Friday, January 30, 2009

Bukan tin kosong! Nazrah Noor Rahmat...


KALI kedua menunggang kuda, Nazrah Noor Rahmat, 25, semakin mencintai haiwan itu apatah lagi menunggang kuda adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Dua lagi sukan yang digalakkan dalam Islam, berenang dan memanah.

Nazrah menunggang kuda kali pertama ketika dia bercuti di Jordan tahun lalu dan sekali lagi ketika menjalani penggambaran program Al-Hidayah terbitan TV3 yang dirakamkan di 3Q Equestrian, Kuang, Rawang. Buat kali pertamanya juga Nazrah teruja dapat menunggang kuda lumba yang dilatih dan mendapat penjagaan teliti daripada pakar luar negara.

"Ketika di Jordan saya menunggang kuda pelancongan yang kurang dijaga. Kuda itu tidak sempat dijaga rapi kerana setiap hari berulang-alik membawa pelancong mengunjungi Kota Petra. Bagaimanapun, ia tetap pengalaman menarik yang sukar dilupa.

"Berbeza sekali apabila saya berpeluang menunggang kuda lumba milik keluarga jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil di Rawang sewaktu menjayakan rakaman program Al-Hidayah untuk segmen Hayati. Kuda itu bukan saja tinggi tetapi sangat cantik kerana dijaga rapi. Ada 40 ekor dan setiap kuda lumba itu mempunyai penjaga sendiri.

"Menyentuh bulu kuda itu seperti karpet. Lembut, tebal dan berkilat. Bulu di tengkuknya macam rambut anak dara mayang mengurai. Memang mengagumkan. Ingatkan kuda yang saya naik itu paling tinggi dan besar tetapi rupanya Qabil beritahu, ada lagi kuda yang lebih tinggi daripada itu.

"Lain rasanya naik kuda lumba itu. Dengan tunjuk ajar Qabil dan jurulatihnya, sekejap saja dapat menyesuaikan diri dengan kuda itu. Haiwan kesayangan Rasulullah itu juga ada 'angin'. Kalau lambat bagi makan, dia akan buat perangai.

"Berkuda adalah sukan terbaik kerana menunggang kuda menggerakkan seluruh anggota tubuh kita. Lemah gemalainya kuda itu melangkah, ia membantu membentuk postur tubuh dan amat sesuai untuk wanita, makhluk ciptaan Allah yang sangat mementingkan kecantikan," katanya.

Kerjaya sebagai wartawan penyiaran dan pengacara Al-Hidayah hampir tujuh bulan semakin mematangkan gadis manis itu.

Tahun ini juga Nazrah terpaksa bekerja keras kerana semua segmen dalam program itu dibuat di lokasi luar untuk lebih mendekatkan diri dengan penonton.

Al-Hidayah musim baru ini ada lima segmen, Hayati (fokus utama setiap minggu), Amali (berkaitan ilmu feqah), Nada (barang kotemporari berkaitan Islam seperti telefon bimbit yang menunjukkan arah kiblat), Hikmah (memberi panduan seperti adab makan Rasulullah) dan Doa.



"Semua segmen itu dibuat di luar studio. Misalnya untuk segmen Hayati yang setiap minggu memaparkan berlainan topik akan membuat rakaman di luar dengan menjemput mereka berkaitan topik diperkatakan.



"Antara topiknya termasuk petua kebahagiaan rumah tangga. Untuk itu kami menjemput Ustazah Nor Bahyah Mahmud, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, Ustaz Jazlan Abdullah, pakar motivasi, Husim Salleh dan pasangan masing-masing ke lokasi rakaman di Bora Asmara, Sungai Penchala, Damansara.

"Dengan membuat rakaman di luar ia akan menjadi lebih menarik dan hampir dengan penonton. Suasana juga kelihatan santai dengan persekitaran menarik. Untuk topik Anak Soleh dan Solehah pula kita jemput anak yang sudah berjaya serta mendapat didikan sempurna daripada ibu bapa mereka.

"Sekadar bercakap tanpa menonjolkan mereka yang berkaitan isu dibincangkan, ia kurang meninggalkan kesan kepada penonton. Memanglah saya perlu bekerja keras untuk Al-Hidayah musim baru ini tetapi ia cukup menarik kerana tidak lagi terkurung dalam studio. Sambil mendidik penonton, saya pun belajar sama.

"Supaya penyampaian itu lebih berkesan, yang mana boleh dan mampu dilakukan, saya berusaha untuk mengamalkannya sendiri. Rezeki saya dapat terbabit dalam program ini kerana secara tak langsung dapat mendalami pengetahuan agama. Malah saya sendiri banyak bertanya dengan ustaz dan ustazah yang dijemput menjayakan program ini.

"Saya tak mahu menjadi seperti tong kosong, hanya buat bising. Saya perlu menambahkan ilmu pengetahuan supaya faham apa yang akan diucapkan kepada penonton, tidaklah bercakap berpandukan skrip semata-mata. Dengan ilmu yang ada tidaklah malu apabila orang bertanya. Tahulah saya hendak menjawabnya," katanya. Jelasnya, tagline Al-Hidayah musim ini, Tambah Ilmu Tambah Amal. Sejajar dengan itu, Nazrah berkata, dia perlu menambah ilmu dan mengamalkan segala amalan yang dipelajari.

"Saya anggap apabila dipilih mengacarakan program ini, Allah mempermudahkan jalan untuk menyebarkan ilmu yang ada kepada penonton. Bukan senang untuk berkongsi ilmu dengan orang lain. Menerusi Al-Hidayah, kami berusaha untuk menyeimbangkan ilmu dunia dan akhirat kerana setiap amalan kita di dunia adalah jambatan menuju ke akhirat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: