Wednesday, April 29, 2009

Jiwa keras Azharina


BUKAN senang memegang gelaran janda, ada saja cerita tidak baik mengenai mereka. Tiada siapa mahu mahligai dibina hancur berkecai, tetapi jika itulah jalan penyelesaian kepada pasangan suami isteri yang tidak boleh lagi berkongsi mimpi sama, terimalah dengan penuh keredaan.

Azharina Azhar, 24, sendiri tidak menyangka dia akan menjadi janda pada usia muda, namun jika itu ketentuan Yang Maha Esa, penyanyi yang popular dengan lagu Elergi Sepi ini menerimanya dengan hati terbuka. Tidak perlu lagi dia mengenang kisah lalu, yang penting kini dia kembali membina hidup baru daripada kesan runtuhan semalam.

Bagaimanapun, Azharina dan bekas suami masih berbaik dan mereka kini rakan kongsi perniagaan yang diusahakannya.

"Kami bercerai cara baik dan dia tergelak baca gosip di akhbar baru-baru ini mengatakan saya berkahwin lagi. Dia mengusik saya, kenapa kahwin tak jemput? Dia juga kata, saya terlalu yakin beritahu akan berkahwin pada September.

"Saya pun tak tahu kenapa saya memilih September, tetapi menurut kalendar Cina, saya dilahirkan pada tahun kerbau dan sembilan adalah nombor bertuah untuk saya. Begitupun, saya tidaklah terlalu mempercayainya, tetapi tiba-tiba saja teringin hendak melangsungkan perkahwinan pada bulan itu.

"Asyik bercakap pasal kahwin, jodoh pun tak ada. Tetapi kawan-kawan baik saya turut terkejut baca berita saya berkahwin lagi dan tidak menjemput mereka.

"Jika benar saya berkahwin lagi, saya akan beritahu semua orang. Belajar daripada kesilapan lalu, tiada gunanya merahsiakan status diri kerana saya teringin juga hendak beranak pinak," katanya.

Ketika ini Azharina sibuk membina semula kehidupannya, memajukan syarikat dan mempromosikan lagu baru. Katanya, tiada waktu untuk mencari pengganti, sepanjang hari sibuk dengan kerja dan aktiviti seni.

"Masa tidur itulah waktu untuk diri saya sendiri. Ketika baru menjanda dulu, ada orang masuk meminang, tetapi bapa saya beritahu lelaki itu yang anak perempuannya ini lain sikit.

"Langsung orang itu tidak jadi meminang. Sehingga ke hari ini, tiada siapa meminang saya lagi. Teringin juga hendak kahwin, tetapi tak ada orang hendakkan saya.



"Memang saya bersedih dengan kegagalan perkahwinan pertama, tetapi hidup mesti diteruskan. Takkan saya mesti terus bermuram durja.



"Bekas suami selalu berpesan kepada saya, cari suami yang baik kerana dia dulu suka memanjakan saya. Terserah kepada Allah kerana Dia lebih tahu apa yang baik buat hamba-Nya," katanya.

Terus berkongsi isi hati, sehingga sekarang pun, Azharina dan bekas suami masih meraikan hari istimewa bersama-sama iaitu hari jadinya dan ulang tahun perkahwinan mereka.

"Kami tidak keluar berdua sebaliknya bersama kawan. Bekas suami sukar menerima hakikat yang kami sudah bercerai.

"Mana-mana insan yang sudah berkahwin pasti tidak mengharapkan perceraian terjadi dalam rumah tangga mereka. Meskipun orang sering mencaci janda seperti saya, jauh di sudut hati saya bahagia sekarang.

"Jika dikenang balik memang sakit. Untuk mengatasi kekecewaan itu, saya anggap diri ini bukan budak-budak lagi, tetapi orang yang sudah dewasa.

"Saya juga tidak pernah anggap diri janda, tetapi masih solo. Lagipun kami bercerai bukan kerana salah sesiapa, tetapi tekanan sekeliling terutama daripada keluarga bekas suami.

"Bagaimanapun, saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku kerana dengan perceraian itu dapat melancarkan kembali kerjaya seni. Empat tahun tanpa album baru.

"Bekas suami sangat menggalakkan saya menyanyi kerana katanya jika lama tidak muncul dalam arena seni suara nanti orang lupa yang saya adalah penyanyi dan bekas suami dedikasikan lagu Rawan kepada saya.

"Alhamdulillah, saya bahagia kini dengan limpahan rezeki saya dapat membeli rumah dan kereta. Apa yang diimpikan semua sudah dapat. Insya-Allah, Allah memberikan hamba-Nya kekuatan menempuh dugaan ini.

"Selain kekuatan yang diberikan Allah, kehidupan keluarga yang berpecah- belah mengajar saya menjadi manusia tabah. Saya datang daripada keluarga berantakan.

"Ibu bapa saya masing-masing berkahwin lain. Adik beradik kandung ada empat manakala adik beradik tiri sembilan orang. Dengan apa yang dilalui ketika kecil menyebabkan hati saya jadi keras dan tegas.

"Saya tidak menyalahkan ibu bapa sebaliknya berterima kasih kepada mereka yang menjadikan saya orang yang cekal. Kerana merekalah saya berjaya sekarang," katanya.

Penyanyi bersuara serak itu sedang mempromosikan lagu single keduanya, Rasa. Dia hadir semula dalam persada seni dengan merakamkan enam lagu single bermula dengan Rawan. Lagu lain, Hei Lelaki, Primadona, Sakarat dan Gitar Berbunyi.

Lagu Hei Lelaki berkonsepkan hip hop, ciptaan dan lirik Azharina sendiri dan sepupunya, Keyneed. Ia mengisahkan pandangan wanita terhadap lelaki yang juga secara tidak langsung mewakili perasaan Azharina terhadap kaum Adam itu.

"Lirik lagu itu berdasarkan pemerhatian saya terhadap lelaki di sekeliling kita. Saya jenis yang berterus terang jadi tidak ada apa yang perlu diselindungkan mengenai lelaki dan lirik lagu itu kedengaran agak sinis serta sedikit kasar. "Kemudian akan menyusul single lain satu demi satu, Primadona, Sakarat dan Gitar Berbunyi. Semua lagu itu akan dikumpulkan menjadi album mini yang sepatutnya menyisipkan lima lagu saja, tetapi sekarang ia sudah menjadi enam. Sekali dengan penerbitan album mini itu saya akan sertakan VCD karaoke keenam-enam lagu itu.

"Kos pembikinan RM80 hingga RM100,000 dan akan diedarkan syarikat saya, Top 3 Production Sdn Bhd yang sudah dua tahun ditubuhkan. Lagu Primadona mengisahkan kehidupan saya. Oleh kerana saya mengeluarkan keseluruhan bajet untuk album, setiap lagu dan lirik yang terhasil berkaitan kehidupan saya yang pastinya turut dilalui wanita lain.

"Lagu sebegitu lebih mudah diterima pendengar kerana mungkin kami berkongsi kisah hidup yang sama. Kegagalan rumah tangga membuatkan saya kecewa dengan lelaki. Lama saya mengenali bekas suami iaitu sembilan tahun termasuk tiga tahun sebagai suami isteri. Buat masa ini walaupun ramai kawan lelaki, tetapi belum ingin mencari pengganti.

"Lirik yang saya hasilkan mengenai apa yang saya rasakan ketika itu dan tiada niat langsung hendak tujukan lagu itu kepada sesiapa. Terpulang kepada tafsiran masing-masing. Pun begitu saya masukkan juga cerita duka kawan-kawan. Saya yakin ramai wanita menghadapi situasi lebih kurang sama dengan saya, tetapi tidak tahu hendak meluahkan kepada siapa," katanya.

Azharina juga bakal memasarkan semua lagunya itu ke Indonesia menerusi syarikat rakaman di sana, Lima Dua Belas.

"Saya akan cuba pasarkan lagu Rawan dulu yang akan ditukarkan tajuk dan lirik kerana 'rawan' dalam maksud bahasa Indonesia bererti 'bahaya'. Kontrak sedang diuruskan dan saya perlu berhati-hati dengan cara orang sana bekerja. Bagaimanapun, saya yakin dengan syarikat ini kerana ramai penyanyi terkenal negara itu bernaung di bawahnya," katanya.



Profil

Nama sebenar: Azharina Azhar

Nama panggilan: Nina

UMUR: 23 tahun

TARIKH LAHIR: 11 Mac 1985

TEMPAT LAHIR: Kota Kinabalu, Sabah

STATUS: Janda

TINGGI: 157 sentimeter

BERAT: 53 kilogram

SINGLE: Seandainya (2003), Elegi Sepi (2005), Tsunami Kasih (2007)

ALBUM: Azharina (2003), Nina (2005), album kompilasi Sony-BMG Goreng Pisang Panas

VIDEO: Seandainya, Elegi Sepi dan Tsunami Kasih

PENCAPAIAN: Juara Bintang RTM 2001

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: