Friday, May 29, 2009

Haziq sudah ada teman wanita!

Kepetahan Muhamad Haziq Hazem atau Haziq yang mula dicungkil bakatnya menerusi program Tom Tom Bak berkata-kata pasti menarik perhatian sesiapa sahaja. Tidak sekadar di kaca TV, aksi kanak-kanak comel berusia 9 tahun ini di belakang kamera tidak kurang serupa.

Ketika berkesempatan berbual dengannya pada majlis preview dan bertemu para pelakon filem Syurga Cinta baru-baru ini, telatah Haziq mengundang tawa para wartawan. Manakan tidak, cara bualnya penuh jujur dan kadangkala persis orang dewasa!

“Abang Awal banyak membantu saya menghayati watak. Tak tahulah apa akan berlaku kalau dia tiada. Hancur filem ini agaknya. Saya pula banyak bagi nasihat pada Kak Heliza sebab dia tu gemuruh sangat. Tangan dia sejuk kalau takut. Tapi saya paling suka adegan kereta kawalan jauhlah. Saya ambil masa dua hari untuk belajar. Dah hampir rosak kereta tu baru pandai,” kata Haziq serius namun disambut tawa ramai.

Bagaimanapun kata-kata Haziq yang mencetuskan tawa paling besar ialah; “Ya, saya sudah ada teman wanita. Namanya Athira Jane, kacukan Cina dan Melayu. Tulis, tulis, tulis... saya mahu dia gembira bila baca teman lelakinya mengaku dia sebagai teman wanita di akhbar.”

Sudah tentu, apa yang dikatakan oleh Haziq hanyalah gurauan seorang kanak-kanak semata-mata. Seterusnya, Haziq bercerita bagaimana pengalaman menjayakan Syurga Cinta yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang membuatkan dia takut untuk meninggalkan solat.

“Dulu kadang-kadang saya tinggalkan solat bila penat tapi selepas berlakon filem ini saya tak lagi tinggalkan solat sebab takut masuk neraka,” kata peminat komik Marvels ini.

Sebelum mengakhiri perbualan, Haziq sempat berkongsi impiannya untuk bergelar angkasawan dan pengacara yang berjaya satu hari nanti.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: