Tuesday, March 31, 2009

Dengarnya...: Dekna dapat cahaya mata



Dekna

TAHNIAH terlebih dulu Cik Normah ucapkan kepada pelakon jelita, Erra Fazira yang selamat melahirkan cahaya mata perempuan, jam 11.40 pagi semalam. Alhamdulillah kerana semuanya berjalan lancar. Malah Cik Normah dapat tahu, kedua-dua ibu dan anak sihat. Tahniah Erra dan suaminya, Engku Emran.

Khabar gembira itu bukan saja diterima pasangan popular itu. Sebaliknya, ada satu lagi pasangan yang turut menerima kehadiran orang baru dalam hidup mereka. Barangkali ramai yang sudah lupa kepada bintang AF5, Dekna atau nama sebenarnya, Aryanna Najwa Ahmad.

Sejak program realiti itu berakhir, Dekna seakan menyepikan diri. Tidak tahu apa yang berlaku, mungkin kecewa dengan perjalanan kariernya, Dekna seakan membawa diri dan perlahan-lahan popularitinya beransur pergi. Cuma kali terakhir, Cik Normah mendapat tahu Dekna melangsungkan perkahwinan dengan anggota polis, Fazli Ayob, tahun lalu.

Terbaru, ketika Cik Normah sibuk membeli belah di Pavilion, Sabtu lalu, tiba-tiba seorang teman menelefon menyampaikan satu khabar gembira mengenai Dekna. Teman itu memberitahu Cik Normah, Dekna selamat menimang cahaya mata beberapa hari lalu.

Kurang pasti pula apa jantina bayi itu. Maklum ketika berita itu disampaikan, Cik Normah asyik membelek sepasang gaun tenun rekaan pereka terkenal untuk digayakan di majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands nanti.

Dalam perbualan itu, teman Cik Normah turut memberitahu, bintang AF5 itu sedang berehat di kampung kelahirannya di Pulau Pinang. Seronok Cik Normah mendengar berita ini.

Maklum Cik Normah sendiri sudah lama mengimpikan saat untuk bergelar ibu. Mungkin belum rezeki Cik Normah untuk menimang cahaya mata. Tak apa, sekurang-kurangnya Cik Normah masih berpeluang untuk menggayakan gaun sendat seperti yang pernah dipakai penyanyi terkenal Indonesia, Yuni Shara. Jangan ada yang cemburu pula!!!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: