Thursday, January 29, 2009

Dengarnya...: Lagak bintang realiti


BELUM pun pertarungan bermula, sudah mula buat hal. Banyak betul cerita kurang menyenangkan mengenai seorang artis yang menyertai sebuah pertandingan realiti yang sampai ke pendengaran Cik Normah.

Mulanya Cik Normah buat tak peduli saja. Cik Normah cuba percaya apa yang dilakukan itu untuk memastikan dia muncul terbaik dalam pertandingan yang akan bermula tidak lama lagi.

Mungkin juga dia sudah mula berasa tekanan kerana pertandingan yang disertainya itu memang sengit, tambahan pula memikirkan hadiah lumayan yang ditawarkan. Siapa yang tak nak menang.

Tetapi semakin lama Cik Normah rasa artis baru ini sudah mula menunjukkan belangnya yang sebenar. Ada saja benda yang dipertikai, membuatkan pasukan produksi sudah mula bosan dengan kerenahnya.

Barangkali berasakan dia ada sedikit pengalaman, maka bebas berbuat apa saja. Tapi dia lupa agaknya, segala tindak- tanduknya diperhatikan.

Jika dari awal sudah buat hal, bagaimana mahu memastikan karier berjalan lancar nanti? Daripada orang mahu membantu memberi publisiti, sudahnya nanti awak sendiri yang terkontang-kanting mencari arah.

Melihat sikapnya itu, baru Cik Normah tersedar mengapa perjalanan karier nyanyiannya tidak berjalan lancar selama ini. Ia antara lain berpunca daripada sikapnya sendiri.

Dulu pun dia selalu menyalahkan pihak itu, pihak ini apabila usahanya tidak menjadi. Tidak pernah dia melihat kekurangan diri. Tapi bila benda yang sama berulang kembali, Cik Normah tak hairan jika percubaan keduanya ini akan memperoleh keputusan yang sama.

Pesanan Cik Normah buat artis tu, bakat saja tidak memadai untuk memacu kerjaya ke depan. Banyak hal lain perlu diperhatikan, walaupun kecil dan remeh, ia memainkan peranan besar supaya kita dihormati dan disegani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: