Sunday, March 29, 2009

'Hati-hati sebelum kahwin lagi'


WANITA mana di dunia ini yang tidak ingin berkahwin dan membina keluarga bahagia. Begitu jugalah dengan pelakon Aida Aris.
Kata Aida, 37, yang kini hangat bercinta dengan Zul (Handy Black), buat masa ini dia belum ada perancangan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat ini.

"Biarlah soal jodoh ini saya serahkan kepada ketentuan Tuhan. Memang, saya sudah berkawan dengan Zul selama tiga tahun, tapi sampai sekarang kami masih lagi mengenali hati budi masing-masing kerana bagi saya ia perkara yang wajib dalam sesebuah perhubungan itu.

"Soal kahwin juga bukan perkara yang mudah dan boleh dibuat sambil lewa kerana banyak perkara yang perlu diambil kira. Pengalaman pahit (keruntuhan rumah tangga pertama sebelum ini) banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan berkahwin buat kali kedua.

"Perkahwinan juga bukan untuk sehari dua kerana seperti wanita lain, saya mengharapkan ia kekal hingga ke akhir hayat," katanya.

Pada masa sama, kata Aida, dia dan Zul sama-sama sibuk dengan kerjaya seni masing-masing.

"Selain mempunyai produksi sendiri, Zul juga sibuk berlakon drama dan masanya banyak dihabiskan di lokasi penggambaran juga sama seperti saya. Justeru, buat masa ini biarlah kami fokus pada kerjaya masing-masing dulu," katanya.

Jika nak diikutkan, dengan usianya sekarang, Aida mengakui, memang sudah sewajarnya dia mempunyai anak sendiri.

"Apabila melihat ramai artis lain mengambil anak angkat, terfikir juga hendak berbuat demikian.

"Tapi, saya bimbang pula jika tidak dapat menjaganya dengan baik nanti. Maklumlah, saya perlu menjaga kedua-dua ibu bapa yang tinggal bersama saya dan pada masa sama berlakon serta menguruskan produksi sendiri," katanya.

Namun, kata Aida, jika sudah sampai masanya nanti, dia tidak akan menyembunyikan perkara yang baik itu daripada pengetahuan peminat dan media.



"Sebelum ini, saya juga tidak pernah merahsiakan apa-apa daripada peminat. Justeru, kalau saya berkahwin lagi, sudah pasti saya menguar-uarkannya kepada peminat juga," katanya.



Aida ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Embun Mutiara di The Mines, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Dalam drama itu. Aida membawa watak pembantu bernama Sara.

Mengenai projek dramanya pula, kata Aida, telefilem Tercipta Untukku yang menampilkan gandingan Aida, Rusdy Ramli dan Ahmad Idham bakal menemui saluran Astro Prima adalah buah tangan sulung produksi miliknya, Cinta Kasih Productions Sdn Bhd yang ditubuhkan sejak 2006.

"Selain drama itu, projek drama untuk TV3, Suram Seri Pengantin arahan Feroz Khan. Saya juga turut berlakon dalam drama ini dan memegang watak pembantu.

"Buat masa ini, sudah ada beberapa projek drama yang dirancang, tetapi belum diputuskan lagi. Saya juga belum merancang untuk buat filem lagi kerana biarlah saya timba ilmu lakonan dan kerja penerbitan sebanyak mungkin sebelum mengembangkan sayap dalam bidang penerbitan pula pada masa depan.

"Biarlah saya fokus kepada apa yang saya buat sekarang ini dulu kerana kalau semuanya hendak dikejar, semuanya tidak akan menjadi nanti," katanya.

Kata Aida, selaku penerbit dan pengarah eksekutif produksi itu, penubuhan Cinta Kasih itu cukup bermakna buatnya kerana ia ditubuhkan dengan duit simpanan hasil titik peluhnya dalam bidang seni sejak dulu.

"Saya tubuhkan produksi ini bersama Zul dan seorang lagi rakan kongsi, Zana Zaharuddin.

"Saya sudah 17 tahun terbabit dalam bidang seni dan sudah sampai masanya menubuhkan produksi sendiri pula. Saya buat semua ini sebab minat dan ia sumbangan untuk memartabatkan bidang seni selain sebagai jaminan masa depan," katanya.

Sekalipun sudah bergelar penerbit, cinta Aida pada bidang lakonan tidak pernah luntur.

"Saya berlakon bukan kejar watak kerana sudah pelbagai watak saya lakonkan. Apa yang penting adalah kepuasan melakonkan sesuatu watak diserahkan dan pengalaman bekerja dalam pasukan produksi terbabit.

"Saya akan terus berlakon selagi termampu dan diberikan peluang. Apa yang penting, saya inginkan lakonan dan produksi saya bergerak seiringan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: