Friday, May 29, 2009

Peluang miliki Stacy

Peraduan anjuran Senheng khas untuk peminat Artis Baru Wanita Popular itu

PERNAH bermimpi atau bayangkan selebriti popular singgah ke rumah anda? Peluang keemasan yang tidak dijangka ini mungkin menjadi kenyataan. Tak perlu melengkapkan slogan atau memberi kata laluan yang merumitkan. Apa yang perlu dilakukan, muat turun lagu sebanyak mungkin dan anda mampu membuatkan mimpi indah itu menjadi realiti.

Ganjaran yang dimaksudkan ini ialah peluang mendekati pemenang Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, Stacy. Pertandingan yang dipanggil Take Stacy Home, Download and Win itu dianjurkan label barangan elektrik popular, Senheng (SenQ). Ia sudah berjalan sejak 26 Mei lalu hingga 30 Jun ini. Pemenang bertuah juga berpeluang menjemput 50 orang rakan rapat dalam sebuah parti yang dianjurkan premis terkenal itu.

Menurut Stacy yang hadir pada majlis pelancaran aktiviti itu baru-baru ini di Shah Alam City Centre (SACC) Mall berkongsi perasaan teruja untuk bertemu peminat bertuah yang bakal diumumkan kelak. Pemilihan Stacy rentetan perkembangan seninya yang semakin berkembang maju kebelakangan ini.

“Mudah saja bukan, kalau ada yang mahu bertemu saya secara dekat bolehlah muat turun lagu sebanyak yang mungkin. Saya juga dapat ke rumah peminat yang bertuah itu nanti untuk sama-sama berparti dengan kawan-kawan yang lain. Terima kasih kepada Senheng kerana sudi mengundang Stacy untuk kempen peraduan muat turun dan menang ini,” kata Stacy yang hadir menyumbangkan dua buah lagu termasuk lagu popularnya, Pakai Buang.

Terdahulu, satu majlis pelancaran Download Original Only@senQ Digital Station turut diadakan membabitkan premis itu dengan rakan kerjasamanya, Ikon Works. Apa yang dilakukan itu seiring dengan peredaran zaman yang mula memberi perhatian kepada industri hiburan yang mula cenderung ke arah muat turun kandungan digital berbanding pembelian album dalam bentuk fizikal.

Inisiatif bermakna ini turut mendapat kerjasama erat label syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa yang memungkinkan lagu sama ada Melayu, Inggeris, Cina dan sebagainya dimuat turun secara sah dan mengikut persetujuan masing-masing.

“Ia dilaksanakan sebagai dorongan dan sokongan kepada industri seni. Ia juga sebahagian daripada memberikan perkhidmatan dan kepuasan tak terhingga kepada pelanggan yang selama ini setia menyokong kami di belakang. Harus diingat kami hanya menyokong muat turun secara asli atau sah dan ia juga sebagai penghormatan kami untuk memperkasakan terus dunia hiburan dalam konteks perniagaan.

“Malah kehadiran Stacy untuk kempen Take Stacy Home juga satu penghargaan untuk menarik minat golongan muda mendengar muzik secara ‘baik’ dan tidak cenderung ke arah muat turun secara haram. Stacy juga antara artis remaja yang semakin utuh melebarkan sayap seninya selepas menjuarai pertandingan Akademi Fantasia musim keenam. Kejayaannya hari demi hari membanggakan kita,” kata Pengarah Urusan Senheng Electric (KL) Sdn Bhd dan pemilik SenQ Digital Station, Lim Kim Heng. Turut hadir Pengarah Urusan Ikon Works, Gan Keng Chai.

Kata Gan, dengan tema Menyenangkan, Cepat dan Mampu Dimiliki, Download Originals Only memberi cabang terbaru untuk memudahkan penggemar seni menikmati muzik secara terus dan pantas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: