Monday, March 30, 2009

Almy tak kisah Fizz jadi gay



TINDAKAN berani Fizz Fairuz melakonkan watak homoseksual dalam dua buah drama iaitu, ‘Donut’ dan ‘Mabuk Estrogen’ dalam produksi milik pengarah, pelakon dan penerbit Sheila Rusly, sememangnya mengundang pelbagai kontroversi. Dia yang biasanya memegang watak serius yang penuh sifat ‘kejantanan’ tidak disangka pula sanggup menerima watak sedemikian untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pelakon.

Bukan sahaja sanggup menjadi ‘Mak Nyah’ dalam drama ‘Donut’, tetapi dia juga sanggup melakonkan babak bercium dengan Roslan Shah dalam drama ‘Mabuk Estrogen’. Walaupun ramai yang mengecam tindakannya itu, namun bagi buah hatinya - siapa lagi kalau bukan si cantik manis, Almy Nadia - tidak pula mempengaruhi hubungan mereka.

Bagi Almy, Fizz hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pelakon dan apa sahaja aksinya dalam kedua buah drama itu hanyalah lakonan semata-mata. Dia yang menyokong sepenuhnya keputusan Fizz untuk membintangi drama yang penuh ‘kontroversi’ itu, juga percaya bahawa imej Fizz tidak akan terjejas dengan hanya lakonan seperti itu.

“Itu cuma lakonan. Sebagai pelakon tak salah dia mencuba watak yang berlainan lagipun sudah menjadi tugasnya untuk berlakon. Saya tak kisah dia nak berlakon apa pun, walaupun jadi ‘Mak Nyah, ‘gay’ atau kena bercium sekalipun. Yang penting, kami percaya antara satu sama lain,” kata Almy ketika dihubungi baru-baru ini.

Seperti mana Fizz sentiasa memberi kebebasan padanya untuk melakonkan apa sahaja watak, kata Almy, dia juga harus bersikap terbuka menerima apa sahaja keputusan kekasihnya bagi mengembangkan lagi bakat lakonan masing-masing. Malah akui Almy, aksi beraninya melakonkan ‘babak panas’ dalam filem seram ‘Rasukan Ablasa’ sebelum ini juga tidak pernah mendapat bantahan dari Fizz.

“Memang dia ada memberitahu saya tentang lakonannya dalam drama Mabuk Estrogen itu, tapi bukannya untuk meminta kebenaran, sebaliknya supaya saya tidak terkejut kalau ia akan menjadi kontroversi nanti. Apa sahaja keputusannya saya terima sahaja.

“Antara kami masih belum ada ikatan apa-apa lagi. Jadi kami tidak mahu mengongkong antara satu sama lain. Kalau boleh saya nak biar dia merasaikan kepuasan berlakon dulu. Lagipun berlakon inilah ‘periuk nasi’ kami. Kalau memilih sangat, nanti hilang pula rezeki. Kalaulah dah bertunang atau berkahwin, lain pula situasinya nanti. Apa sahaja watak kenalah bawa berbincang dulu,” ujarnya.


Soal kahwin ketepikan dulu

Ditanya bila lagi mereka akan mendirikan rumah tangga, kata Almy, baik dia mahupun Fizz masih belum bersedia untuk ke arah itu. Terlalu banyak agenda yang harus mereka laksanakan terlebih dahulu. Selain mahu mengukuhkan karier masing-masing, mereka juga harus memiliki persediaan untuk melangkah ke alam baru itu nanti.

“Sepanjang tiga tahun bercinta, Alhamdulillahlah, hubungan kami semakin baik. Mungkin itulah yang dikatakan ‘tak kenal maka tak cinta’. Dalam tempoh ini juga saya dapat rasakan kami semakin mengenali antara satu sama lain dan yang paling penting, kami serasi. Tapi soal kahwin ni, biarlah dulu dan kami tak pernah rancang. Insya-Allah, Kalau dah tiba masanya, adalah kad jemputan dihantar nanti,” kata Almy dengan nada yang ceria.

Beralih tentang karier seninya, Almy memberitahu dia kini sedang menjalani dua penggambaran drama iaitu Suria Kasandra untuk Samarinda (TV3), dan Agen Gus-Gus untuk siaran Astro.

“Dua-dua drama ini memberikan kelainan pada saya. Dalam drama Suria Kasandra misalnya, saya diberi peluang untuk melakonkan dua watak sekali gus yang mana saya kena melakonkan watak baik dan juga watak jahat dalam satu masa yang sama. Memang susah bawa dua watak ni, sebab saya kena jadi ‘bermuka-muka’ dan banyak bermain dengan ekspresi wajah serta emosi.

“Dalam drama Agen Gus-Gus pula, buat kali pertamanya saya berlakon sebagai wartawan dan akan berkawan dengan ‘Alien’. Terus-terang saya memang ‘enjoy’ berlakon drama ini kerana ia memang menyeronokkan. Maklumlah drama komedi!” kata Almy.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: