Saturday, May 30, 2009

Jackman, Craig di pentas teater

DUA pelakon ini sememangnya cukup sinonim dengan filem-filem aksi.

Lebih-lebih lagi dengan karisma dan pesona yang dimiliki mereka sudah cukup mampu untuk menarik perhatian peminat menonton lakonan mereka di layar perak.

Daniel Craig terkenal dengan watak James Bond manakala Hugh Jackman pula menerusi watak Wolverine tetapi, jangan terkejut apabila kedua-dua pelakon kacak ini akan disatukan di atas pentas teater.

Karya yang berjudul A Steady Rain itu bakal dipentaskan di Broadway, New York, Amerika Syarikat tidak lama lagi.

Menyingkap sejarah, sebelum mencipta nama sebagai seorang pelakon filem, Craig pernah terlibat dalam pementasan menerusi watak-watak kecil di London.

Bagi Jackman pula, dia sememangnya terkenal di pentas teater di negara kelahirannya, Australia dan pernah memenangi anugerah Tony pada tahun 2004 untuk lakonannya dalam teater muzikal The Boy From Oz.

Untuk pementasan terbaru ini nanti yang ditulis oleh Keith Huff, Craig dan Jackman bakal memegang watak sebagai anggota polis yang bersahabat baik yang akhirnya bermusuhan apabila salah seorang daripadanya terlibat dalam perbalahan di sebuah kejiranan.

A Steady Rain yang diterbitkan oleh penerbit siri filem James Bond, Barbara Broccoli ini akan membuka tirainya pada musim luruh nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: