Tuesday, March 31, 2009

Tidak mahu jadi anugerah suam-suam kuku


NANCIE, Abdul Khalid dan Nurhayati sudah merangka pelbagai persiapan untuk FFM22 KK 2009.

Festival Filem Malaysia ke-22 pertingkat siri promosi tarik banyak penyertaan

ENGGAN lagi kekalutan dalam pencalonan berlaku, Jawatankuasa Kerja Pengurusan Penyertaan & Penjurian Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) memperkuatkan siri promosi untuk menarik lebih banyak penyertaan pada festival tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pengurusan Penyertaan & Penjurian FFM22 KK 2009, Nancie Foo berkata, penyertaan terutama membabitkan kategori Filem Animasi Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Dokumentari Terbaik dan Filem Digital Terbaik agak dingin sebelum ini membuatkan mereka bekerja keras untuk memastikan perkara itu tidak kembali berulang.

Sehubungan itu, kerja promosi dimulakan lebih awal termasuk menghebahkannya menerusi pelbagai medium termasuk laman web, kempen serta hebahan di radio dan televisyen selain mengunjungi pusat pengajian tinggi untuk mempertingkatkan jumlah penyertaan.

“Banyak penerbitan bermutu terbiar kerana tidak mempunyai ruang untuk memperkenalkan hasil karya mereka. Tahun lalu, promosi agak lewat dilakukan menyebabkan kami terpaksa menggerakkannya dengan lebih agresif pada saat akhir untuk menarik penyertaan.

“Tahun ini kami bermula lebih awal untuk membangkitkan kesedaran di kalangan pengamal filem supaya merebut peluang keemasan pada acara tahunan berprestij ini,” katanya.

Ditemui pada sidang media mengumumkan penyertaan FFM 22 KK 2009 kini dibuka di Dewan Cempaka Sari, Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang, Nancie berkata, siri promosi yang agresif termasuk menerusi akhbar utama dijangka mampu meningkatkan penyertaan sekali ganda pada tahun ini.

“Tahun lalu kami cuma menerima 42 penyertaan untuk Filem Dokumentari Terbaik, manakala 31 penyertaan untuk Filem Pendek Terbaik dan 13 untuk Filem Animasi Terbaik.

“Jumlah itu agak kecil membuatkan kami terpaksa meletakkan sepenuh kesungguhan supaya kategori ini juga diberi tumpuan selain filem cereka komersial pada festival akan datang.

“Usaha itu termasuk bekerjasama dengan Multimedia Development Corporation (MDeC) untuk menarik penyertaan lebih besar dalam penerbitan filem animasi,” katanya.

FFM22 KK 2009 anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PPFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dari 5 hingga 8 Ogos depan.

Membawakan tema, Filem Malaysia Ke Persada Dunia, FFM22 KK 2009 sehingga ini menerima 20 penyertaan awal daripada filem yang ditayangkan dan diluluskan dari Ogos 2008 hingga Julai 2009.

Untuk menggalakkan lebih banyak filem bertanding, tarikh tutup penyertaan bagi semua kategori dipanjangkan sehingga 5 Julai ini.

Perkenal kategori Filem Komedi Terbaik

BUAT pertama kali, FFM22 KK 2009 turut memperkenalkan kategori baru, Filem Komedi Terbaik yang diletakkan di bawah Anugerah Cipta dan bukan dalam kategori utama, Anugerah Perdana.

Menjelaskan perkara itu, Nancie berkata, anugerah itu diperkenalkan berikutan penyertaan menggalakkan bagi penerbitan genre komedi pada festival tahun lalu.

“Kami melihat pada kesan jangka panjang kerana bimbang jika pada masa akan datang penyertaan berkurangan membuatkan kami terpaksa merombak kembali senarai kategori.

“Untuk menghidupkan kategori ini, kami berharap menerima penyertaan daripada sekurang-kurangnya 10 filem. Ia diperkenalkan sebagai memberi galakan kepada penerbit kerana banyak filem komedi bermutu diterbitkan tetapi tidak diiktiraf.

“Pengenalan kategori ini juga disebabkan oleh populariti genre komedi di kalangan peminat filem tempatan membuatkan jawatankuasa terfikir wajar anugerah itu diwujudkan.

“Mungkin boleh diadakan Anugerah Khas Juri untuk mengiktiraf penggiat industri filem komedi, namun kami tidak mahu ia dilihat sebagai anugerah kasihan lalu menghadirkan kategori Filem Komedi Terbaik,” katanya.

FFM22 KK 2009 mempertaruhkan 13 Anugerah Perdana, 12 Anugerah Cipta dan lima Anugerah Khas Juri. Kemuncak acara itu turut mengiktiraf pencapaian dan sumbangan karyawan veteran menerusi Anugerah Veteran (Lelaki dan Wanita), Anugerah Veteran (belakang tabir - Lelaki atau Wanita) serta Anugerah Filem Box Office.

Ia dijangka dihadiri lebih 5,000 tetamu termasuk 600 delegasi yang dibawa khas dari Kuala Lumpur untuk acara yang mendapat kerjasama kerajaan Sabah menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Urus Setia FFM 22 KK 2009, Abdul Khalid Maulod dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pengurusan Penyertaan & Penjurian FFM22, Nurhayati Othman.

Info:

Kategori untuk Anugerah Perdana:

Filem Terbaik

Pengarah Filem Terbaik

Pelakon Lelaki Terbaik

Pelakon Wanita Terbaik

Lakon Layar Terbaik

Cerita Asal Terbaik

Sinematografi Terbaik

Penyunting Terbaik

Skor Muzik Asal Terbaik

Filem Dokumentari Terbaik

Filem Animasi Terbaik

Filem Pendek Terbaik

Filem Digital Terbaik



Kategori untuk Anugerah Cipta:

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

Penataan Seni Terbaik

Penataan Bunyi Terbaik

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik

Pengarah Harapan Terbaik

Pelakon Harapan Lelaki

Pelakon Harapan Wanita

Lagu Tema Asal Terbaik

Pereka Kostum/Busana

Poster Terbaik

Filem Komedi Terbaik

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: