Thursday, April 30, 2009

Tandatangan untuk penyu


MAMPUKAH spesies penyu belimbing ini diselamatkan?


ADAKAH anda antara mereka yang gemarkan makanan eksotik? Baik daging haiwan terancam mahupun telur penyu yang kononnya jauh lebih enak daripada telur ayam?

Jika ya, mungkin selepas ini anda harus berasa malu dengan diri sendiri. Sebabnya anda mungkin tidak sedar, bahawa anda telah meragut sebuah peluang kehidupan daripada telur penyu ini.

Menyedari ancaman langsung ke atas survival hidupan marin ini, sebuah Kempen Egg=Life (Telur = Kehidupan) dilancarkan oleh badan bukan kerajaan, WWF-Malaysia di ibu negara baru-baru ini.

Kempen yang bermula sejak sambutan Hari Bumi, 22 April lalu akan berlangsung sehingga 30 September ini. Program tersebut meletakkan sasaran untuk mengutip sejumlah 40,000 tandatangan daripada orang ramai bagi membantu survival penyu. Antara gesaan kempen ini termasuklah mengharamkan pengambilan dan makan telur penyu serta penjualan mana-mana bahagian hidupan marin ini.

Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma berkata, kempen ini juga diharapkan menjadi titik tolak sokongan padu orang ramai terhadap usaha menyelamatkan khazanah marin tersebut.

"Penyu memainkan peranan penting dalam mengekalkan sistem ekologi marin yang sihat. Ia juga sistem ekologi yang sama dalam memulihara industri perikanan dan pelancongan kita.


SETIAP hidupan termasuk anak penyu mempunyai hak untuk hidup.


"Malangnya, survival penyu diancam kepupusan akibat pelbagai faktor. Jadi, kempen ini diharapkan dapat menjana sokongan terhadap penggubalan undang-undang yang mengharamkan penjualan dan pengambilan semua telur penyu di Malaysia," katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut.

Selain itu, kempen tersebut juga berhasrat menggesa penggubalan undang-undang Persekutuan yang lebih holistik dan komprehensif bagi memulihara hidupan marin ini.

Menurut Dionysius, penyu belimbing telah diiktiraf pupus di Malaysia. Jika sekitar 1950-an, sebanyak 10,000 sarang penyu ini direkodkan di pantai Rantau Abang setiap tahun, berita buruknya, kini hanya kurang daripada 10 yang dicatatkan.

Setiap hari, penyu-penyu ini terdedah kepada pelbagai risiko kepupusan. Penjualan telur penyu yang tidak terkawal, terperangkap secara tidak sengaja pada peralatan menangkap ikan dan pencemaran perairan dan kawasan pembiakan adalah antara yang membinasakan hidupan marin ini.

Di Semenanjung Malaysia, kerjasama antara WWF-Malaysia dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Perikanan Malaysia telah membuahkan usaha pemuliharaan penyu. Antara lokasi penetasan penyu seperti di Kem Terendak, Pulau Upeh dan pantai Padang Kemunting di Melaka selain Ma'Daerah dan Setiu di Terengganu.


BERSAMA-SAMALAH kita menyelamatkan hidupan penyu dengan tidak memakan telurnya lagi.


Sebilangan besar kawasan pantai di Melaka menjadi lokasi populasi penyu hawksbill atau penyu sisik yang tertinggi di Semenanjung Malaysia. Kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada keseluruhan kawasan penetasan ditemui 120 meter dari pantai Pulau Upeh. Destinasi kegemaran penyu ini seharusnya dilindungi daripada pembangunan dan pencemaran.

"Lagipun, undang-undang melindungi penyu belum mencukupi. Perundangan persekutuan sedia ada juga sangat terhad," tambahnya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WWF-Malaysia.

Hanya menerusi penggubalan undang-undang yang holistik dan komprehensif serta penguatkuasaan, kehidupan penyu boleh dilindungi.

Jelas Dionysius lagi, setiap tandatangan yang diterima dalam kempen ini menyumbang kepada pembentukan perundangan melindungi penyu di Malaysia.

WWF-Malaysia mengalu-alukan sokongan orang ramai sama ada individu atau organisasi dan institusi pengajian tinggi yang berminat menghulurkan bantuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: