Thursday, January 29, 2009

Ady Bear pastikan keserasian situasi


BERKELULUSAN dalam bidang pentadbiran perniagaan dan kejuruteraan automotif, Amrul Hadi Zulbasri, 36, menemui cinta sebenar dalam dunia artistik.

Diam tidak diam, pemuda yang bermula sebagai 'runner' dalam filem Puteri Impian arahan Aziz M Osman, kemudian dinaikkan taraf dengan melakukan pula kerja konti sebelum akhirnya pengarah seni kini sudah 12 tahun terbabit dalam bidang pembikinan drama serta filem.

"Saya meminati seni sudah lama cuma tidak berkesempatan melanjutkan pengajian dalam bidang ini disebabkan masalah kewangan jadi saya melanjutkan pengajian dalam jurusan lain.

"Bagaimanapun, saya gembira kerana bekerja dalam bidang yang saya impikan. Saya amat berterima kasih kepada Uji Rashid dan Cico kerana merekalah yang memperkenalkan saya kepada Aziz M Osman," katanya.

Berbalik kepada tugasannya untuk drama siri Hartamas, sebagai pengarah seni menjadi kewajipan bagi Amrul atau lebih mesra dipanggil Ady Bear meneliti dan membayangkan kehendak skrip.

"Contohnya penggambaran yang diadakan di rumah ini, saya perlu mengenal pasti karakter Amelia dan latar belakang kerjayanya sebelum memulakan sentuhan.

"Sebagai pereka fesyen, warna, susu atur dan barangan yang digunakan dalam rumah ini mestilah tampak 'classy' sesuai dengan selera seorang pereka fesyen.

"Amelia pula mempunyai seorang anak gadis seorang yang kuat memberontak dan taksub pada muzik rock.

"Jadi untuk memberi gambaran sebenar mengenai perwatakan Edrina kepada penonton, saya letakkan gitar, 'poster' ikon muzik rock dan membiarkan susun atur biliknya bersepah. Supaya penonton terjalin terus dengan karakternya.

"Sementara untuk watak Juita pula, saya memilih warna merah jambu misalnya i-pod yang dia pakai bagi menunjukkan sifat feminin watak itu," katanya.



Ditanya, berapa bajet yang peruntukan Ady Bear berkata, ia tergantung pada sesebuah lokasi.



"Macam hari ini saya hanya mengeluarkan bajet RM8.88 saja kerana rumah keadaan sedia ada sudah cukup menarik dan sesuai dengan karakter Amelia.

"Bagi saya bajet berubah-ubah mengikut keperluan lokasi. Jika banyak barangan yang dipakai maka besarlah bajet. Bagaimanapun, sebagai pengarah seni saya cuba jimatkan kos dan menggunakan kreativiti dengan mengambil barang-barang terpakai kemudian diubah suai mengikut situasi cerita," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: