Monday, March 30, 2009

Giliran Ashraf, Zamaera


PUAS mencari mereka yang layak bergelar pengacara kids@fgw. Memandangkan ia program pagi dengan rating penonton paling tinggi, penapisan ntv7 perlu lebih ketat.

Fokus utama, mereka harus bijak. Paling penting petah berbicara, kreatif dan berkeyakinan tinggi. Sesi demi sesi uji bakat diadakan, akhirnya gelaran itu menjadi milik Ahmad Ashraf Abdul Rashid dan Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen.

Menyelami perasaan mereka, siapa yang tidak gembira terpilih bergelar perantara program berkenaan. Lebih menarik, Ashraf yang tidak pernah menyimpan angan-angan untuk bergelar pengacara.

“Mulanya, seorang rakan yang berhajat mahu mencuba uji bakat itu meminta saya menemaninya. Tanpa berfikir panjang, saya menurut ajakannya itu dan dalam masa sama, nama saya turut dimasukkan dalam senarai calon yang hadir.

“Mahu atau tidak, saya sekadar mencuba. Selepas beberapa minggu, pihak ntv7 menelefon dan memaklumkan saya terpilih untuk sesi kedua. Mulanya, terkejut juga. Lagipun, saya sendiri tidak pernah terfikir akan bergelar pengacara,” katanya.

Tambah anak muda berusia 18 tahun ini, dia memandangnya sebagai rezeki dan medan untuk meluaskan pengalaman serta mempelajari banyak perkara. Katanya, pengalaman itu ilmu terbaik untuk dipelajari.

“Sejak bergelar pengacara dan selepas selesai mengacarakan beberapa siri untuk program ini, minat itu mula timbul. Sedikit demi sedikit saya mula jatuh cinta terhadap bidang ini.

“Ini pengalaman pertama saya. Tiada pengalaman yang dapat membantu saya dan sebab itu saya perlu banyak belajar mengenai bidang ini. Apa yang penting, saya berpeluang mempelajari banyak perkara baru,” katanya.

Bagi Zamaera pula, minat mengacara sudah ada dalam dirinya. Sebelum ini, anak dara berusia 14 tahun ini pernah mengacarakan program Laba Kids untuk siaran RTM.

“Minat mengacara mula timbul apabila saya berpeluang mengacara program kanak-kanak, Laba Kids. Bergelar hos program itu selama dua tahun, banyak yang saya pelajari dalam bidang ini.



“Begitupun, tidak semuanya sama. Setiap satu memberikan pengalaman berbeza. Misalnya, mengacarakan rancangan ini, khalayak penontonnya lebih besar. Jadi, tekanan untuk memberikan yang terbaik sentiasa ada malah lebih banyak yang saya pelajari apabila mengacarakan program berbentuk urban seperti ini,” jelasnya.



Menyentuh soal serasi, Zamaera tidak canggung digandingkan dengan Ashraf. Walaupun ini pengalaman pertama bagi pasangannya itu, lagak spontan, periang dan sifat peramah dimilikinya membuatkan mereka mudah mesra.

“Bagi saya, keserasian itu mudah dibentuk, asalkan kami berfikiran terbuka. Ditambah pula gelagat Ashraf yang petah berbicara malah saya pula ligat di depan kamera menguatkan lagi gandingan ini,” katanya.

Tambah Zamaera, program ini bukan saja menjadi perantara stesen untuk memaklumkan penonton mengenai program kartun yang mewarnai ntv7 dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari. Sebaliknya, ia turut mengetengahkan pelbagai segmen berguna.

“Selain program kartun, rancangan ini memaparkan informasi pendidikan seni, teknologi, lokasi menarik, komuniti dan aktiviti yang terbaik untuk seisi keluarga.

Dalam mencetuskan golongan remaja yang bijak, program ini turut mempunyai segmen peraduan di mana penonton boleh menguji kepintaran mereka,” katanya yang berdarah kacukan Arab di sebelah bapa manakala ibunya Melayu.

Melihat beberapa personaliti yang berjaya mencipta nama dalam dunia seni berlandaskan program ini seperti Lisa Surihani, Rosdiana Rusdi dan Hafidz, dua pengacara ini turut menyimpan impian yang sama.

Jelas Ashraf, walaupun masih baru tidak salah untuk mereka menyimpan impian bergelar artis suatu hari nanti. Begitupun, mengenangkan usia mereka yang masih muda sudah tentu pelajaran menjadi fokus utama.

“Bagi saya, berpeluang meneroka ruang dalam dunia seni ini menjadi satu bonus besar. Begitupun, saya masih baru manakala Zamaera pula terikat dengan pelajarannya.

“Sebab itu, buat masa ini kami mementingkan pelajaran. Sekurang-kurangnya jika berpeluang bergelar artis suatu hari nanti, biarlah kami menjadi artis yang berilmu,” katanya ringkas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: