Thursday, April 30, 2009

Ujian akhir Bob, Sarah


BESAR harapan Yusrizal Yusof (Bob), 28, dan Siti Sarah Raisuddin, 25, untuk melakar kejayaan di luar negara selepas berjaya mengukir nama di tempat sendiri. Namun, mereka perlu melalui satu halangan lagi untuk melangkah ke Hollywood apabila peserta yang terpilih menyertai World Championship of Performing Arts (WCOPA) akan beradu bakat pada peringkat akhir di Istana Budaya (IB), Ahad ini.

Program itu juga akan disiarkan secara langsung di TV2, dihoskan Jehan Miskin dan Vanessa Chong. Pertandingan WCOPA membabitkan kategori vokal, tarian, instrumental, lakonan dan peragaan.

Bob dan Siti bertanding untuk kategori vokal apabila mereka perlu menyertai sekurang-kurangnya lima genre muzik daripada 14 genre yang disediakan termasuk pop, rock, jaz, world music dan R&B. Pemilihan peserta yang layak ke peringkat akhir dipilih berdasarkan darjah dan merit setanding atau lebih baik daripada penghibur antarabangsa.

Setiap persembahan diadili dengan tegas juri terdiri daripada penasihat persembahan, Deja Moss dan Syafinaz Selamat (vokal), Dayang Mariana Ab Bolhassan dan Zainal Abidin Bujang (tarian), Mohd Yazid Zakaria dan Samuel J Das (instrumental), Tengku Norazura Tengku Awang dan Adrew (peragaan), Hans Isaac serta Samantha Schubert (lakonan).

Sebelum berlepas ke Hollywood pada 10 Julai ini, peserta terpilih untuk mempamerkan kehebatan masing-masing di sana akan diberi latihan seminggu lagi di IB. Rombongan Malaysia berada di sana sehingga 19 Julai.

Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd Daud yang hadir pada sidang media WCOPA di IB berkata, pemenang utama akan menerima RM50,000.

Jika peserta yang pergi menang untuk kategori diwakili, kementerian akan memberi sejumlah imbuhan yang dipersetujui Kabinet selepas mereka kembali ke tanah air. Pemenang juga berpeluang mendalami ilmu seni di Hollywood selama setengah tahun yang menelan belanja RM500,000.

"Bagaimanapun, mereka perlu membiayainya sendiri. Kementerian tiada peruntukan untuk itu dan mereka yang ingin belajar di sana perlu mencari sumber kewangan sendiri.

"Peserta yang berjaya ke Hollywood juga akan diberi keutamaan menjayakan aktiviti di bawah anjuran kementerian dalam tempoh setahun iaitu Julai tahun ini hingga Julai 2010.

"Bagaimanapun, tiada kontrak antara kementerian dengan peserta, tetapi diharap mereka dapat memberi kerjasama terhadap aktiviti anjuran kementerian," katanya.



Bob berkata, dari segi pemilihan lagu dia banyak berbincang dengan pengurusnya, Syuib Ismail.



Katanya, kekuatan persembahan terletak pada lagu yang dipilih sebab itu mesti membuat pemilihan dengan teliti untuk lagu yang akan dipertandingkan pada peringkat akhir di IB.

"Begitu juga lagu yang bakal dibawa ke sana sekiranya terpilih. Banyak lagu yang bagus, tetapi tiada kekuatan dan kelebihan untuk dipertandingkan.

"Cabaran paling besar apabila setiap peserta diberi masa seminit untuk mempersembahkan lagu mereka. Jadi ia mestilah lagu terbaik dan disampaikan dengan cara yang cukup berkesan.

"Pada pertandingan ini, kemantapan vokal paling diutamakan. Ia pertandingan besar membabitkan penyertaan daripada 60 negara dari seluruh dunia. Tahun ini WCOPA menerima penyertaan paling tinggi.

"Saya perlu manfaatkan persembahan dalam masa seminit. Sebenarnya dalam masa sangat pendek itu apalah sangat peserta boleh tunjukkan. Sebenarnya susah hendak pilih lagu kerana daripada keseluruhan lagu itu saya perlu mencantumkan rangkap menarik supaya dapat dinyanyikan dalam masa seminit.

"Oleh itu saya akan menyampaikan satu lagu medley dan satu lagu Inggeris. Turut disisipkan lagu Melayu asli, Gunung Banang. Saya tidak berani meletakkan keyakinan 100 peratus terhadap pertandingan akhir ini. Bagaimanapun, saya tidak boleh memandang remeh pertandingan ini. Saya akan buat apa yang termampu dan terbaik kerana pertandingan ini amat bermakna untuk saya serta peminat," katanya.

Dalam kegembiraannya untuk melakar nama di luar negara, Bob agak terkilan kerana penganjur pertandingan, World Stars Road to Hollywood tidak menyediakan tiket untuk pengurus artis.

"Andai saya berjaya melepasi halangan ini, banyak persiapan perlu dibuat apatah lagi apabila sampai di Hollywood. Saya perlu memberi perhatian pada persembahan dan jika Syuib ada bersama, dia boleh menguruskan perkara lain.

"Saya akan berusaha membawa Syuib bersama dan mungkin saya akan mencari penaja untuk menaja tiket penerbangannya ke sana," katanya

Siti Sarah pula berkata, dia sudah membuat persediaan hampir sebulan dan memilih dua lagu Inggeris untuk dipersembahkan pada pertandingan akhir di IB.

"Kalau ada rezeki dapatlah saya ke Hollywood. Saya akan menyanyikan satu lagu rancak dan satu berentak perlahan. Berjaya atau tidak menjejakkan kaki ke Hollywood, saya tetap membuat persediaan rapi kerana apa jua bentuk pertandingan amat penting kerana ia memberi pengalaman dan pendedahan baru.

"Jika berjaya ke Hollywood, saya tidak mahu terlalu memikirkan kemenangan kerana perlu bersaing dengan peserta daripada seluruh dunia. Apapun saya akan melakukan yang terbaik untuk negara kita," katanya.

Tahun lalu, WCOPA diwakili Norazhmahwati Abd Aziz, 32 atau Noryn Aziz dan dia berjaya mengharumkan nama negara apabila menggondol empat emas iaitu satu untuk kategori pop, R&B/jaz dan original, satu untuk kategori kumpulan vokal senior berkumpulan serta kategori vokal pop terbaik dan anugerah industri.

Sementara satu perak diraih bagi kategori broadway dan dua pingat penghargaan. Ikhwal Hafiz Ismail, 16, pula membawa pulang empat emas dan satu perak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: