Saturday, May 30, 2009

Cut Mini buka mata penerbit




Meraih gelaran Pelakon Wanita Terbaik memang tidak pernah diimpikan pelakon berdarah Acheh ini

APABILA wanita berusia 35 tahun ini diumumkan Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Filem Indonesia (IMA) 2009 baru-baru ini, ramai yang membuka mata kerana Cut Mini Theo bukanlah pelakon yang dikategorikan sebagai aktres nama besar di negara berkenaan.

Kejayaan yang dikutip pada majlis anugerah yang diadakan di Stadium Tenis Tertutup Senayan, Jakarta, hasil lakonan memberangsangkan sebagai seorang guru dalam filem Laskar Pelangi membuatkan penggiat seni dan peminat mula memberikan perhatian kepada pelakon berdarah Acheh ini.

Apatah lagi apabila dia berjaya mengetepikan saingan pelakon handalan seperti Widyawati yang bersaing di bawah judul Love, serta Revalina S Temat menerusi filem Perempuan Berkalung Sorban. Dua lagi calon akhir kategori berkenaan ialah Richa Novisha (Pencarian Terakhir) dan Ladya Cheryl (Fiksi).

Laskar Pelangi ialah filem garapan sutradara Riri Riza yang ditayangkan di Indonesia pada 25 September tahun lalu, sempena sambutan Aidilfitri. Ia dibuat berdasarkan buku Laskar Pelangi tulisan Andrea Hirata.

Selain anugerah Pelakon Wanita Terbaik, filem berkenaan turut membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi aktor Ikranegara, serta tiga anugerah hasil undian peminat (SMS); Filem Pilihan, Pendatang Baru Lelaki Pilihan (Zulfani) dan Runut Bunyi Pilihan (Laskar Pelangi / Nidji).



Kata pelakon berkenaan, kejayaan itu tentu sekali membahagiakan dirinya, walaupun sepanjang membabitkan diri dalam dunia lakonan, dia tidak pernah mengimpikan sebarang trofi sebagai balasan atas segala usaha dicurahkan.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk membawa pulang trofi ini bersama-sama saya. Begitupun saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini. Sesungguhnya, sama ada saya diberikan sebarang piala atau tidak, saya sentiasa akan memberikan persembahan terbaik demi pembangunan dunia perfileman Indonesia," katanya.

Menurut anak perempuan kepada pasangan T. Usman Abdullah dan Cut Dermawan ini, kejayaan itu sudah semesti memberikan dirinya semangat untuk terus bergiat cergas dalam dunia lakonan.

"Tidak ada rahsia dalam lakonan saya. Apa yang penting, saya sentiasa bersungguh-sungguh apabila sesuatu tanggungjawab diletakkan ke atas bahu saya. Dengan cara itu, saya berharap kerja saya tidak akan mengecewakan orang lain.

"Jika hendak dikira ilmu lakonan, semestinya dada saya masih belum penuh dengan pengetahuan seni lakon. Masih banyak ilmu lakonan yang ingin saya cari dan pencarian itu saya lakukan dengan menimba pengalaman berlakon di bawah sutradara yang hebat di sini," katanya merendah diri.

Menghargai sokongan suami

KETIKA mengulas kejayaannya pada IMA 2009 yang berlangsung pada 16 Mei lalu juga, aktres ini tidak lupa menghargai jasa kru filem terbabit, serta sokongan suami, Muhamad Safril Sarwono yang dikahwini pada tahun 2000, sehingga dia boleh berdiri di atas pentas utama menerima penghargaan yang cukup berharga.

"Suami saya sendiri mengizinkan saya meninggalkan keluarga seketika untuk menjalani penggambaran di luar daerah," katanya yang pernah membintangi beberapa filem lain seperti Arisan! (2003), Tri Mas Getir (2008) dan Kawin Kontrak Lagi (2008).

Karier seni Cut Mini sebenarnya bermula sejak usianya 15 tahun lagi. Ketika itu dia muncul sebagai model sebuah majalah remaja. Dari situ dia ditawarkan berlakon dalam drama, Catatan Si Boy. Nama Cut Mini mulai dikenal apabila dirinya menjadi model klip video penyanyi Andre Hehanusa.

Pelakon ini juga pernah ‘menetap’ di Malaysia selama sembilan bulan, kerana mengikat kontrak bersama sebuah syarikat produksi yang bekerjasama dengan TV3. Dia terbabit dalam beberapa siri yang dibintangi tujuh pelakon dari tujuh negara, di antaranya Brunei, India, Singapura, Malaysia dan Vietnam.

Setelah kembali ke Indonesia, wanita ini mulai dekat dengan P Project yang kemudian mempopularkan bahasa Melayu versinya. Keakraban itu memberi laluan kepada Cut Mini untuk menerima tawaran sebuah stesen televisyen menjayakan program komedi bertajuk Sang Prabu. Dalam rancangan itu, Cut Mini diberikan peranan sebagai orang Melayu. Dari situ jugalah Cut Mini mendapatkan jolokan pelakon komedi.

Anak bongsu daripada tujuh adik-beradik ini juga masih giat bergerak sebagai pengacara. Antara program dikendalikan olehnya ialah Telkomania dan Berita Selebritis (Betis). Manakala beberapa siri televisyen yang turut dibintangi Cut Mini ialah Kejarlah Daku Kau Kutangkap, Gara-Gara Inul, Kiri Istri Kanan Mertua, Olga, dan Permata Hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: