Thursday, May 28, 2009

Dapat duit misteri berjuta labur di meja judi


YANG dan anak perempuannya, Leena.


AUCKLAND - Sepasang kekasih yang memperoleh pinjaman berjumlah NZ$10 juta (RM21.6 juta) ekoran kesilapan teknikal sebuah bank New Zealand, Westpac dipercayai membelanjakan habuan mereka di meja-meja judi kasino di Pulau Macau, lapor sebuah akhbar semalam.

Bank berkenaan mula mengambil tindakan mahkamah terhadap pemilik sebuah kasino antarabangsa di pulau berkenaan kerana membenarkan pasangan itu berjudi di premisnya.

Westpac percaya pasangan Leo Gao, 29, dan teman wanitanya Kara Yang, 30, mengunjungi lokasi perjudian popular itu selepas melarikan diri bersama-sama wang tunai $NZ3.8 juta (RM8.2 juta) ekoran kesilapan bank berkenaan.

Setakat ini, Westpac tidak memberi ulasan terperinci berhubung tindakan undang-undang tersebut tetapi mengesahkan kasino Wynn Resorts Berhad bersama-sama Gao dan ibunya serta seorang rakan niaga mereka disaman bagi menuntut ganti rugi kehilangan berjuta-juta wang milik bank berkenaan.

Pihak bank turut merampas empat hartanah bagi mengecilkan kerugian akibat kesilapan meletakkan titik desimal menyebabkan Gao memperoleh pinjaman NZ$10 juta dan bukan $NZ100,000 (RM216,914) seperti pada permohonannya.

Selepas memperoleh pinjaman tersebut Gao yang berasal dari China, meninggalkan perniagaan stesen petrol miliknya dan melarikan diri ke luar negara bersama Yang iaitu seorang warga New Zealand dan anak perempuannya Leena, 7.

Adik perempuan Yang, Aroha menyusul kemudian selepas mendapat panggilan telefon dari Macau.

Turut melarikan diri ialah ibu dan rakan niaga Gao manakala saudara mara pasangan berkenaan memberitahu media New Zealand bahawa mereka memilih untuk tidak berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: