Monday, March 30, 2009

Bukan lagi Winnie Kok

Guna nama baru selepas berjaya kembangkan kerjaya seni di Indonesia

PERTAMA sekali, impiannya untuk muncul dengan album berbahasa Melayu sudah pun terlaksana. Keduanya, album berkenaan bukan hanya dipasarkan di Malaysia, malah terlebih dulu memasuki pasaran negara jiran, Indonesia.

Selepas memiliki tiga album Mandarin, Winnie K memang mengidamkan sebuah album Melayu penuh. Sebelum ini, dia hanya pernah muncul bersama single Melayu berjudul Kau Dan Aku ciptaan Ajai. Menyambung usaha yang dimulakan dengan single berkenaan, Winnie mengorak langkah yang panjang, sehingga terhasilnya album sulung Melayunya.

Awal tahun lalu, album Kau Ada Di Mana sudah dilancarkan di Jakarta dan baru-baru ini, album yang dibungkus semula itu dilancarkan pula secara rasmi di Kuala Lumpur, hampir lapan bulan selepas ia mula dipasarkan di negara sendiri.

Menggabungkan pencipta dari kedua-dua negara, seperti Ajai, Tam Spider, Cat Farish, Dewiq dan Yudis Dwikorana, album yang diusahakan Winnie nampaknya menggamit perhatian Trinity Optima Productions dari Indonesia. Syarikat yang sama turut menaungi penyanyi tersohor Rossa dan kumpulan Ungu.

Pada majlis pelancaran album terbabit, Winnie sempat berkongsi pengalamannya sepanjang berada di negara seberang bagi mengembangkan karier seninya. Daripada sedutan klip yang ditayangkan, jelas sekali penyanyi ini akhirnya berjaya membolosi ruang kemunculan di kaca televisyen negara terbabit.

Bukan sekadar menyanyikan lagu sendiri, Kau Ada Di Mana, yang menjadi single pilihan pada beberapa kemunculan, malah Winnie turut dilihat berduet dengan beberapa nama besar termasuk Sheila On 7.

"Semua ini tidak pernah terfikir oleh saya - untuk mempunyai album Melayu penuh, menyaksikannya dipasarkan di Indonesia dan membuat kemunculan di kaca televisyen utama negara berkenaan. Jika tidak kerana usaha keras syarikat rakaman saya di sana, belum tentu saya saya mampu dapat berasakan semua pengalaman itu. Saya berasa cukup bertuah dikurniakan semua ini," katanya.

Sebelum dipasarkan di Indonesia, Winnie sebenarnya sudah menyiapkan tujuh lagu di Malaysia. Produk itu kemudian dibawanya ke sana yang seterusnya menarik minat Trinity. Seterusnya beberapa lagu dari komposer negara itu dirakam, termasuk Kau Ada Di Mana oleh Dewiq.

Bagi versi bungkusan semula ini, album terbabit turut menyenaraikan lagu ciptaan Tam Spider, Di Taman Magis, serta versi minus one Kau Ada Di Mana.

“Lagu Di Taman Magis tidak dimuatkan dalam album pasaran Indonesia kerana liriknya agak sukar untuk difahami peminat sana," kata Winnie sambil menegaskan, dia tidak akan kembali menggunakan nama Winnie Kok untuk mana-mana album akan datang, sebaliknya menganggap jenama Winnie K lebih mudah diterima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: