Thursday, April 30, 2009

Akademi 1001 Rasa Baba’s 2009 kini bermula

Petaling Jaya - Syarikat pengeluar rempah ratus terkenal, Baba Products (M) Sdn Bhd, akan meneruskan Akademi 1001 Rasa Baba’s musim kedua yang akan menemui penonton pada setiap Ahad, jam 7.30 malam, bermula dengan episod pencarian pada 3 Mei, jam 7 malam di TV9.

Program realiti ini menampilkan 128 orang peserta yang kurang mahir memasak untuk merebut wang tunai RM 10,000.

Ketua Bahagian Pengiklanan dan Promosi, Claudian Navin Stanislaus berkata, program ini diteruskan kerana ia bukan sahaja mendapat sambutan daripada penonton tetapi ia juga merupakan program realiti yang berbeza dengan program yang sedia ada.

“ Kami dapati program ini mendapat rating tinggi di kalangan penonton, justeru tidak hairanlah ia diadakan untuk musim yang kedua,” katanya.

Pelbagai kelainan dan kejutan akan ditampilkan namun konsep yang digunakan sama seperti musim sebelumnya. Pada kali ini sebanyak 32 resipi terbaru, mudah dan menyelerakan telah disediakan untuk para penonton.

Menurutnya lagi, para peserta yang terpilih terdiri daripada mereka yang tidak tahu memasak dan berumur dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun.

“ Akademi ini bukan sahaja pertandingan, tetapi ia adalah tempat terbaik untuk belajar memasak dan mendapat tips-tips berguna daripada chef-chef terkenal,” katanya.

Para peserta akan dilatih oleh 13 tenaga pengajar yang terdiri daripada juru masak tempatan, chef-chef profesional yang juga merupakan bekas pemenang siri pertama pertandingan masakan Cabaran 1001 Rasa Baba’s.

Seperti biasa, bukan hanya peserta sahaja berpeluang menjadi juara dalam pertandingan ini, tetapi dengan hanya menonton rancangan tersebut, para peminat juga turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

Peraduan penonton di rumah menawarkan hadiah wang tunai sumbangan Baba’s, telefon bimbit LG serta set meja Claytan. Progam ini dihoskan oleh Chef Kamarul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: