Thursday, May 28, 2009

42 tahun peluru di kepala


RUPA bentuk peluru yang tertanam di kepala Wenying. Gambar X-ray menunjukkan sebutir peluru yang tertanam di bahagian depan kepalanya.



WENYING


CHONGQIN - Seorang pesara di China, He Wenying akhirnya lega selepas sebutir peluru yang tertanam di dalam kepalanya sejak 42 tahun lalu akhirnya berjaya dikeluarkan, lapor sebuah akhbar semalam.

Peluru berukuran 3.3 sentimeter panjang itu berada di antara telinga dan rahang wanita berkenaan ketika berlakunya Revolusi Budaya di China pada 1967.

Ketika itu, sebutir peluru sesat mengenai Wenying apabila askar-askar komunis bertempur dengan kumpulan penentang.

Pesara berkenaan yang kini berusia 65 tahun mengadu mengalami sakit kepala sejak itu tetapi hanya menyedari terdapat peluru pada kepalanya apabila dia mendapatkan rawatan di sebuah hospital berhampiran pada 1978 kerana sakit kepala.

Bagaimanapun, beberapa doktor meminta Wenying pulang ke rumah kerana keadaan hospital berkenaan yang daif pada masa itu.

Selama tiga dekad sakit kepala wanita itu datang dan pergi namun dia hanya mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan selepas kesakitan merebak ke seluruh badannya.

Peluru tersebut akhirnya berjaya dikeluarkan beberapa orang doktor dan Wenying kini semakin sembuh dan dibenarkan pulang ke kediamannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: