Monday, March 30, 2009

Industri muzik perlu RM10 juta


PIHAK penganjur AIM16, wakil penaja dan para finalis ceria selepas sidang media Anugerah Industri Muzik ke-16 itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KEMERUDUMAN industri rakaman album-album tempatan kebelakangan ini dapat dilihat daripada jumlah pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) yang akan diadakan pada 2 Mei depan.

Tahun ini, hanya 54 buah album dicalonkan dan ia merupakan jumlah terendah dalam sejarah penganjuran AIM selain turut menyaksikan penurunan pencalonan sebanyak 40 peratus berbanding tahun lalu.

Senario itu membimbangkan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) selaku penganjur AIM kerana tanpa bantuan atau rangsangan ekonomi, lambat laun industri rakaman akan berkubur juga.

Justeru, Presiden PAIMM, Datuk Aziz Bakar mencadangkan kerajaan seperti Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) tampil ke depan membantu industri muzik tanah air.

"Kerajaan diharap dapat mengeluarkan geran bantuan kepada penyanyi atau syarikat rakaman yang ingin merakamkan album tetapi kekurangan modal.

"Contohnya, untuk merakamkan album mereka perlukan modal sekitar RM100,000 termasuk kos promosi. Bagi mengurangkan beban, separuh daripada kos itu mungkin boleh dibiayai oleh kerajaan.

"Saya cadangkan kerajaan dapat menyediakan dana sekurang-kurangnya RM10 juta bagi mengatasi masalah itu," katanya ketika ditemui selepas sidang media AIM16 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Aziz, dana atau yang berbentuk geran itu mampu menjana semula industri rakaman album yang semakin malap sejak kebelakangan ini.

Bagi melancarkan lagi pelaksanaan rangsangan modal itu, beliau turut mencadangkan kerajaan melantik organisasi tertentu bagi menguruskan dana atau geran tersebut.

"Saya mencadangkan supaya kerajaan tampil ke depan membantu industri rakaman album dan melantik badan-badan tertentu bagi menjaga kebajikan industri rakaman album di negara ini.

"Misalnya, dengan melantik Majlis Muzik Malaysia sebagai badan yang bertanggungjawab menguruskan sesuatu dana pinjaman atau geran bagi membantu industri ini," ujarnya.

Cadangan Aziz itu wajar diberi perhatian kerajaan kerana setakat ini industri rakaman belum mendapat pembelaan sewajarnya berbanding bidang perfileman yang mempunyai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di bawah KPKKW.

Melalui Finas, industri perfileman mendapat banyak perhatian termasuklah peruntukan kewangan, dana, geran, skim latihan dan sebagainya. Agensi itu telah banyak merangsang bidang itu sejak 26 tahun lalu.

Jika kerajaan tidak membantu merancakkan industri rakaman album, maka dikhuatiri jumlah penerbitan album di negara ini bukan sahaja semakin menurun, malah tidak mustahil ia juga akan berkubur pada masa depan.

Ini kerana, tidak banyak syarikat rakaman yang berani menerbitkan album baru ekoran kelembapan ekonomi global yang kini sedang melanda selain masalah seperti cetak rompak yang tidak berkesudahan.

Banyak impak yang akan melanda jika senario itu berlanjutan, misalnya ramai karyawan muzik di negara ini yang akan hilang pekerjaan ekoran permasalahan tersebut.

Malah, kesan jangka panjang daripada senario itu ialah industri muzik tempatan tidak mampu menghasilkan lagu-lagu baru dan ia akan membawa kemasukan lagu-lagu, album-album dan budaya luar yang tidak terkawal.

Kegawatan dalam industri rakaman album turut dijelaskan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM16, Rosmin Hashim yang bersetuju dengan cadangan Aziz.

Katanya, senario yang sedang berlaku itu bukan sahaja semakin membimbangkan para karyawan muzik tanah air, tetapi angka yang diperolehi jelas menggambarkan kebimbangan tersebut.

"Kalau 15 tahun lalu, industri rakaman album di negara ini mampu menjana pendapatan lebih RM200 juta setahun. Tetapi pada tahun lalu, jumlahnya menurun kepada RM70 juta," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: