Thursday, February 5, 2009

Tidak gentar nama tenggelam...Kefli




JANGAN terkejut jika suatu hari nanti anda terlihat kelibat pemuda ini memandu kereta mewah. Apalagi jika dia mendiami pula rumah yang besar dan serba lengkap.

Bila melihat kemewahan seseorang, apatah lagi golongan artis yang tanpa diketahui dari mana punca hasilnya, pasti ada yang memandang serong.

Biarpun sepi tanpa populariti, bekas pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3), Mohamed Zulkefli Mohd. Idir atau dikenali dengan nama Kefli tidak mustahil mengecap kemewahan yang disebutkan itu.

Dia yang sebenarnya masih lagi sibuk memenuhi tawaran berlakon bijak menjana pendapatan dengan turut mempunyai perniagaan sendiri.

Anak muda gigih ini giat menceburi pelbagai bisnes selagi ada peluang. Selepas menyertai Pertubuhan Pembangunan Belia Kuala Lumpur, Kefli turut menyertai Karnival Rakyat Muda, Majlis Santapan Raja, My Usahawan dan Jambu Pak Cu 916.


BELUM ada rezeki. Kefli mengakui peluangnya untuk membuktikan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi belum menjadi kenyataan.


Malah, dengan adanya gerai Prapp Street di Taman Sri Rampai Setapak, Kefli, 25, tidak gentar jika suatu hari nanti namanya terus tenggelam daripada industri hiburan.

"Saya tak kisah jika orang nak panggil saya ini 'artis sendu' atau 'suam-suam kuku'. Itu sekadar pendapat orang dan sedikit pun saya tak terasa atau makan hati. Memang saya memulakan perniagaan sejurus selepas AF3 berakhir.

"Mungkin saya kurang publisiti kerana terlalu sibuk. Kalau tak berlakon, saya sibuk dengan bisnes, jadi saya kurang ada masa terluang.

"Tapi kalau nak kata saya kurang publisiti, rasanya sekali sekala ada juga cerita saya keluar. Cuma kadangkala agak sukar untuk saya memenuhi undangan sesi fotografi," ujarnya.


KEFLI sentiasa berusaha gigih dan tidak terlalu berkira dengan rezeki.


Tambah Kefli, sungguhpun rezekinya untuk bergelar penyanyi belum menjelma dengan pembikinan album, dia bagaimanapun langsung tidak melatah. Malah, dia bersyukur kerana berpeluang untuk mencari rezeki dalam bidang lain.

"Saya tahu, dari segi nyanyian, rezeki saya masih belum melekat lagi. Walau bagaimanapun, saya masih tetap menerima undangan nyanyian bagi majlis-majlis tertutup.

"Sebenarnya saya tak kisah sangat. Yang penting kita tidak boleh terlalu berkira sangat dengan rezeki. Mana yang datang dulu, itu yang saya ambil," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran slot Senda Pagi TV3 di Capital Studio, Sri Damansara, baru-baru ini.

Dalam slot tersebut, Kefli berlakon dalam drama Berek yang kini ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11 pagi di TV3. Menerusi drama itu, buat pertama kalinya, Kefli diberi peranan sebagai lelaki lembut.

Masih berkawan dengan Marsha

Mungkin mempunyai sebab tersendiri, sehingga kini Kefli masih lagi tidak menjelaskan hubungan sebenar antaranya dan Marsha. Mereka hanya 'teman tapi mesra' seperti yang sering diucapkan.


HUBUNGAN Kefli dan Marsha masih seperti dulu.


Biarpun dikatakan teman tapi mesra, Kefli turut terkena tempias dengan gosip-gosip liar yang melanda diri Marsha.

Termasuklah kisah Marsha yang kononnya hamil dan membuat keputusan untuk menggugurkan janinnya. Walaupun dinafikan oleh Marsha, Kefli turut 'menyertai' gosip yang entah dari mana datangnya itu.

"Mungkin kerana saya antara orang yang paling rapat dengan Marsha, saya juga terkena tempiasnya. Alhamdulillah, keluarga saya faham perkara yang sebenar dan mereka tidaklah terlalu banyak bertanya.

"Biasalah, mulut orang, kita tak boleh nak tutup. Bagaimanapun, hubungan saya dan Marsha masih lagi seperti dulu, teman tapi mesra. Banyak perkara yang perlu diambil kira dalam hubungan kami dan banyak hati yang perlu dijaga. Lebih senang saya katakan, saya tak boleh nak beritahu secara tepat tentang hubungan ini.

"Bila tiba masanya nanti, barulah kami akan perjelaskan kisah hubungan kami ini. Lagipun, kami masih muda. Banyak lagi perkara yang perlu kami kecapi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: