini ialah keperitan hidup yang dilalui golongan Mat Rempit ini.

"Mesej yang disampaikan dalam filem ini juga mudah difahami penonton dan ia berpandukan garis panduan ditetapkan pihak LPF. Sebelum menghasilkan sesebuah filem, saya memang mengikut garis panduan ditetapkan pihak mereka terlebih dulu," katanya.

Apapun, kata David, setakat ini, semua filem yang diterbitkan MIG tidak pernah menunjukkan babak ragut, sekali gus menggalakkan lagi gejala ini berleluasa sekarang.

"Malah, kes ragut tetap meruncing sebelum filem berkaitan Mat Rempit dihasilkan lagi. Sebenarnya, tidak adil bagi kita menganggap semua orang yang menaiki motor sebagai Mat Rempit? Ada juga peragut yang melakukan jenayah ini menaiki kereta.



"Sepatutnya, kita tidak boleh menuding jari kepada sesiapapun kerana kebanyakan penjenayah ragut ini berasal dari Indonesia dan bukannya dari Malaysia," katanya ketika mengulas cadangan pihak polis untuk menggantikan istilah Mat Rempit kepada samseng jalanan bagi mengelak publisiti dan pembentukan identiti kepada golongan berkenaan, baru-baru ini.

Dalam laporan sebelum ini, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof juga menyeru semua pihak termasuk media supaya tidak menggunakan istilah Mat Rempit kerana ia seolah-olah menunjukkan mereka jaguh di jalan raya.

Tambah David lagi, walaupun isu rempit hangat diperkatakan semua pihak sejak kebelakangan ini, pihaknya mengambil langkah menjawab semua persoalan berkenaan melalui filem Remp-it Nan Sempit.

"Filem ini masih mengekalkan konsep rempit tetapi disampaikan secara komedi. Apa yang penting, filem ini juga mempunyai mesej berguna untuk disampaikan kepada masyarakat di luar sana," katanya.

Filem Remp-it Nan Sempit arahan Ahmad Idham dan membabitkan bajet sebanyak RM1.5 juta ini baru saja memulakan penggambarannya di sekitar Lembah Klang, 24 Mei lalu.

Barisan pelakon yang membintangi filem ini ialah Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Norliana Samsudin, Along Cham, Zack X-Factor, Shahfiez, Cat Farish dan Julia Hana.

Sementara itu, kata David, tiga filem terbitan MIG Production Sdn Bhd yang menanti tayangan di pawagam tempatan ialah Jangan Pandang Belakang Congkak, Senario The Movie 2, Remp-it V3 manakala filem Syurga Cinta arahan Ahmad Idham menjengah pawagam bermula 21 Mei lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: