Monday, March 30, 2009

Jarum Emas: Maestro gulung tikar


“ABANG Adam, Maestro bungkus operasi Isnin ini!” Info pertama diterima saya melalui SMS daripada wartawan hiburan Bipop (Bintang Popular), Raja Nurfatimah Mawar, lalu saya membalas: “Mana tahu ni?”

Antara percaya dan tidak, sebaik tiba di pejabat selepas solat Jumaat, rakan di RAP (Harian Metro) mengiyakan lalu saya minta supaya cari ‘orang kuat’ Maestro, Freddie Fernandez untuk beri komen.

Memang sukar percaya, kerana artis di bawah naungan Maestro bukan calang-calang, maklumlah ada Mawi dan ramai lagi.

Jenuh dibuatnya apabila talian Freddie sukar ditembusi, berbeza sebelum ini asal telefon laju saja dijawabnya. Berdetik di hati, mungkinkah Freddie yang sebelum ini petah dan rasional menjawab soalan wartawan cuba melarikan diri? Telahan itu meleset kerana akhirnya Freddie mahu menjelaskan isu itu.

Tidak seperti selalu, komen Freddie ringkas saja iaitu mengesahkan operasi Maestro ditutup tetapi enggan mengulas lanjut, kerana ‘orang kuat’ Astro, Zainir Amirullah akan memberi kenyataan nanti.

Daripada berpuluh artis yang bernaung di bawal label syarikat pengurusan itu, cuma Mawi (Asmawi Ani), Farah (Farah Diana Anuar), Dafi (Gadaffi Ismail Sabri), Stacy (Stracie Angie Anam) dan Mila (Nor Sharmila Jirin) dikekalkan.

Yang lain, pandai-pandailah bawa diri di persada seni yang belum pasti untung ruginya itu.

Penutupan Maestro bagi saya satu malapetaka baru pada bidang nyanyian tanah air. Adakala nak tergelak dibuatnya bila membaca banyak catatan di akhbar juga televisyen ditulis atau disebut industri rakaman, walhal realitinya mana ada industri untuk penyanyi kita kerana semuanya fantasi.

Sejak dulu, kini dan tidak mustahil selamanya, album penyanyi kita masih berlegar di kepompong sama. Untuk album sekarang dijual lebih 1,000 unit pun sakit, mana mungkin kita menyebut industri.

Satu persatu syarikat rakaman, termasuk label antarabangsa serta produksi tempatan, gulung tikar. Saya menyandarkan pada Maestro bagi menyuntik semangat generasi baru untuk terus berjuang mencari rezeki di bidang nyanyian, sekalipun hakikatnya kita maklum ia bagai ‘hidup segan, mati tidak mahu’.



Dengan adanya Maestro, setidak-tidaknya bintang dilahirkan melalui Akademi Fantasia (AF) ada tempat untuk mengembang bakat. Di sebalik komen dan kritik dilemparkan pada Maestro kerana gagal gemilangkan bintangnya, hakikatnya bagi saya bintang AF lebih beruntung berbanding bintang realiti lain.



Sebabnya, melalui AF ruang publisiti terbuka luas baik di media cetak dan elektronik, cuma bergantung kepada inisiatif setiap bintang AF itu untuk terus gemilangkan populariti mereka.

Apa terjadi, usahkan bintang AF, kalangan bintang realiti lain tidak dapat merangka, apatah lagi mencari ruang baru untuk mereka meneruskan bakat yang ada, berbanding menyerah pada takdir semata.

Dengan penutupan Maestro, timbul persoalan bagaimana nasib bintang kelahiran AF7 kelak atau adakah kemungkinan AF7 kali ini yang terakhir sebelum menanti bidang rakaman kita kembali normal.

Apa juga alasan Freddie dan Zainir di sebalik penutupan Maestro, saya cuma boleh menjangkakan krisis ekonomi global antara punca syarikat itu tidak dapat menghela nafas panjang lagi.

Ia sama seperti mana berpuluh-puluh kilang ditutup dan pekerjanya menjadi penganggur. Cuma pekerja kilang tidak glamor seperti penyanyi, tetapi keistimewaannya pula ada majikan kilang menyediakan pampasan pada kakitangan yang berhentikan kerja, tidak seperti penyanyi yang hanya menggigit jari.

Mudah cerita, bidang rakaman kita kian hilang hala tuju. Lebih derita, untuk Anugerah Industri Muzik Malaysia Ke-16 nanti, jumlah album yang dipertandingkan merosot kepada cuma 50 penyertaan.

Tekanan dihadapi bintang AF2, Mas (Asma Ghani) pertengahan Februari lalu hingga dirawat di Wad Psikiatrik Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) hakikatnya menjadi ‘clue’untuk sesiapa yang mahu melangkah ke bidang nyanyian supaya bersedia menerima nasib “menanti buah tak gugur” jika album tidak muncul-muncul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: