Saturday, May 30, 2009

Austin Mini ceriakan hari

Kereta yang dibeli pada harga RM12,000 itu diberi nama Hip Hop. Azharina mengakui keretanya setakat ini mudah dikendalikan tanpa perlu berdepan dengan banyak masalah.


TIDAK akan membawa kereta ini untuk tujuan membeli-belah kerana bimbang tidak cukup ruang untuk mengisi barang.


SEMUANYA bermula apabila penyanyi bersuara serak-serak basah, Azharina Azhar atau Azharina ingin membelikan sebuah kereta untuk adik kesayangan, Mohd. Adam My. Ahmad Al-Azhar, 15.

Waktu itu, adik lelakinya ingin memiliki sebuah kenderaan yang dapat digunakan untuk ke sekolah dan berjalan-jalan di sekitar tempat tinggal mereka di Puchong, Selangor.

Ditambah pula, Adam merupakan seorang individu yang cukup menggilai kereta yang juga menjadi kegilaan seluruh ahli keluarga. Justeru, Azharina sanggup memperuntukkan sejumlah wang untuk melunaskan hajat adiknya.


SANGGUP berhabis RM23,500 untuk mencantikkan kereta Austin Mini 850 tahun 1976 miliknya.





Menurut Azharina, kereta Austin Mini 850 buatan tahun 1976 itu dibeli melalui seorang jirannya yang berbangsa Cina kira-kira empat tahun lalu.

"Pada mulanya, adik saya mahukan Volkswagen lama sebagai kereta pertama miliknya.

"Suatu hari, saya terlihat kereta ini dan hati terus menyukainya sedangkan adik saya yang ingin membelinya.

"Keterujaan saya pula yang lebih berbanding adik sendiri. Saya segera ke rumah pemilik kenderaan itu dan menunggu di luar rumahnya.

"Terkejut tidak terkata apabila anjing tuan rumah tiba-tiba muncul di depan dan menyalak bagai hendak gila.

"Nasib baiklah kami tidak diterkam oleh haiwan itu," katanya sambil tertawa ketika ditemui pada sesi fotografi Ini Mobilku di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sambung wanita berusia 24 tahun itu, dia kemudian bertemu dengan pemilik Austin Mini berkenaan dan berbincang lebih lanjut tentang penjualan kereta tersebut.

Alhamdulillah, saya dapat membeli kereta itu pada harga RM12,000. Dicampur dengan prosedur tukar hak milik dan menukar dokumen, jumlah keseluruhan pembelian kereta ini adalah sebanyak RM14,000.

"Sewaktu kali pertama mendapat kereta ini, saya terkejut besar melihat kondisinya yang teruk dan nampak macam besi buruk sahaja.

"Saya tidak mampu membayangkan bagaimana keadaannya. Hanya Allah sahaja yang tahu rupanya pada waktu itu," jawab Azharina.

Enggan membuang masa disebabkan hati sudah tidak sabar-sabar untuk melakukan modifikasi terhadap kereta klasik itu, maka Azharina segera menghantarnya ke bengkel.

"Banyak jugalah wang yang saya keluarkan untuk memperbaiki kereta ini menjadi sebuah fizikal yang antik dan menarik.

"Saya tukar enjin, tempat duduk kulit, penghawa dingin, memasang kipas dan bermacam-macam lagi hingga wang saya habis dalam anggaran RM23,500.

"Biarpun begitu, saya gembira dengan perubahan kereta ini. Ia kelihatan comel apabila berada di jalan raya," jelas Azharina sambil tertawa riang.

Cuma apa yang membuatkan Azharina tersentak apabila adiknya tidak menjaga kereta tersebut dengan sebaik-baiknya.

"Adik saya sekadar bawa kereta ini tanpa menjaga kebajikannya yang disifatkan sebagai kereta klasik. Hakikatnya, ia memerlukan sepenuh penjagaan apatah lagi usianya sudah mencapai hampir setengah abad.

"Suatu hari apabila adik saya ingin pulang dan menetap semula di kampung halaman saya di Sabah, dia minta kebenaran saya untuk membawa sekali kereta ini bersama-samanya.

"Saya tidak setuju sebab tahu dia tidak akan menjaganya dengan baik. Biarlah kereta ini terus tinggal dengan saya.

"Sekurang-kurangnya, saya boleh memandu ke mana-mana. Bentuknya yang kecil memudahkan pergerakan untuk saya ke mana-mana.

"Kini, saya menjadi pemilik sebenar kepada Austin Mini ini," terang Azharina yang kini semakin popular dengan lagu terbarunya, Rasa.

Ceriakan hari orang lain

Bercakap pengalaman memandu kereta tersebut, Azharina memberitahu, ia mudah dikendalikan tanpa perlu berdepan dengan banyak masalah.

"Selalunya kereta lama, ada sahaja ragamnya sehingga menyusahkan pemiliknya. Namun, hal itu tidak terjadi pada kereta ini," ujarnya yang memberitahu bahawa dia lebih suka memandu kereta ini ke pejabat yang terletak hanya lima minit dari kediamannya di Puchong, Selangor.

Menurutnya, selain itu, saiznya yang kecil memudahkan Azharina meletakkannya di parkir walaupun terpaksa 'menyelit' di antara kenderaan yang banyak terdapat di kawasan pejabat.

"Kalau hendak lepak atau bersantai di pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur, saya juga akan memandu kereta ini.

"Biasanya, saya akan pandu kereta ini ke Pavilion pada waktu petang bersama-sama pekerja saya.

"Lebih mudah untuk kereta ini 'mencelah' di sana dan sini jika berlaku kesesakan lalu lintas.

"Cuma, saya tidak boleh bawa kereta ini kalau hendak membeli-belah. Setakat berjalan-jalan okeylah, sebab takut tidak cukup ruang untuk saya masukkan barang-barang yang dibeli nanti," akui Azharina yang sudah menanam impian untuk membeli sebuah lagi kenderaan sama ada baru atau lama pada tahun depan.


KERETA comel kesayangan Azharina ini tidak banyak menimbulkan masalah.


Dalam pada itu, Azharina melihat kereta miliknya ada signifikan kepada orang lain. Jangan terkejut kerana beritahunya, Austin Mini itu mampu menceriakan hari sesiapa sahaja yang melihatnya di jalanan.

"Saya pernah berdepan dengan peristiwa sekumpulan budak-budak yang terlihat kereta ini tersenyum sendirian melihat warnanya yang cukup unik.

"Bukan sahaja budak-budak, malah ada juga warga tua yang tergelak melihat keistimewaan kereta saya," ungkit Azharina tentang kereta yang dimilikinya itu.

Sempat membongkar rahsia diri, Azharina mengakui kereta Austin Mini itu mempunyai nama yang agak menarik. Barangkali ada sesetengah pihak beranggapan gelarannya tidak sesuai dengan rupa kereta itu.

"Jangan main-main kerana kereta ini saya namakannya Hip Hop. Ia menunjukkan bahawa tuan punya kereta ini juga gila-gila dan santai," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: