Sunday, March 29, 2009

Sarimah bina jenama




Tidak sukar untuk berbicara dengannya. Walaupun baru pertama kali bersua muka, sudah ada keserasian untuk terus berbicara mengenai kerjaya, masa depan waima hal peribadi. Sikapnya yang mudah mesra dengan semua membuatkan personaliti ini disenangi ramai. Butir bicaranya yang tidak pernah terhenti menjadikan pertemuan itu begitu menyeronokkan dan membuatkan orang sekeliling menantikan apa lagi yang mahu diungkapkan.

Dia artis yang berbakat. Berilah apa sahaja tugas, semuanya akan dilaksanakan dengan baik. Sungguh besar bakat yang dimiliki oleh empunya badan dan tidak keterlaluan jika dikatakan dia antara artis kita yang berbakat dalam pelbagai bidang.

Mungkin ada yang cemburu melihatkan Sarimah Ibrahim sentiasa menjadi perhatian. Kelebihan yang dimiliki olehnya tidak pernah disalahgunakan. Malah dia tetap bersyukur dengan apa yang dimilikinya sekarang.

Lebih satu dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, semua sudah dilakukan. Menjadi pelakon, penyanyi dan pengacara semuanya dilaksanakan tanpa batasan.

Memiliki wajah Pan Asia sememangnya menjadi kelebihan kepada mana-mana artis sekalipun. Bagi Sarimah dia tidak pernah riak dengan kelebihan yang dimilikinya itu, malah dia bersyukur kerana banyak peluang yang muncul untuk dirinya.

Nama Sarimah Ibrahim lebih sinonim dengan konglomerat Astro dan menjadikan dirinya antara artis bertuah di bawah payung konglomerat itu.

Mungkin ada yang melihat itu sebagai satu perkara biasa, tetapi bagi Sarimah peluang yang terhidang di depan matanya tidak harus dilepaskan begitu sahaja. Tambahan tidak semua insan mendapat peluang keemasan sebegitu.

Apabila mengikat kontrak bersama Astro sudah pasti Sarimah menjadi hak milik Astro. Maka tidak hairanlah jika wajah manis Sarimah memang jarang dilihat di saluran televisyen yang lain.

Bagi Sarimah ia langsung tidak menjadi masalah kepada dirinya kerana dia hanya mengikat kontrak menjadi pengacara di saluran itu bersama dengan AC Mizal, Aznil dan Anita Sarawak.

Sejak musim Akademi Fantasia (AF) yang lalu, nama Sarimah kembali hangat apabila diberi kepercayaan untuk mengendalikan Diari AF. Walaupun bukan sebagai hos konsert tetapi kemunculan Sarimah sedikit sebanyak mencuri tumpuan khalayak yang melihatnya.

Kalau dikira kemunculannya kini bakal melebihi pengacara popular yang lain. Musim yang lalu Sarimah dipertanggungjawabkan mengacara Fail Sulit AF, tetapi pada masa ini dia turut sama menjadi hos kepada Tirai AF7 bahagian pertama dan kedua, Diari AF7 dan Diari INT AF7.

Mungkin ada suara sumbang yang mengatakan pengacara berbakat besar itu hanya popular setahun sekali. Maklumlah, bila musim AF muncul barulah nama Sarimah kembali menjadi sebutan.

Dia tidak kisah dengan apa juga persepsi masyarakat terhadapnya. Baginya itu bukan masalah yang besar sehingga boleh menjejaskan kariernya.

“Saya tak kisah langsung dengan apa yang orang mahu katakan. Apa yang peting saya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik. Soal popular setahun sekalipun tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada saya.

“Untuk apa saya keluar setiap hari di majalah atau surat khabar jika tak ada isu yang hendak dimainkan. Saya tak mahu menjadi artis yang hanya popular tetapi tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada masyarakat,” ujarnya Sarimah tak kala diasak dengan pertanyaan itu.

Seboleh-bolehnya dia mahu melakukan apa sahaja yang mendatangkan kebaikan kepada semua pihak. Tapi, sebagai insan biasa Sarimah juga tak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

“Bukan mudah untuk menjadi orang terkenal. Semuanya perlu dijaga baik dari segi pakaian, tingkah laku atau setiap perbuatan.

“Ada kalanya saya sendiri terlepas pandang. Bukan mudah dan orang mula bercakap perkara negatif tentang saya,” jelasnya lagi ketika ditemui di Studio Utusan.

Kini sudah hampir lima tahun Sarimah menjadikan bidang pengacaraan sebagai bidang teraju utama berbanding dengan bidang yang lain.

Tidak semua pengacara boleh beraksi secara langsung ketika mengendalikan apa juga anugerah. Sarimah telah membuktikan yang dia juga pengacara yang serba boleh dan bukan sekadar pengacara tempelan.

Sarimah pernah menjadi pengacara Kuala Lumpur International Filem Festival disiarkan secara langsung di Astro Awani, Prelude Kemuncak AIM 2006, Anugerah Juara Lagu TV3 2003 dan 2004, Malaysia Political Talk Show 2003 dan banyak lagi.

l Harapan pada lakonan

Bidang lakonan menjanjikan peluang luas yang kepada mereka yang bersungguh-sungguh. Tapi minat dan keazaman sahaja masih belum dapat menjanjikan kejayaan pada seseorang artis.

Hakikat itu yang terpaksa ditempuhi oleh Sarimah demi merealisasikan cita-citanya menjadi artis serba boleh.

Gerak Khas The Movie 3, MX3 dan Puteri Impian 2 adalah di antara filem yang pernah dibintangi oleh Sarimah. Ketiga-tiga filem ini meledakkan nama Sarimah antara pelapis pelakon wanita pada masa itu.

Tetapi namanya kini sudah kurang dikenali dalam bidang lakonan. Mungkinkah Sarimah sudah berpatah arang dan hanya mahu menumpukan perhatian dalam bidang pengacaraan sahaja?

“Saya saya tidak pernah mematikan minat saya dalam bidang lakonan. Bidang lakonan jugalah yang telah menaikkan nama saya sehingga ke tahap begini.

“Banyak tawaran daripada penerbit yang mahu saya menghadiri uji bakat. Ada juga yang menawarkan watak kepada saya. Kadang kala apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan. Tapi kalau dah bukan rezeki saya, apa boleh saya lakukan.

“Bila saya dah mula menjadi hos AF7 ini, banyak pula tawaran yang datang. Atas faktor kesuntukan masa dan tidak dapat memberikan komitmen terpaksalah saya menolaknya,” jelas Sarimah tanpa berselindung.

Antara kejayaan yang pernah dikecapi oleh Sarimah termasuklah Artis Baru Terbaik, Anugerah Industri Muzik 2001, Artis Baru harapan, Anugerah Era 2001 dan Pengacara Hiburan TV Terbaik, Anugerah Skrin 2005 di samping beberapa anugerah yang lain.

Ini sedikit sebanyak menunjukkan kewujudan Sarimah dalam industri hiburan negara tidak dipandang sepi dan mampu menggugat nama-nama besar yang sedia ada.

Selain berbakat dalam bidang pengacaraan dan lakonan, Sarimah juga pernah menghasilkan album berjudul Sarimah pada tahun 2002.

Lagu Kini Kau Tiada dan Damai menaikkan nama Sarimah antara penyanyi yang popular ketika itu. Walaupun elemen muzik yang dibawa ketika itu jarang didengari, ia tetap melekat di hati peminat setianya.

Minat yang mendalam terhadap bidang muzik masih lagi belum pudar walaupun sudah menyepikan hampir tujuh tahun tanpa sebarang album.

Dalam ketidaktentuan industri seni yang semakin meruncing ini, banyak artis yang sudah tidak berani menghasilkan album penuh. Bimbang dengan keadaan itu Sarimah juga mahu lebih berhati-hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: