Monday, March 30, 2009

KRU edar animasi


KRU Studios meneruskan bisnes mengedar filem dengan membawa animasi antarabangsa pertama edarannya, Sunshine Barry & The Disco Worms (Disco Worms) yang akan ditayangkan serentak di Malaysia dan Brunei pada 9 April ini dan Singapura, Mei depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, pihaknya berbangga dengan pencapaian mereka setakat ini dan penayangan filem animasi itu disifatkan sebagai usaha berterusan mereka.

“Disco Worms sebuah filem animasi muzikal dan lucu. Ia mudah difahami dan diterima oleh semua lapisan penonton. Disco Worms menjadi filem antarabangsa pertama pilihan kami kerana ia bukan sebuah filem yang hanya menarik satu pasaran, tetapi bersesuaian untuk semua lapisan penonton.

“Filem animasi ini disediakan sarikata dalam Bahasa Malaysia dan Mandarin berikutan penggunaan bahasa asalnya adalah Bahasa Inggeris,” kata Norman.

Disco Worms adalah karya dari Denmark yang diarahkan pengarah terkenal negara itu, Thomas Borch-Nielsen. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah, antaranya Anugerah Filem Fantasi di Festival Antarabangsa Brussels dan Festival Robert.

Disco Worms menceritakan mengenai seekor cacing tanah muda bernama Barry yang bosan dengan kehidupannya sebagai serangga. Di dalam sarang penempatan serangga, cacing menjadi golongan yang ditindas oleh spesies lain, dan satu-satunya harapan dalam kerjaya mereka ialah menjadi pengurus kelas pertengahan industri penghasilan baja yang dianggap kerjaya membosankan.

Jika Barry diberi satu pilihan, dia memilih untuk tidak mahu menjadi cacing. Pada satu hari, Barry terlanggar sekeping piring hitam yang mengandungi lagu disko lama. Apabila mendengar muzik itu, ia ibarat mengalir ke dalam susuk badannya.

Tanpa disedari, Barry mula menggoyangkan badannya mengikut aliran rentak muzik tanpa dikawal dan terus menari. Sejak itu, muncul semangat untuk menubuhkan kumpulan Boogie yang diiringi oleh Donna – pemain drum, Jimmy (gitar), Gloria (vokalis), Tito (bass) dan Barry (keyboard dan vokal utama).

Mereka menggelar kumpulan ini sebagai Sunshine Barry And The Disco Worms.

Barry mengambil bahagian dalam pertandingan lagu yang akan ditayangkan secara langsung di seluruh penempatan serangga. Pelbagai halangan yang terpaksa diharungi Barry dan kumpulannya sehingga tertangkap untuk dijadikan umpan pemancing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: