Wednesday, April 29, 2009

Shukery dijangka pulang hari ini


SEBAIK saja menerima kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada seniwati Azean Irdawaty memaklumkan pelakon berkaliber, Shukery Hasyim berada di Hospital Selayang kerana menghidap penyakit kanser pankreas, usaha mendapatkan berita lanjut pelakon itu dilakukan.

Difahamkan, pelakon itu menghidap kanser pankreas tahap empat dan sudah merebak ke hati. Doktor juga sudah melakukan pembedahan pada Jumaat lalu dan pelakon itu dikatakan dirawat di Wad 8, Hospital Selayang.

Berdasarkan informasi itu, tidak sukar mencarinya. Apabila memasuki wad itu, katil hujung sebelah kanan agak riuh sedikit (berbanding keadaan sunyi sepi hospital) kerana dikerumuni ramai orang dan tidak syak lagi pasti di situ Shukery ditempatkan.

Menerima kunjungan wartawan Harian Metro dengan wajah terkejut, dengan lembut pelakon itu menolak sebarang temubual serta meminta wajahnya tidak dirakamkan.

Menghormati permintaan beliau yang tidak selesa ditemubual kerana masih berasa sakit kesan daripada pembedahan, kerjasama daripada isteri, Faridah Md Desa begitu diharapkan sebagai pengantara atau jurucakap.

Bagaimanapun, kunjungan sanak-saudara dan rakan taulan yang tidak putus-putus menyebabkan beliau harus mendahulukan tetamu. Mujur anak saudara, Mazlina Zamanhurin, 30 dan anak lelakinya, Mohd Aidil, 22, akhirnya tampil memberi kerjasama.

Kata Mazlina, buat masa ini bapa saudaranya itu belum bersedia memberi sebarang kenyataan kerana baru dua hari menjalani pembedahan dan dalam keadaan kesakitan yang masih dirasai dia tidak sedia berkongsi cerita.

"Pankreas pakcik mengalami ketumbuhan dan Alhamdulillah selesai menjalani pembedahan Jumaat lalu. Selain Harian Metro, ada akhbar lain juga yang mahu menemubual tapi kami terpaksa memberikan jawapan sama bagi menghormati permintaannya.

"Pakcik memang seorang yang 'low profile', tidak gemar kisah peribadinya diketahui umum. Bagaimanapun, keluarga kami tiada halangan sekiranya ada pihak media ingin melawat, cuma untuk temubual dan mengambil gambar saja tidak dibenarkan buat masa ini.

"Apabila keadaannya sudah benar-benar sembuh kelak, pasti dia tidak keberatan berkongsi cerita dengan pihak media," katanya.



Difahamkan, Syukri yang di tahan wad itu sejak 22 April lalu, menjalani pembedahan pada Jumaat, jam 10.30 pagi hingga 3 petang. Keadaan beliau selepas pembedahan didapati stabil dan dijangka pulang hari ini (Rabu).



Sementara Mohd Aidil berkata, ayahnya tidak mahu hal itu dihebahkan kerana ia cuma penyakit biasa dan boleh dipulihkan, justeru enggan kaum keluarga, rakan artis dan peminat bimbang keadaan dirinya.

"Sejak dua bulan lalu ayah asyik mengadu sakit perut dan itu bukan seperti kebiasaan yang kita alami sebaliknya ia sakit perut berlarutan.

"Bimbang dengan keadaan kesihatannya, ayah melakukan pemeriksaan di Hospital Ampang. Apabila pemeriksaan x-ray dilakukan, doktor mendapati terdapat bengkak di pankreas ayah.

"Sesudah mengetahui hal itu, ayah terus merujuk kesnya di Hospital Selayang dan menetapkan tarikh untuk menjalani pembedahan," kata Aidil anak keempat daripada lima beradik.

Kata Aidil, sepanjang dua bulan melakukan persediaan menjalani pembedahan, bapanya masih sempat mengambil tawaran dan menjayakan penggambaran drama Cinta Gila arahan Rashid Sibir.

Terdapat beberapa babak lagi yang belum sempat diselesaikan dan bapanya akan menyelesaikan baki penggambaran sebaik sembuh kelak.

Sebelum pembedahan, Shukery sepatutnya menjayakan penggambaran iklan komersil tetapi disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak stabil, beliau terpaksa menolak tawaran itu.

Pada petang Ahad lalu, produser Global Station Sdn Bhd, Zaiton Mohd Jiwa dan Raja Azmi Raja Sulaiman antara tetamu yang datang melawat.

Manakala sebelah pagi, Shukery dikunjungi pelakon veteran Datuk Mustapha Maarof, Abu Bakar Omar, Hisham Ahmad Tajudin serta ahli Persatuan Seniman sementara Azean Irdawaty menemuinya Sabtu lalu.

Terbaru, Syukri juga menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Noradz, Datuk Adzhar Sulaiman yang menyampaikan sedikit sumbangan, Isnin lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: