Sunday, March 29, 2009

Alyah tabah




Mungkin kerana sudah penat menempuh banyak dugaan, gadis manis bersuara lunak ini hampir menyerah kalah.

Satu persatu kepayahan hadir menguji hidupnya. Sengaja menyingkap perjalanan kariernya, Alyah mula dikenali apabila menjuarai pertandingan Bintang HMI 2000 sebelum merakam album sulung bersama EMI iaitu Permata setahun kemudian.

Alyah yang pernah menyertai pertandingan One In A Million dan bersama kumpulan Fabulous Cat sebelum bergerak secara solo.

Belum puas melakar nama di persada seni, imejnya sedikit tercalar apabila dilabel sebagai artis yang tidak berdisiplin. Ketika itu dia bersama kumpulan One Nation Emcees menyertai Gangstarz musim kedua.

"Semasa saya menyertai pertandingan Gangstarz bersama One Nation Emcees, masalah peribadi pula timbul hingga menyebabkan saya keluar daripada grup tersebut.

"Orang ingat saya keluar sebab nak rakam album, tapi bukan. Ada hal peribadi yang terpaksa saya selesaikan pada masa itu," katanya.

Lebih menyedihkan, ikatan pertunangan yang terbina utuh bersama insan tersayang yang berasal dari seberang terlerai begitu sahaja.

"Saya rasa seperti masalah datang bertimpa-timpa baik dalam kerjaya mahupun hubungan.

"Memang masa itu saya terduduk dan tak mampu untuk berkata-kata. Tapi saya terima semuanya sebagai ketentuan Tuhan," tuturnya sayu.

Peritnya dibiarkan berlalu dan digalas dengan penuh ketabahan. Cuba menyelamatkan diri daripada terus menyerah kalah, Alyah bangkit daripada episod hitam yang pernah menghantuinya.

Terbitnya sinar baru dalam hidup, Alyah kemudian dibantu oleh individu prihatin yang membuka ruang kepadanya untuk menerbitkan album kedua.

Album bergenre pop indo terbitan Label Wake The Baby dan Complete Version itu mendapat sentuhan beberapa komposer terkenal seperti Ajai dan Habsah Hassan.

Di dalam album ini, lapan buah lagu menjadi taruhan Alyah. Sebagai tanda terima kasih kepada peminat-peminatnya, dua buah klip video lagu Tak Mungkin Kerana Sayang dan Ku Pinjam Satu Bintang versi duet bersama Riz (AF6) turut dimuatkan dalam album tersebut.

"Alhamdulillah, album kini masih dalam rangka promosi dan lagu Alyah juga semakin banyak dimainkan di corong-corong radio. Penat lelah saya selama lapan tahun bergelar penyanyi kini berbayar dengan kejayaan yang saya miliki sekarang," ujarnya.

Album terbarunya kini turut tercalon dalam Anugerah Industri Muzik menerusi kategori Album Pop Terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: