Friday, May 29, 2009

Bukan klon Pussycat Dolls




MEREKA dicanangkan sebagai kumpulan yang mampu mengatasi populariti dan kemasyhuran Pussycat Dolls, yang terkenal dengan kebolehan menyanyi sambil menari dengan baik.

Namun masih terlalu awal untuk menilai fizikal luaran The Saturdays apatah lagi mereka masih belum mampu menjadi fenomena luar biasa kepada peminat di seluruh dunia berbanding Pussycat Dolls.

The Saturdays, sebuah lagi kumpulan yang dianggotai oleh empat wanita jelita iaitu Una Healy, Mollie King, Frankie Sandford, Vanessa White dan Rochelle Wiseman.

Sebagai kumpulan baru, The Saturdays pastinya berbangga apabila dikaitkan dengan sebuah kumpulan yang sudah mencipta nama di merata tempat sebelum ini.

Cuma The Saturdays ingin menegaskan bahawa mereka bukannya meniru atau menyaingi Pussycat Dolls, sebaliknya kumpulan yang dibarisi oleh wanita jelita itu mengangkat visi dan matlamat tersendiri.

Salah seorang ahli kumpulan The Saturdays, Vanessa yang peramah dan cukup senang sekali dapat berada di bumi Malaysia memberitahu, kumpulan mereka tidak mempunyai persamaan dengan Pussycat Dolls, malah jauh sekali untuk bersaing.

"Kami sememangnya amat mengagumi kumpulan Pussycat Dolls, tetapi muzik kami amat berlainan dengan mereka.

"Kami terarah membawakan lagu-lagu berentak pop dan ia dilihat cukup berbeza dengan muzik Pussycat Dolls.

"Persamaan kami dan Pussycat Dolls hanyalah dengan keupayaan masing-masing boleh menyanyi sambil menari dengan baik semasa membuat persembahan," katanya semasa ditemui pada sidang media The Saturdays Live di Zouk, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kunjungan The Saturdays ke Malaysia untuk menjayakan The Saturdays Live di Zouk, KL dengan kerjasama Universal Music dan AirAsia selaku pihak penaja.

Kumpulan itu diterbangkan dari kota London ke KL dengan penerbangan AirAsia X pada 10 Mei lalu.

Untuk bersaing atau menyaingi tangga kehebatan dengan kumpulan sehebat Pussycat Dolls, jauh sekali sekali kepada The Saturdays. Mereka masih ranum, malah banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk meneruskan perjuangan mereka dalam dunia seni.

"Paling penting, kami mahu menonjolkan bakat nyanyian dan tarian yang ada terlebih dahulu dalam menambat hati para peminat.

"Kami tidak melihat sudut glamor dalam soal ini, sebaliknya biarlah kami mengumpulkan peminat dahulu sedikit demi sedikit sebelum benar-benar berada di kemuncak," akui Vaness berterus-terang.

Sabtu hari yang indah

Apabila mendengar nama The Saturdays, sudah pastilah ramai yang tertanya-tanya, mengapa nama hari yang dipilih untuk kumpulan itu.

Kumpulan yang berasal dari United Kingdom itu bagaimanapun sempat menjelaskan relevan The Saturdays dipilih sebagai nama kumpulan mereka.

Menurut Rochelle, hari Sabtu ada signifikan tersendiri dalam kehidupan setiap manusia di dunia ini. Sama halnya juga kepada The Saturdays yang sebulat suara memilih nama yang dianggap sedikit pelik dan lain daripada yang lain.

"Sabtu merupakan hari kegemaran setiap orang dalam tempoh seminggu. Selalunya hari itu jugalah menjadi masa terbaik untuk keluar berhibur bersama teman-teman dan orang tersayang terutama pada malam hari.




"Tanyalah sesiapa sahaja, pastinya mereka menyukai hari Sabtu," jawabnya sambil tergelak manja.

Bangga dengan irama pop

Dalam pada itu, Rochelle sempat menangkis tanggapan orang ramai yang seolah-olah memperlekehkan keputusan mereka, berkiblatkan jalur muzik pop dalam meneruskan kembara sebagai anak seni.

"Kenapa orang ramai malu untuk mengakui mereka meminati genre muzik rock?

"Apa yang penting, kami merupakan kumpulan muzik wanita sejati dan kami cukup menyukai apa yang kami perjuangkan.

"Kami benar-benar meminati dan menghargai irama jenis ini. Kami cukup teruja dapat bergabung dalam satu kumpulan sambil menyanyikan lagu-lagu yang diminati peminat di Asia dan termasuk Malaysia.

"Paling utama, kami bukannya model yang tidak boleh menyanyi secara langsung di depan khalayak. Kami semua boleh menyanyi dan menari. Ini yang membuatkan The Saturdays unik.

"Kami yakin peminat menyukai muzik pop yang ditampilkan kerana muzik kami bukan sahaja untuk golongan dewasa, malah kanak-kanak.

"Selain itu, muzik kami juga banyak dipengaruhi oleh kumpulan yang menjadi idola kami sejak dahulu iaitu Spice Girls," kata Rochelle.

Mengenai keserasian mereka sebagai satu kumpulan, Rochelle berkata, mereka berlima memang mempunyai hubungan yang akrab seperti keluarga yang besar.

"Selain bergabung dalam satu kumpulan, kami juga berkawan baik dan saling memahami di antara satu sama lain.

"Lantaran itu, kami tidak pernah berhadapan dengan masalah pergaduhan sesama sendiri kerana kami selesa bekerja dalam satu kumpulan," terangnya.

Secara peribadi, kata Vanessa lagi, penampilan single pertama The Saturdays, If This Is Love juga menjadi perkara paling menakjubkan bagi kumpulan baru seperti mereka.

"Kami sudah bekerja keras dalam tempoh yang panjang untuk berikan yang terbaik kepada album pertama kami.

"Sudah sampai masanya kami menonjolkan kepada orang ramai tentang siapa sebenarnya kami dan kemampuan yang kami miliki," katanya.

Album sulung mereka yang berjudul Chasing Lights menampilkan lagu-lagu menarik seperti If This Is Love, Up, Issues, Just Can't Get Enough dan Work.

Selain mini konsert yang diadakan di Zouk pada 12 Mei lepas, The Saturdays juga akan menjayakan sesi jelajah dengan kerjasama AirAsia ke Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, Manila dan Hong Kong pada Julai nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: