Saturday, May 30, 2009

Kuasai teknik menyelam

Pelatih-pelatih Sekolah Skuba Antarabangsa (SSI) Scuba Rangers ini bukan saja didedahkan dengan sukan selam skuba, malah mereka juga dididik tentang aspek keselamatan dan disiplin diri.




GELAGAT mereka tidak ubah seperti penyelam skuba profesional. Lengkap berpakaian dengan alat menyelam seperti tangki udara, tolok udara, topeng muka dan jam bawah air, mereka seolah-olah ingin meneroka dunia lautan.

Lebih mengejutkan, mereka adalah kanak-kanak yang berumur antara lapan hingga 12 tahun. Mereka bukan sekadar menang gaya, malah mampu menguasai kemahiran dan teknik menyelam serta mengendalikan peralatan skuba.

Mereka ialah pelatih kanak-kanak selam skuba yang mengikuti kursus Sekolah Skuba Antarabangsa (SSI) Scuba Rangers yang dikendalikan oleh Dolphin Swiming Academy (DSA) bersama edscuba. Mereka akan menghadiri latihan setiap hari Sabtu di Kompleks Sukan Tan Sri Haji Mohd. Said, Seremban 2, Negeri Sembilan.


WAJAH-WAJAH yang bakal menjadi pelapis penyelam profesional Malaysia.





Ketua Jurulatih dan Penyelamat Kelemasan DSA, Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, program Scuba Rangers merupakan kolaborasi di antara DSA dan edscuba untuk menambah aktiviti sukan air dan melahirkan penyelam-penyelam profesional di Negeri Sembilan.

"Kita mahu melihat lebih ramai penggemar aktiviti sukan air meminati dunia lautan khususnya di peringkat akar umbi, sekali gus menanam sikap cintai alam semula jadi.

"Ia juga merupakan satu cabaran kepada DSA untuk terus mempergiatkan lagi aktiviti sukan air bersesuaian dengan saranan kerajaan negeri melihat jaguh sukan dapat dilahirkan.

"Idea untuk memperkenalkan kursus skuba ini tercetus apabila ramai dalam kalangan pelajar yang mengikuti kursus renang di DSA ingin melihat lebih banyak aktiviti sukan air dilaksanakana," katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Tan Sri Haji Mohd Said, Seremban 2 baru-baru ini.


PELATIH Skuba Kids mampu menguasai teknik menyelam dan mengendalikan peralatan skuba.


Ujar Abdul Aziz, program Scuba Rangers ini dibahagikan kepada empat peringkat iaitu Rangers, Pertengahan, Lanjutan dan Master Rangers sebelum mereka layak menerima lesen menyelam.

Katanya, pelatih-pelatih ini perlu menjalani lima latihan kelas pada setiap hari Sabtu bermula dari pukul 9 pagi. Ia merangkumi pengajaran teori dan praktikal dengan bayaran sebanyak RM900.

"Selain kelas untuk kanak-kanak, kita juga menyediakan kelas skuba untuk golongan dewasa komprehensif pada harga berpatutan. Untuk asas skuba, ia bermula pada harga RM250 untuk ahli dan RM300 bukan ahli.

"Apa yang menarik tentang sukan selam skuba ini ialah ia bukan sahaja mengajar tentang disiplin diri, aspek keselamatan malah merupakan alternatif untuk keluarga beriadah bersama-sama," katanya.


ABDUL AZIZ (paling kanan) bersama sebahagian daripada kakitangan edscuba.


Jelasnya, selain menawarkan skuba dan renang, DSA turut mengajar latihan dan ujian penyelamat Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia (LSSM).

Sejak sedekad lalu, DSA telah melahirkan hampir 7,000 perenang dan 28 penyelamat kelemasan.

Sementara itu, tenaga pengajar skuba edscuba, Nor Azlan Zain, 45, berkata, program SSI Scuba Rangers merupakan kelas persediaan kepada kanak-kanak ini sebelum melangkah lebih jauh ke dunia lautan.

"Dalam program ini, ia tidak hanya tertumpu kepada teknik menyelam tetapi penekanan juga diberikan terhadap aspek keselamatan dan disiplin diri.

"Kita tidak mahu mereka hanya tahu menyelam tetapi tidak mengambil berat tentang aspek keselamatan kerana ia akan membahayakan nyawa mereka," ujarnya.

Menyelam ke dasar laut

Tambah Nor Azlan, penerapan mengenai pemuliharaan dunia lautan juga ditekankan dalam program Scuba Rangers edscuba untuk memberi kesedaran kepada kanak-kanak ini tentang kepentingan ekosistem di dasar laut.


BAWAH: Pelatih selam skuba juga akan dibawa meneroka keindahan dasar laut di pulau-pulau di Malaysia.


Apakah kesukaran melayan kerenah kanak-kanak yang mengikuti program Scuba Rangers? Nor Azlan memberitahu, pada mulanya memang sukar melayan gelagat mereka tetapi sebagai tenaga pengajar berpengalaman, mereka perlu pandai mengambil hati pelajar dengan konsep yang menggembirakan.

"Ia merangkumi permainan, tayangan video dan jenaka agar mereka tidak bosan, sekali gus menarik perhatian mereka untuk bertanya dan mendalami dunia penerokaan lautan.

"Dalam pada itu, kita juga mengadakan program ke pulau-pulau peranginan untuk menyelam di laut. Ia dapat membantu para pelatih untuk merasai keadaan sebenar berada di bawah laut malah ia merupakan satu aktiviti melibatkan seisi keluarga," katanya.

Sementara itu, pelatih Scuba Rangers, Siti Nur Aqilah Nor Azlan, 9, berkata, beliau berminat untuk mengikuti program berkenaan kerana tertarik dengan kehidupan laut dan ingin melihatnya dengan lebih dekat lagi.

"Perasaan takut dan tidak yakin sentiasa timbul semasa mula-mula menyertai program ini tetapi apabila sudah menyelam ia satu pengalaman baru yang sungguh menyeronokkan.

"Program Scuba Rangers ini sangat bagus kerana kita dapat mempelajari tentang sukan selam skuba, ekosistem lautan dan menambah stamina serta kesihatan para pelatih," katanya.




Bagi Muhd. Alif Shah Shirah Akashah, 8, beliau tertarik dengan sukan selam skuba kerana ibu bapanya bergiat aktif dalam sukan tersebut.

"Saya selalu mengikuti kedua-dua ibu bapa menyelam di pulau-pulau peranginan di negara ini. Seronok dan mengujakan apabila mengikuti program Scuba Rangers ini.

"Banyak yang dapat dipelajari tentang hidupan laut apabila menyelam di dasar laut," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: