Monday, March 30, 2009

Mila niaga


MILA Jirin seperti kebanyakan penyanyi lain yang mahukan segala yang terbaik untuk dipersembahkan kepada peminat. Di luar pentas juga, penyanyi genit itu sentiasa mencari kehidupan lebih baik.

Tekad itu mendorongnya menceburi bidang perniagaan dengan menghasilkan produk kecantikan.

Jelas Mila, sudah lama dia ingin menceburi bidang ini. Namun kerana komitmennya sebagai penyanyi, hajat itu terpaksa ditangguhkan.

“Selain menyanyi, Mila berminat dalam bidang perniagaan. Sebab itu Mila cuba menghasilkan produk kecantikan sendiri. Begitupun, sejak Ogos tahun lalu Mila beroperasi secara kecil-kecilan dan menjual produk ini dari rumah saja.

“Apabila semuanya stabil, akhirnya Mila memiliki syarikat pengeluar produk kecantikan LuvMILA Corporations Sdn Bhd dan kini beroperasi di Dataran Sunway, Kota Damansara,” katanya.

Tambah Mila, selain mencari rezeki lebih, dia turut belajar banyak perkara dalam bidang ini. Walaupun masih meneruskan kerjayanya menyanyi, ia tidak menjadi penghalang untuknya bergelar usahawan.

“Mila bertuah kerana emak dan ayah sentiasa membantu menguruskan syarikat ini. Biasalah, dunia nyanyian masih menjadi kerjaya utama Mila. Sebab itu, apabila sibuk menghadiri jemputan nyanyian, mereka yang akan menguruskan syarikat ini.

“Dalam masa sama, Mila belajar banyak perkara mengenai dunia perniagaan. Mila sedar bukan mudah mahu mengharungi dunia yang menjanjikan pelbagai cabaran, lebih-lebih lagi Mila tiada pengalaman luas. Sebab itu Mila berusaha mempelajari sebanyak mungkin dan sentiasa mendapatkan nasihat daripada mereka yang berpengalaman.

“Selain itu, Mila mengambil contoh usahawan wanita yang berjaya. Melihat ramai artis berjaya membuka perniagaan sendiri menguatkan semangat Mila untuk menjadi seperti mereka,” katanya.

Siapa tahu, idea ingin memiliki perniagaan hadir daripada peminatnya. Jelas Juara Akademi Fantasia ke-5 ini, mengenangkan kebanyakan peminatnya adalah penuntut institut pengajian tinggi dan pekerja sektor biasa, perniagaannya mampu memberi imbuhan kepada mereka yang menyertainya.



“Dulu Mila sentiasa berfikir macam mana mahu membalas budi mereka. Tanpa mereka, tidak mungkin Mila ada di sini sekarang.



“Akhirnya, idea menubuhkan syarikat penjagaan kecantikan ini hadir apabila seorang rakan membawa Mila melawat kilang kosmetik dan kecantikan. Sejak itu Mila terfikir, apa salahnya jika Mila tubuhkan syarikat mengeluarkan produk kecantikan, malah dalam masa sama dapat membantu peminat menjana pendapatan.

“Dalam perniagaan ini Mila bertindak sebagai pembekal, manakala peminat akan menjadi stokis atau penjual secara langsung untuk pelbagai produk yang dikeluarkan. Dalam masa sama, mereka mendapat keuntungan daripada hasil jualan itu.

“Buat masa ini Mila ada cawangan di seluruh semenanjung Malaysia dan kini Mila mahu meneroka pasaran di Sabah dan Sarawak pula,” katanya.

Sehingga kini Mila berjaya mengeluarkan tiga produk penjagaan kecantikan iaitu LuvMILA Feminin Wash, LuvMILA Intimate Spray dan LuvMILA Honey Prum.

Melihatkan perniagaannya yang semakin maju, Mila bakal melancarkan dua produk terbarunya tidak lama lagi iaitu LuvMILA Whitening dan produk anti penuaan.

Menyentuh perkembangan terbaru, penyanyi berusia 21 tahun ini dalam proses menyiapkan album terbarunya. Katanya, jika tiada aral, ia bakal dikeluarkan penghujung tahun ini.

“Untuk album ini, dua lagu baru selesai dirakam. Begitupun, kali ini konsep diketengahkan berbeza daripada sebelumnya. Lagu ciptaan Ajai dan lirik ditulis oleh arwah Loloq berjudul Cintamu Sayap ini berkonsepkan pop Arab.

“Tidak salah mencuba sesuatu yang baru. Begitupun, lagu ini akan menjadi percubaan pertama untuk menguji genre berkenaan. Harap-harap peminat menyukainya,” katanya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: