Thursday, May 28, 2009

Gelagat Ayma gamatkan Tom Tom Bak



Aznil bersama kanak-kanak yang menceriakan Anmum Essential Tom Tom Bak.

Musim keempat 26 episod bermula 31 Mei

PROGRAM kanak-kanak yang juga menjadi pilihan keluarga, Anmum Essential Tom Tom Bak bakal meneruskan musim keempatnya bermula 31 Mei ini di saluran 611 di Astro.

Astro Ceria senantiasa berusaha gigih dalam meneruskan tradisi cemerlangnya memberikan perkhidmatan bermutu kepada pelanggan melalui kepelbagaian dalam pilihan rancangan kepada golongan sasaran tertentu.

Sehubungan itu, musim terbaru ini Tom Tom Bak yang masih mendapat penajaan Anmum Essential akan disiarkan sebanyak 26 episod yang berdurasi selama 30 minit pada setiap siaran.

Pengurus Saluran Astro Ceria, Azlin Reza Azmi berkata, program yang disiarkan setiap Ahad jam 12 tengah hari itu menerima pandangan positif pelanggan menjadikan ia salah satu faktor yang mendorong pihak Astro untuk terus mengatur pelbagai program hebat dengan suntikan elemen baru dan segar.

“Pengisian program Tom Tom Bak musim keempat ini lebih padat daripada musim sebelum ini. Ia sejajar dengan matlamat Astro untuk menjadikan saluran ini peneraju dalam usaha menjadi sebuah pusat informasi selain berpengaruh untuk terus komited dalam memberikan pendedahan dan didikan penting kepada seluruh masyarakat secara amnya,” katanya.

Ayma

Menurut Azlin, pihaknya melihat program itu sebagai sebuah landasan untuk mendidik penonton yang berusia dalam lingkungan empat hingga 14 tahun dengan pendekatan baru yang lebih menyeronokkan.

“Kami berasa terpanggil dan amat berbesar hati untuk menyediakan landasan bagi adik-adik ini untuk menunjukkan bakat yang terpendam mereka tidak kira sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan, tarian dan sebagainya.

“Kami masih lagi mengekalkan pengacara TV lelaki popular, Aznil Nawawi atau lebih dikenali dengan panggilan Uncle Nil selaku hos utama. Anmum Essential Tom Tom Bak Musim 4 terbahagi kepada tiga segmen iaitu Anmum Essestial EJA, Jom Borak dan Ada Bakat Ke?,” katanya.

Segmen Anmum Essential EJA akan menguji kecekapan adik-adik kecil untuk mengeja dengan tepat. Tiga kanak-kanak bertuah yang berumur dalam lingkungan tujuh hingga sembilan tahun akan dipilih daripada khalayak penonton untuk turut serta dalam pertandingan mengeja ini. Mereka kemudiannya diminta untuk mengeja perkataan tertentu yang diberi oleh Uncle Aznil dalam Bahasa Malaysia.

Manakala menerusi segmen Jom Borak pula akan mengajak penonton untuk berhibur dengan telatah adik-adik kecil yang petah berkata-kata bersama dengan Uncle Nil yang akan ditemani pasangannya, adik Ayma yang akan beraksi buat pertama kali dalam musim terbaru ini.

Segmen Ada Bakat Ke? pula akan menampilkan persembahan menarik oleh adik-adik kecil yang berbakat besar dalam bidang nyanyian, lakonan, tarian, bermain alat muzik dan sebagainya. Menariknya segmen ini adalah aksi dan kelainan yang ditonjolkan menerusi pelbagai persembahan yang menghiburkan seperti pertunjukan silap mata, Tarian Singa dan permainan angklung. Bukan itu saja, mereka juga akan menyanyikan pelbagai lagu yang berentak tradisional, rock, pop dan juga patriotik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: