Thursday, February 5, 2009

Bijak curi peluang


Adam & Dafi

Mereka ini enggan toleh ke belakang lagi, malah pantas pacu kerjaya dalam bidang seni

BERBALOI! Tidak sia-sia percaturan dua profil bernama Adam dan Dafi ini menyanjungi bakat dan kredibiliti kumpulan trio adik beradik KRU dianggotai Norman, Yusry dan Edry. Anak muda kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) ini bijak mencuri peluang yang datang di depan mata dan hasilnya mereka boleh tersenyum bangga dengan apa yang dicapai kini.

Berbanding Dafi, Adam lebih dulu memacu kerjaya selepas dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga AF musim kedua. Sejak empat tahun setengah berkecimpung di arena seni, Adam sudah memiliki tiga album bersama KRU manakala Dafi daripada AF musim kelima baru saja muncul dengan album sulung diberi judul Seumur Hidup. Biarpun AF musim ketujuh bakal menjelma, hayat Adam dan Dafi diramalkan tidak akan terus berkubur begitu saja jika mereka terus memanfaatkan peluang yang sudah terbuka di depan mata.

Mereka saling memuja terhadap pencapaian masing-masing, malah Adam kini mula bijak mengorak langkah demi sebuah masa depan yang lebih terjamin dengan membabitkan diri sebagai usahawan muda. Adam sudah memiliki syarikat iaitu Aico Entertainment untuk menguruskan kerjayanya dan terbaru, syarikat Curio Entertainment dan Crazy Studio. Dafi sendiri mengakui berbangga dengan usaha Adam hingga dia sendiri berhajat untuk memiliki perniagaan berkaitan bidang muzik, malah saat dia melihat coklat di depan matanya, mula terdetik di hatinya untuk membuka kedai menjual coklat.

Hip gandingkan mereka dengan gaya separa anime futuristik, persis perwira komik yang gagah menentang musuh, sisi maskulin Adam dan Dafi cukup terserlah dan kelibat mereka di sebuah gudang berdekatan Balai Berita menjadi medan mereka ‘bertarung’ gaya. Bersama Hip, mereka yang sering dipuja ramai gadis remaja tidak betah duduk diam saja tanpa melakukan inisiatif sendiri demi memantapkan pacuan kerjaya yang sedang dilayari.

Menurut Adam, jika dulu mentalitinya hanya menunggu duit datang kepadanya tapi tidak lagi kini kerana jejaka kelahiran Inanam, Sabah ini bijak menjana dan mencari wang. Akui Adam, dia bersyukur bernaung di bawah KRU Studios kerana secara automatik pemikirannya berubah dan menjadi ‘otak bisnes’ seperti mana yang dilakukan KRU.



Mengikuti jejak apa yang dilakukan KRU dengan mencari bakat pelapis, Adam kini juga sudah mempunyai artis naungannya sendiri iaitu B.A.D Boys mengetengahkan konsep pop shuffle yang pertama dilaksanakan di Malaysia.

“Kerjaya seni saya semakin hari semakin mencabar dan melihat ketidakstabilan pasaran album, ada kalanya kita sukar menjangka apa yang bakal berlaku di kemudian hari. Saya bersyukur sebab masih mendapat peluang membikin tiga album, tapi atas kesedaran, mahu atau tidak, saya perlu mencari jaminan sampingan. Ini semua saya lakukan dengan menubuhkan syarikat.

“Sekarang ini saya tidak terlalu bergantung dengan pihak pengurusan KRU, sebaliknya saya harus pantas mencuri peluang yang boleh disalurkan untuk terus memperkukuhkan syarikat yang saya ada. Untuk memeriahkan pasaran seni kita yang kian suram, terutama kekurangan artis berkumpulan, B.A.D Boys hadir dengan satu pakej berbeza. Mereka bakal tampil dengan sebuah album mini pada tahun ini,” katanya sambil memberitahu kumpulan Esdco yang dianggotainya dengan Ijan dan Boy masih belum berkubur dan Insya-Allah bakal muncul dengan sebuah single pada pertengahan tahun ini.

Mengenai perkembangan seni, Adam bakal ke lokasi penggambaran filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak pada Februari ini. Insya-Allah, bermula 24 Januari ini konsert jelajah solo yang diusahakannya yang diberi nama Adam Tour akan mula ‘mengganas’.

“Sabah akan menjadi destinasi pertama konsert solo Adam pada tarikh itu iaitu di Labuan Konvensyen Centre. Ada 10 buah lokasi pilihan konsert di Sabah dan selebihnya akan diadakan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun lokasi tetap konsert di Kuala Lumpur belum dapat dipastikan kerana masih mencari kelulusan tempat yang sesuai.

“Saya merancang untuk menganjurkan konsert di dalam universiti. Bukan sekadar berhibur dengan menonton konsert, sebaliknya penonton yang datang beramal kerana setiap bayaran tiket yang dikenakan akan didermakan sebahagiannya ke badan kebajikan,” kata Adam yang semakin meledak dengan lagu Benar Benar.

Teruja dapat melunaskan empayar seni ke negara jiran

PENANTIAN Dafi sejak setahun setengah nampaknya membuahkan hasil apabila terlancarnya album sulungnya pada Disember 2008. Menurut Dafi, sepatutnya albumnya keluar lebih cepat daripada tarikh itu, namun dek peluang dan tawaran lain di depan mata yang cukup lumayan, termasuklah mendapat lagu menggunakan khidmat komposer Indonesia yang turut di muatkan di dalam albumnya, ia ditangguh hinggalah cukup lengkap segala-gala ramuannya.

Mengikut perancangan album itu akan diedarkan di Indonesia dengan kerjasama Sony BMG Music di sana, namun Dafi memaklumkan dia belum diberitahu tarikh sebenar bila album itu bakal dipasarkan. Sebagai artis yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Lelaki Terbaik menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 ini, Dafi sangat teruja kerana dapat meluaskan empayar seninya ke negara jiran, Indonesia.

Bahkan kempen iklan jenama ais krim yang dilakukannya bersama Gita Gutawa turut menerima tempias hebat apabila nama Dafi cukup dikenali di sana. Bagi Dafi, usaha memuatkan dua buah lagu komposer daripada sana dilihat bijak kerana ini adalah strategi serampang dua mata. Besar kemungkinan lagu Di Antara ciptaan anggota kumpulan Kerispatih, Badai ini bakal dijadikan single pertama untuk pasaran Indonesia.

“Dafi bertuah kerana bukan saja dapat bekerjasama dengan komposer tempatan, malah dua komposer dan penggubah muzik dari Indonesia iaitu Badai dan Erwin Gutawa. Secara keseluruhannya, Dafi berpuas hati dengan hasil album ini dan dengan iringan usaha ikhlas dan kerja keras, semuanya berbayar.

“Terngiang-ngiang lagi ingatan ini sewaktu mula merakamkan lagu Bila Terasa Rindu, memang Dafi sangat gementar. Namun, melihat kepada proses pembikinan album ini, Dafi tidak mempunyai masalah, malah pihak KRU sangat memahami. Sewaktu berada di Indonesia, biarpun tidak berkesempatan berjumpa Badai, Dafi hanya dibantu jurulatih vokal, Ucie Nurul sewaktu merakamkan lagu Di Antara. Lucunya, sewaktu di sana, Dafi terpaksa merakamkan lagu di studio alternatif apabila studio milik Badai tiba-tiba tiada kuasa elektrik.

“Bagaimanapun, Dafi sedar, dengan keadaan pasaran kita agak perlahan di tambah dengan masalah ekonomi, cetak rompak, industri muat turun lagu digital tapi harapnya peminat akan terus menyokong dengan membeli album yang asli,” katanya.

Dafi juga dilantik menjadi duta produk terbaru Silky mengikuti jejak Mawi dan Sharifah Amani. Produk yang dimaksudkan itu adalah minyak wangi berbentuk mini yang sesuai untuk golongan remaja. Salah satu iklan produk ini yang dijalankan arahan Yasmin Ahmad membabitkan Sharifah Amani. Sharifah Amani juga berlakon di sisi Dafi di dalam filem Sayang U Can Dance arahan Bjarne Wong.

“Dafi senang sekali dapat bekerjasama dengan Nani (panggilan untuk Amani). Dia sangat profesional dan pengalaman yang ditimba mematangkan dirinya untuk menangani cabaran dan dugaan bergelar anak seni. Selepas filem Sayang u Can Dance, Dafi ada juga menerima tawaran berlakon filem yang turut menggunakan elemen tarian, malangnya Dafi tak dapat menjayakannya,” katanya yang dijangka menamatkan pengajian diploma Bunyi dan Muzik di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya pada tahun ini. Pada masa yang sama, Dafi rancak mempergiatkan promosi album dan berharap dapat bertemu dengan setiap seorang daripada peminatnya.

Info Adam & Dafi

  • Adam bergelar artis di usia 21 tahun dan Dafi di usia 19 tahun.

  • Mensasarkan untuk berkahwin di usia 28 tahun dan kini sudah mencecah usia 25 tahun. Usik Adam, kalau paling lewat pun, dia ingin menamatkan status bujangnya sebelum 30 tahun. Manakala Dafi mengimpikan satu perkahwinan yang indah menjelang usia 30 tahun nanti.

  • Sewaktu di AF, Adam pernah digosipkan menjalinkan hubungan cinta dengan Farah (Breep-Breep). Dafi pula sering diusik dengan Mila, Fatin dan Candy.

  • Adam juga pernah digosipkan menjalinkan hubungan cinta dengan Juliana Evans bagaimana hubungan itu sudah berakhir. Kekerapan Dafi dilihat bersama Diana Danielle dalam acara hiburan termasuk berduet dengannya juga pernah disalah tafsir melabelkan mereka bercinta.

  • Adam pernah berang dituduh lelaki gay dan dikatakan kononnya dibela oleh seorang lelaki berusia. Wajah ‘jambu’ Dafi juga tidak lepas dihimpit istilah yang sama, namun kebenaran akhirnya menidakkan apa yang diperkatakan mulut-mulut tidak berinsurans itu.

  • Adam khabarnya sedang bahagia menjalin cinta dengan seorang gadis kacukan yang berasal dari Sabah, manakala Dafi masih belum berpunya.

  • Adam pernah dilantik menjadi duta produk Power Roots, Dafi pula pernah menjayakan kempen Wall’s Cornetto, Brands dan terbaru produk Silky (selama setahun).

  • Jika Adam pernah berlakon di dalam filem sulungnya, Main Main Cinta bersama Misha Omar, Dafi pernah muncul sebagai cameo di dalam filem Apa Kata Hati dan terbaru sedang menanti tayangan filem Sayang U Can Dance Mac ini.

  • Adam meledak dengan lagu Jatuh, Robot, Tak Tahu dan Haruskah. Dafi pula cukup dikenali dengan lagu Bila Terasa Rindu dan Dua Hati Menjadi Satu, duetnya dengan Gita Gutawa.

  • Mengenai Dafi, kata Adam, dia masih muda dan sudah berada di landasan yang betul. Sambil berseloroh, Adam memberitahu dengan wajah Dafi yang comel, Adam ingin membawanya ke pasaran Asia untuk mengembangkan lagi empayar seninya.

  • Mengenai Adam, kata Dafi, dia antara artis Malaysia yang cukup dihormati dan setiap kali persembahan yang dilakukannya tidak mengecewakan. Kata Dafi lagi, dia juga antara artis yang berdikari dan tegar berusaha untuk memantapkan kedudukannya di dalam liga seni serta tidak semata-mata bergantung harap kepada pihak KRU.

    Profil Adam

    Nama: Mohd Aizam Bin Mat Saman

    Nama komersial: Adam

    Asal: Kota Kinabalu, Sabah

    Tarikh lahir: 19 September 1983



    Profil Dafi

    Nama sebenar: Gadaffi Ismail Sabri

    Umur: 20 tahun

    Asal: Petaling Jaya, Selangor

    Tarikh Lahir: 14 Disember 1988

    Tinggi: 168 sentimeter

    Hobi: Menyanyi, melepak

    Penyanyi idola: Justin Timberlake
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: