Monday, March 30, 2009

Dengarnya...: Pelakon wanita kedekut?


BIASALAH, ketika orang ramai rancak bercerita mengenai Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang semakin hampir acara kemuncaknya itu, maka topik mengenai pakaian pun tentulah tidak terkecuali. Maklumlah, majlis anugerah ini sering kali dikaitkan sama dengan fesyen.

Setiap kali ada acara anugerah, maka setiap kali itu jugalah pereka fesyen tak menang tangan. Jari mereka pun sudah tidak boleh nak lurus lagi sebab asyik pegang jarum untuk menjahit. Bila lagi masanya mereka hendak cipta nama, kalau bukan pada majlis anugerah macam ABPBH, yang menyaksikan artis popular negara mengerlip dalam rekaan mereka?

Sebut fasal pakaian, Cik Normah teringat cerita kawan-kawan yang memang tidak pernah ketinggalan tempah baju baru apabila tiba acara anugerah seperti ini. Kata Angelina Molie, dia sering berkongsi cerita dengan pereka tanah air, setiap kali ke butik mereka untuk menempah gaun.

Dalam banyak-banyak cerita itu, dia tidak lupa luahan hati pereka mengenai sikap seorang pelakon wanita yang hanya tahu hendak melawa, tetapi tidak pula tahu hendak berbakti. Katanya, apabila ada acara besar, mulalah dia telefon pereka itu dan ini untuk menyediakannya baju cantik-cantik.

Tetapi, dalam banyak baju tajaan yang digayakan, jarang sekali kedengaran dia membeli gaun yang dipakainya itu daripada pereka terbabit. Padahal, tidak ada salahnya kalau sekali-sekala dia beli sajalah baju berkenaan, sebagai tanda penghargaan kepada pereka yang berhempas pulas untuk mencantikkan penampilannya. Sikapnya itu membuatkan sesetengah pereka bagai tawar hati untuk bekerja dengannya lagi.

Cik Normah rasa, pelakon ini sayang hendak keluarkan duit untuk benda macam ini. Mungkin sudah biasa sangat dengan benda percuma. Yang dia tidak sedar, sikap baik budi seperti itulah yang boleh memanjangkan lagi kerjaya seninya. Dia sepatutnya mencontohi beberapa artis seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Erra Fazira, yang ada waktunya membeli terus pakaian yang disediakan pereka untuk dipakai olehnya pada sesi fotografi atau majlis. Paling tidak pun, mereka akan menempah pakaian lain daripada pereka terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: