Wednesday, April 29, 2009

Jawablah! Tak takut kontroversi


IMRAN yakin judul Taubat Jalang dan filem itu sendiri akan lepas daripada menjadi mangsa guntingan LPF.

Penerbit Taubat Jalang sedia hadapi sebarang kemungkinan

ENTAH mengapa kebelakangan ini karyawan filem gemar menggunakan tajuk sensual. Jika penerbit sensasi, Raja Azmi menggunakan tajuk Anu Di Dalam Botol untuk filem terbarunya, sebuah lagi produksi baru juga menggunakan cara yang sama apabila menggunakan perkataan jalang untuk filem sulung mereka.

Terbitan de’Baron Sdn Bhd, filem Taubat Jalang: Neraca Dunia Hakimnya dijangka mampu mencetuskan kontroversi kerana bukan saja judulnya yang sensasi tetapi naskhah arahan Nazir Jamaluddin ini juga padat dengan adegan panas.

Persoalannya, apakah dengan menggunakan tajuk sensasi seperti ini serta keberanian mereka memaparkan babak ranjang atas alasan untuk disesuaikan dengan jalan cerita adalah strategi terbaik untuk menarik penonton berduyun-duyun ke pawagam.

Hip menemubual penerbit filem itu, Imran Ismail yang ditemui pada majlis pelancaran filem itu di Finas, Hulu Klang baru-baru ini untuk mendapatkan jawapannya.

Hip: Sejauh mana anda yakin tajuk Taubat Jalang serta filem ini sendiri lepas dari guntingan LPF?

GANDINGAN pelakon baru dan lama yang membintangi Taubat Jalang.

Imran: Kami minta filem ini untuk diklasifikasikan sebagai 18SX. Saya percaya mereka akan letakkan filem ini dalam kategori 18PL. Walaupun filem ini memaparkan tema jalang namun saya yakin bahawa filem ini tidak akan dipotong kerana Taubat Jalang bukan cerita mengenai jalang tetapi kisah seorang yang ingin bertaubat atas kesilapannya yang lalu.

Hip: Melihat kepada trailer filem ini anda berani menonjolkan adegan panas. Apakah anda yakin elemen seks boleh menjual filem ini?

Imran:
Saya percaya elemen seks memang boleh menjual filem ini. Namun harus diingat, saya buat filem ini bukan untuk memaparkan elemen seks kosong semata-mata tetapi ada sebab mengapa adegan seperti itu diperlukan dalam filem seperti ini. Filem Taubat Jalang ini mengisahkan seorang jalang yang ingin sedar kesilapannya masa lalu dan ingin bertaubat. Jadi dalam perjalanannya itu, kami paparkan juga babak bagaimana dia menjadi jalang. Apa yang dilihat dalam trailer itu bukanlah menggambarkan keseluruhan cerita. Babak itu sebenarnya memakan masa sebanyak empat minit saja. Kami menggunakan teknik kamera tertentu supaya adegan ranjang itu nampak hidup. Kami tidak mempergunakan pelakon kami.

Hip: Kenapa ketika ramai produser lebih berani menerbitkan filem yang menggunakan teknologi terkini tetapi syarikat de Baron menerbitkan filem bertemakan sesuatu yang sudah basi seperti ini?

Imran: Kami tahu dan kami sudah memikirkan perkara ini sejak awal lagi sebelum mengambil keputusan untuk menerbitkan filem ini. Kalau kita buat filem aksi yang bercorak seni mempertahankan kung fu, adalah lebih baik penonton melihat filem dari Hong Kong. Begitu juga kalau buat filem yang banyak guna Imej Janaan Komputer (CGI) macam filem dari Hollywood, saya tak yakin orang kita boleh terima kalau yang buat filem itu produksi tempatan. Jadi saya rasa baiklah kita kembali kepada asal iaitu menerbitkan filem seperti ini. Filem yang mampu memberikan mesej berguna kepada penonton walaupun tema sebegini sebenarnya sudah banyak dibuat sebelum ini.

Hip: Kalau kita lihat kepada senarai pelakon, kebanyakannya adalah orang lama dan muka baru. Apakah anda mampu mereka ini mampu menjadi tarikan untuk penonton ke pawagam?

Imran:
Setiap pelakon dalam filem ini masing-masing mempunyai kelebihan sendiri. Kalau kita lihat, Ridzuan Hashim mempunyai kehebatan tersendiri dan ketika ini wajahnya begitu kerap dilihat dalam mana-mana drama ketika ini. Begitu juga Hairee Othman yang kita tahu mutu lakonannya. Saya beruntung kerana Hairee sanggup meninggalkan tawaran lain kerana mahu berlakon dalam filem ini serta tak ketinggalan Kuswadinata. Keputusan kami untuk menggunakan wajah baru sebagai teraju utama iaitu Yasmin Khanif sebagai Maria kerana mahu industri ini diwarnai dengan pelbagai wajah. Saya percaya dengan gandingan pelakon hebat serta skrip yang bagus serta jalan cerita yang menarik, filem yang akan ditayangkan pada bulan November ini nanti pasti akan mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

Hip: Tidak takut dek kerana kontroversi yang ditimbulkan, filem ini bakal berdepan dengan masalah?

Imran:
Saya yakin filem ini dapat ditayangkan di pawagam apabila tiba masanya nanti. Memang tidak dapat dinafikan, kontroversi ada kala membantu dan ada masanya membawa padah. Tonton dulu filem ini terlebih dulu dan jangan menilai dari segi luaran semata-mata. Definisi jalang itu amat luas dan dalam filem ini, jalang bukan hanya berlaku kepada Maria tetapi juga pada semua watak dalam filem ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: