Monday, March 30, 2009

Pakej berbaloi


SEHINGGA artikel ini siap ditulis Rabu lalu, secara puratanya suhu persembahan Minggu Setiausaha yang diadakan saban April tidak memperlihatkan kerancakan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

Penganjurannya bagaikan lebih berhati-hati, kesan simbahan kemerosotan ekonomi global yang semakin dirasai mereka yang terbabit di dalam industri seni Malaysia. Malah, melihatkan senarai tahun ini hanya penghibur gred A yang dipilih.

Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Faizal Tahir, Krisdayanti dan Ning Baizura setakat ini yang mengesahkan tarikh dan lokasi persembahan mereka bulan depan.

Pun begitu, dalam situasi ekonomi yang disifatkan gerhana ini, harga ‘satu kepala’ untuk menghadiri Minggu Setiausaha barangkali masih boleh dikategorikan tinggi sehingga mencecah RM580++.

Namun bagi peminat setia artis pilihan, mereka tentu ‘alah membeli, menang memakai’ kerana kepuasan harus diutamakan. Seperti untuk persembahan Krisdayanti dan Siti di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade masing-masing pada 21 dan 22 April ini, harga bermula dengan RM280 sehingga RM580++.

Menurut Pengurus Siti, Rozie Razak, harga ditetapkan oleh pihak penganjur tetapi secara keseluruhan ia membabitkan pembabitan pengalaman artis dan nama mereka untuk menarik peminat menghadiri majlis makan tengah hari itu.

“Dalam Minggu Setiausaha, nama artis memainkan peranan penting bagi penganjur menarik minat penonton untuk berhibur dengan majlis anjuran mereka.

“Sebenarnya harga ditawarkan itu berdasarkan harga pasaran semasa. Mungkin nampak mahal, tetapi ia berbaloi dengan majlis istimewa yang diadakan setahun sekali ini.

“Ia bukan soal nyanyian semata-mata, tetapi peminat dapat menyaksikan artis mereka dengan lebih dekat lagi, malah makanan dan hadiah turut disediakan. Semuanya dalam satu pakej!” kata Rozie yang juga kakak ipar Siti.

Rozie mengakui kesan ekonomi dunia turut tempias kepada Minggu Setiausaha. Bagaimanapun, Siti ‘berani’ untuk muncul di pentas Minggu Setiausaha ini kerana sudah dua tahun beliau ‘bercuti’.



“Selama dua tahun itu ramai peminat menghubungi kami bertanyakan persembahan Minggu Setiausaha. Sebab itu kami yakin untuk kembali,” katanya mengenai acara anjuran Hotel Quality itu.



Manakala Anita Sarawak yang bakal memanaskan pentas Pusat Konvensyen Sime Darby pada 7 April ini bersependapat dengan Rozie kerana persembahan Minggu Setiausaha bukan sekadar hiburan nyanyian, malah lebih daripada itu.

“Inilah peluang peminat untuk bertemu lebih dekat dengan artis pujaan mereka. Bagaimanapun, persembahan ini perlu kita lihat secara keseluruhan dalam satu pakej — nyanyian, muzik, interaktif, hadiah dan hiburan secara amnya.

“Jadi Kak Nita rasa tidak mahal dengan harga yang ditetapkan penganjur kerana mereka menawarkan lebih daripada yang peminat jangkakan,” katanya yang memilih tema warna hitam dan perak.

Kak Nita tidak bersendirian di pentas berkenaan kerana ditemani Faizal Tahir, jadi peminat penyanyi lelaki ‘Superman’ itu turut berkongsi hiburan sebumbung. Pada harga RM280 dan RM480 itu, peminat dijangka puas dengan persembahan mereka.

Menariknya, selain hadiah ‘meriah’ daripada penaja, termasuk set bilik tidur bernilai RM18,000 sumbangan Empire Classic Furniture, tujuh set mutiara Rafflesia bernilai RM10,000 setiap satu dan Silvana Ultimate, penghibur lincah itu turut menyumbang barangan peribadinya bernilai RM30,000.

Bagaikan satu kemestian, penganjuran Minggu Setiausaha menyediakan buah tangan. ‘Door gift’ dan hadiah cabutan bertuah bergantung kepada ‘kepandaian’ penganjur mencari penaja, termasuk pakej percutian dan tiket penerbangan ke destinasi luar negara.

Begitu juga dengan minggu persembahan Anuar Zain yang akan diadakan dua hari selepas Kak Nita di tempat sama (9 April) di mana penganjur membekalkan sekurang-kurangnya 10 cabutan bertuah yang merangkumi hadiah pakej percutian ke Bali, Bangkok dan Singapura serta beberapa barangan penajaan lain.

Tidak dinafikan, setiap kali Anuar menaiki pentas Minggu Setiausaha, dewan dipenuhi peminat. Sanggup meninggalkan meja dan makanan demi mendekati Lelaki Ini yang nyata memiliki aura tersendiri.

Jadi mereka tidak kisah untuk mengeluarkan RM398, RM448 atau RM498 dari poket masing-masing untuk menyaksikan jejaka bujang berusia 38 tahun ini mempersembahkan (antaranya) Lelaki Ini, Kau Bungaku, Cintaku dan Keabadian Cinta.

Ning Baizura juga dikenali sebagai penghibur yang disegani. Isteri kepada Omar Shariff Christopher Layton Dalton ini cuba menarik peminatnya ke Pullman Putrajaya Lakeside, Putrajaya bagi memeriahkan Minggu Setiausahanya pada 23 April nanti.

Pastinya pada harga RM180 dan RM200 untuk seorang, ‘kuasa’ Ning mampu menjemput dan memeriahkan acara berkenaan. Bersama penaja termasuk Jamu Mak Dara serta sumbangan tiket penerbangan, melengkapkan lagi pakej Minggu Setiausaha Ning.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: