Friday, May 29, 2009

Cinta Kamal, Liyana




DUA pelakon muda yang sedang rancak memahat nama di persada seni tempatan ini barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi.

Kedua-duanya datang dari medium yang sama iaitu lakonan.

Bezanya ialah Liyana Jasmay atau lebih manja disapa Liyana ini terlebih dahulu mencipta nama menerusi filem Castello berbanding Kamal Adli yang mula dikenali setelah berjaya menjuarai pertandingan Hero Remaja 2007/2008.

Pernah ditemukan dalam drama Otai Rempit yang mengisi slot Cerekarama tidak lama dahulu, Liyana dan Kamal sekali lagi digandingkan dalam drama bersiri Zati Dan Si Mawas yang kini bersiaran di TV3 menerusi slot Legenda setiap Isnin hingga Khamis pukul 4.30 petang.

Biarpun baru dua kali dipertemukan di set yang sama, namun kedua-duanya mesra dan serasi.

Sebetulnya, kedua-dua bintang muda itu memiliki keserasian dan kerana itu juga tidak hairanlah kenapa mereka mudah menempa kegemilangan.

Kamal ada kelebihan - Liyana

Pada pertemuan dengan Hits di lokasi pengambaran Zati Dan Si Mawas baru-baru ini, Liyana tidak langsung berselindung menyatakan perasaan senangnya bergandingan dengan pelakon tampan drama bersiri Impian yang pernah ditayangkan di TV3.

"Saya memang suka dia," itu reaksi Liyana sebaik ditanya tentang gandingannya dengan Kamal.

Bahkan, gadis manis itu turut memuji raut wajah Melayu milik pemuda kelahiran Pekan, Pahang itu.

"Memang industri kita sekarang kekurangan hero-hero yang memiliki wajah Melayu.

"Malah, kelebihan yang dimiliki Kamal berpotensi menolongnya untuk menjadi bintang suatu hari nanti," kata pelakon filem Histeria itu penuh jujur.

Keserasian di antara pelakon sememangnya diakui banyak membantu menyerlahkan lagi mutu lakonan.

Dan bagi Liyana sendiri untuk melakonkan sesuatu watak percintaan tentunya sukar tanpa sedikit perasaan cinta.

"Berlakon kisah cinta sememangnya perlu ada sedikit rasa suka dan cinta, kalau tidak memang tak menjadi. Dia ada wajah seorang hero dan juga seorang yang romantik.

"Sebab itu saya rasa dia memang ada potensi untuk buat sesiapa saja jatuh cinta kepadanya," ujar Liyana jujur meluahkan pendapatnya.

Bagi Kamal pula, sikap profesional Liyana sebagai seorang pelakon memudahkannya menghayati watak yang diberikan.

Menurutnya, biarpun Liyana lebih berpengalaman dalam lakonan berbanding dirinya, namun sikap profesional dan gemar membantu membuatkan Liyana mudah di dekati.

"Sebenarnya ini bukanlah pertama kali saya berlakon dengan Liyana. Memang mudah bergandingan dengannya malah saya suka sikap dia yang agak gila-gila.

"Ketika di set penggambaran, dia memang banyak membantu terutama dalam memberi mood lakonan," kata pelakon yang baru-baru ini heboh dikatakan bercinta dengan pelakon muda, Intan Ladyana itu.

Berbicara tentang siri Zati Dan Si Mawas, baik Liyana mahupun Kamal, kedua-duanya punya pandangan yang berbeza.

Drama yang diadaptasi dari kisah fantasi, Beauty And The Beast itu kata Liyana tidak sukar untuk difahami memandangkan ramai yang mengetahui tentang perjalanan kisah klasik popular Inggeris itu.

Bahkan menurut gadis yang juga berasal dari Pahang itu, dia sudah tidak perlu menonton video Beauty And The Beast lagi memandangkan sudah menghafal kesemua jalan cerita kisah yang menjadi minatnya sedari kecil itu.

Dua watak uji Kamal

Ramai yang menyatakan kelebihan gadis berbintang Aries itu bukan sahaja terletak pada bakat lakonannya semata-mata, tetapi juga pada matanya yang kuyu dan keayuan wajahnya.

Kelebihan itu membuatkan Liyana lebih banyak menerima tawaran untuk watak-watak baik seperti gadis yang sering teraniaya.

Dan untuk watak Zati, Liyana sekali lagi diberi kepercayaan melakonkan watak yang hampir serupa.

Untuk kisah tersebut, cabaran mungkin lebih kepada Kamal yang perlu menghadapi dua watak iaitu seorang anak raja bernama Iskandar dan juga Mawas.

Akui Kamal, melakonkan dua watak dalam satu masa memberikan cabaran berbeza buat dirinya yang masih hijau di arena lakonan.

Apatah lagi, sebelum ini dia yang sering melakonkan watak yang boleh dianggap biasa-biasa saja, kali ini tampil dengan watak yang lebih matang.

"Dalam cerita ini, saya perlu menggunakan topeng berbulu untuk melakonkan watak Mawas.

"Antara cabaran yang saya rasa sukar ialah ekspresi muka susah nak tunjukkan kerana topeng tersebut menutupi keseluruhan wajah saya.

"Kadang-kadang apa yang saya nak cuba sampaikan menerusi riak muka memang susah sebab itu saya perlu bergantung kepada tonesuaraapabila mengenakan topeng," kata Kamal yang semakin murah rezeki di bidang lakonan.

Selain Liyana dan Kamal, siri 20 episod itu turut dibintangi oleh pelakon-pelakon yang tidak asing lagi, Sharifah Sahora, Hairie Othman, Zarina AF2, Ika Nabila, Farisha Ayu, Cat Farish, Ruminah Sidek dan Dian P. Ramlee.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: