Thursday, April 30, 2009

Epilog: Wujudkan pawagam mini di setiap daerah dan bandar

BUDAYA menonton filem harus disuburkan. Fungsi filem bukan sekadar bahan hiburan tetapi mampu menyuntik banyak maklumat dan pengetahuan dalam pengisiannya sama ada ia baik untuk dijadikan iktibar mahupun untuk membuka minda seseorang. Pembudayaan filem di kalangan rakyat Malaysia berkembang baik kerana sokongan masyarakat terhadap filem terutama menerusi siaran filem cereka, telefilem dan drama bersiri atau sitkom di televisyen sering mendapat sambutan.

Bagaimanapun, budaya menonton filem cereka di pawagam sering saja mengalami pasang surut. Ini berdasarkan sambutan penonton terhadap sesuatu filem kerap menjadi tidak konsisten dan sukar untuk menentukan filem seperti boleh mendapat kutipan bagus dan mencapai taraf box-office. Ada yang meramalkan sesuatu filem itu boleh berjaya dari segi kutipan kerana ia berkualiti dan mendapat pengiktirafan di festival filem antarabangsa, tetapi apabila ditayangkan, kutipannya cukup menyedihkan. Begitu juga ada filem yang dihasilkan mendapat pujian ramai seperti 1957: Hati Malaya, Wayang dan Kala Malam Bulan Mengambang tetapi sambutan di pawagam mendukacitakan.

Dari segi lain, ada filem yang dihasilkan mendapat kritikan dan dihentam kerana komedi merapu tetapi apabila ditayangkan pula ia mampu mendapat kutipan lebih RM3 juta. Ada filem yang tidak disangka boleh jual kerana tidak ada daya tarikan dan dilihat biasa saja tetapi mampu membuatkan produsernya tersenyum. Ada filem animasi macam Geng: Pengembaraan Bermula yang tidak diramalkan boleh membuat kutipan besar sebab filem animasi tempatan sebelum ini memang tak pernah laris tetapi ternyata ia boleh membuat kejutan dengan kutipan lebih RM6 juta.

Begitulah dunia filem, soal sambutan dan kualiti, soal selera dan mutu produksi tidak pernah mencapai kata sepakat untuk melihat sejauh mana kejayaannya di pawagam. Ia ada kalanya dilihat sebagai takdir dan bernasib baik.

Persoalannya sekarang ialah selera masyarakat. Masyarakat yang rajin ke pawagam ada seleranya sendiri dan kelompok masyarakat yang tidak rajin ke pawagam pula bukannya tidak minat pada filem. Mereka yang tidak minat ke pawagam sebenarnya lebih suka menonton sesuatu filem itu apabila produk karya itu diterbitkan dikeluarkan dalam bentuk DVD dan VCD atau pun mereka sanggup tunggu apabila tahu ia akan disiarkan menerusi televisyen selepas beberapa bulan sesuatu filem cereka itu tamat tayangannya di pawagam.

Dalam hal ini, kita harus melihat kemudahan infrastruktur itu sendiri. Aspek pawagam harus diberi perhatian terutama oleh pihak kerajaan. Pembudayaan filem di pawagam penting untuk menyuburkan industri filem supaya dapat menghasilkan gelombang dunia filem tempatan yang bermutu dan ada kredibiliti. Industri filem tidak boleh bergantung cuma pada filem komersial yang dilihat dari sisi lain tidak begitu dibanggakan dari aspek mutu dan pemikiran, jadi perlu ada ruang untuk mencari dan membina kelompok penonton baru yang boleh menerima baik filem yang berkualiti.

Industri filem kita perlu seimbang untuk melihat perkembangan jenis, konsep, genre, kualiti dan kreativiti filem tempatan. Jika kayu ukur untuk melihat filem yang laris sebagai bermutu, ia masih belum mencapai kayu ukur sebenar dan sesuatu harus dibuat untuk membolehkan filem tempatan diraikan di pawagam. Maka dengan itu perlu ada strategi untuk membudayakan menonton filem di pawagam.

Pada masa yang sama, industri filem juga amat bergantung pada filem komersial atau dalam pendekatan popular yang mampu memeriahkan pawagam dan memberi nyawa kepada industri untuk terus hidup sekali gus memberi peluang lebih ramai orang filem dan pelakon bekerja. Mungkin dengan usaha mewujudkan pembudayaan filem di pawagam di kalangan masyarakat, filem komersial kita akan lebih mendapat sambutan baik dan tidak mustahil suatu hari nanti akan ada filem kita yang mampu meraih kutipan sehingga RM10 juta atau tak mustahil sampai RM15 juta di pawagam.

Berbalik pada infrastruktur, sebenarnya masalah industri filem kita ialah pawagam. Jumlah pawagam yang ada terutama di ibu negara, ibu negeri dan bandar besar tertentu tidak mencerminkan jumlah rakyat Malaysia yang memang menyukai filem. Masih banyak bandar dan pekan yang tidak diisi dengan filem terkini untuk membolehkan masyarakat meraikan filem dari negara sendiri. Banyak tempat malah di negeri tertentu tidak ada pawagam sekali gus menafikan hak rakyat untuk mendapat peluang menonton filem. Ada juga isu pawagam filem dipolitikkan dengan kefahaman ia adalah perkara maksiat. Ini lebih mendukacitakan.

Satu daripada strategi untuk menyemarakkan budaya menonton di pawagam ialah mewujudkan lebih banyak pawagam mini di semua daerah dan majlis perbandaran di negara ini. Kerajaan boleh berusaha ke arah ini menerusi kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Perancangan itu haruslah menjurus kepada usaha setiap pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan dan majlis perbandaran disediakan peruntukan untuk membina pawagam mini di lokasi sesuai yang membolehkan penduduk setempat berpeluang untuk menonton wayang. Pawagam mini itu menjadi hak milik kerajaan dan ia haruslah memberi keutamaan untuk filem tempatan saja.

Bayangkan jika semua daerah dan majlis perbandaran ada pawagam mini sendiri, tentunya akan lebih ramai masyarakat lebih berminat untuk menonton filem terkini yang memasuki pawagam kerana mereka tidak perlu pergi jauh ke bandar besar semata-mata untuk menonton satu filem kerana terpaksa mengeluarkan kos tinggi seperti petrol, parkir kereta dan harga tiket yang agak mahal. di pawagam mini harga tiket boleh dikurangkan.

Jika pawagam swasta sekarang harga tiket antara RM8 hingga RM10, pawagam mini boleh mengenakan kadar tiket sekitar RM4 saja atau lebih murah kerana ada subsidi kerajaan, iaitu duti hiburan ditolak terus kepada harga tiket. Kutipan ini juga lebih baik kalau sambutan penonton meningkat berbanding kebiasaannya. Ini lebih afdal berbanding kalau kutipan RM2 juta tetapi penerbit terpaksa berkongsi 50-50 dengan tauke panggung sedangkan tauke panggung cuma menyediakan infrastruktur semata-mata, sedangkan produser yang berhempas pulas untuk menghasilkan filem sehingga kerja promosi dan pengedaran.

Dari situ, kita yakin pembudayaan filem di pawagam akan lebih mudah untuk disuburkan dan masyarakat akan lebih menghargai kerja seni filem, sekali gus mengelak mereka untuk mencari VCD cetak rompak. Ini juga baik untuk kepentingan produser filem. Pembinaan pawagam mini perlu kerana industri filem kita tidak boleh lagi membiarkan monopoli pawagam berlaku di kalangan tauke panggung yang mengambil kesempatan sehingga ada kalanya filem tempatan dianaktirikan gara-gara filem mega import melimpah masuk ke negara ini. Ada kalanya kita kesal mendengar rungutan produser apabila tauke panggung tidak memberi peluang lebih selesa kepada filem tempatan kerana sikap prejudis terhadap filem dari negara sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: