Thursday, January 29, 2009

Falsafah hidup M Nasir dalam lagu


SIDANG media konsert M Nasir turut dihadiri Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh.

Beri penekanan kepada muzik berbentuk 'fusion' dan sejagat, namun irama popular tidak dilupakan pada persembahan di Istana Budaya

SELAMA 30 tahun dalam industri muzik, membawa lebih 1,500 khazanah seni untuk dikongsi khalayak yang menghargai kekuatan bakatnya pastinya memberi bebanan kepada M Nasir memilih sentuhan terbaik bakal dipersembahkan pada Konsert Alam Muzik M Nasir di Panggung Sari, Istana Budaya selama tiga malam bermula 27 Februari ini.

Akui seniman berusia 51 tahun ini, dia sendiri turut bertanyakan peminatnya di laman interaksi meminta pandangan mereka lagu apa yang patut dinyanyikannya pada tiga malam itu. Pelbagai judul lagu diberikan, namun anak kelahiran Singapura pada 4 Julai 1957 ini mempunyai acuan persembahannya yang tersendiri.

“Saya akui agak terbeban memikirkan soal persembahan namun saya akan membawa peminat untuk mengembara mengikuti perjalanan muzik M Nasir bermula dari 1978 hingga hari ini.

“Pada konsert itu nanti, penggemar saya akan dapat melihat perkembangan muzik M Nasir yang merentasi evolusi dari zaman sentimental, membawa kepada lagu rakyat, Irama Malaysia, sentuhan sejagat dan terbaru, hip hop.

“Saya meminati apa saja muzik kontemporari seperti lagu Kenangan Lalu nyanyian Flybaits. Mungkin ada yang tidak percaya bagaimana saya boleh menghasilkan lagu itu,” katanya pada sidang media Konsert Alam Muzik M Nasir di Bilik Seri Nilam, Istana Budaya, petang Khamis lalu.

M Nasir

Konsert kelima yang dijayakannya bersama Boxoffice Malaysia Sdn Bhd itu juga membawa peminat untuk menghayati falsafah hidup yang dilalui M Nasir selama bergelar insan seni.

Malah kata M Nasir lagi, pengembaraan itu juga akan mendekatkan khalayak kepada kejiwaan seni yang dititinya sehingga kelebihannya diangkat dengan jolokan sebagai sifu industri muzik.

“Saya akan memberi penekanan kepada muzik berbentuk fusion dan sejagat, namun irama popular juga tidak dilupakan pada malam itu,” katanya.

Biarpun digugat pelbagai dugaan untuk merealisasikan impian besar selepas kali terakhir menyempurnakan Konsert Andalusia di Stadium Merdeka, lapan tahun lalu, M Nasir tetap berterima kasih kepada Pengarah Boxoffice Malaysia, Ali Bakar yang mempercayai kekuatan bakat yang dimilikinya.

Penganjur yang dikenalinya sejak masih di Singapura, malah Ali Bakar juga ialah insan yang bertanggungjawab membawanya ke Kuala Lumpur untuk menjayakan konsert di sini.

“Dia tidak pernah jemu dan serik menganjurkan konsert saya. Ali tahu apa yang masyarakat mahukan dan itu adalah satu penghargaan buat saya.

“Saya tidak tahu apakah ini penghargaan yang tertangguh kerana bagi saya, setiap kali selesai menghasilkan album dan masyarakat menyukainya, itu adalah pengiktirafan kepada saya,” katanya.

Selesa tampil solo tanpa penyanyi jemputan

SENTIASA mengikuti perkembangan industri hiburan, bahkan pernah menyaksikan sendiri jatuh bangun seseorang anak seni, M Nasir bertuah kerana dirinya masih dihargai peminat.

Namun dalam mengadakan persembahan, dia yang turut dikenali sebagai penggubah lagu, pelakon serta pelukis itu lebih selesa melakukan sesuatu berdasarkan kesesuaian tubuh badan dan suara.

“Ada penyanyi yang suaranya mampu merentas peredaran masa, ada yang sampai satu masa tidak lagi laku dan telinga juga tidak boleh menerima vokalnya.

“Saya tidak mahu jadi begitu. Bagaimanapun saya menyukai apa saja pembaharuan dan sentiasa memandang ke depan. Untuk menerima perhatian pembeli dan peminat, semua itu bergantung kepada lagu serta penyampaian seseorang penyanyi,” katanya.

Menyifatkan menjayakan konsert sama seperti menyempurnakan sebuah lukisan, justeru M Nasir selesa jika muncul solo tanpa disokong penyanyi jemputan.

“Saya banyak dipengaruhi lukisan, satu dunia halus di mana kita menyempurnakannya berdasarkan apa yang kita sendiri fikirkan.

“Itu yang saya percaya sebagai seorang penyanyi dan saya cuma menyampaikan apa yang ada dalam pemikiran untuk dikongsi bersama peminat.

“Industri muzik sekarang sudah dirosakkan oleh persembahan yang pelbagai, menyebabkan kita sudah terbiasa dengan bermacam-macam konsep tetapi malangnya semua itu tiada makna,” katanya.

Petanda awal yang positif

ALI Bakar ketika ditemui mengakui, dia sendiri diburu ketakutan untuk merealisasikan konsert ini apatah lagi terpaksa berdepan dengan M Nasir yang ada ketika menyukarkannya untuk memberikan jawapan kepada persoalan yang diajukan.

Memahami M Nasir sebagai insan seni, Ali Bakar menyerahkan keseluruhan konsep Konsert Alam Muzik M Nasir kepada penyanyi itu sendiri.

“Biar ia datang dari jiwanya tanpa perlu ada paksaan daripada pihak lain. Saya akui agak mencabar untuk menjayakan konsert ini kerana ada lagu yang saya mahu dia sampaikan, tetapi M Nasir juga mempunyai pilihannya sendiri.

“Ia agak mendebarkan namun saya akan cuba untuk merealisasikan apa yang diimpikannya pada konsert ini. Saya membuka ruang yang luas untuk dia berkarya pada konsert itu,” katanya.

Konsert Alam Muzik M Nasir bagi Ali Bakar turut menyajikan sesuatu yang istimewa kerana ditangani tenaga kerja profesional dan berpengalaman di atas pentas yang direka khas oleh Usop Kopratasa.

“Gabungan lagu, skrip, penataan cahaya dan bunyi selain layar memberikan satu dimensi baru kepada M Nasir yang akan beraksi solo tanpa artis undangan mempersembahkan khazanah lagunya yang sangat berharga,” katanya.

Petanda awal kejayaan konsert itu sudah jelas apabila tiket berharga RM85 untuk ketiga-tiga malam persembahan habis dijual.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: