Monday, December 29, 2008

Saya tidak elak sertai PLKN - Aliff


ALIFF



SUKI


KUALA LUMPUR - "Bukannya untuk mengelak, tapi cuma minta diberi penangguhan. Cepat atau lambat, pasti saya akan tunaikan juga tanggungjawab itu."

Begitulah tegas finalis program realiti TV One In A Million (OIAM), Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Mohd. Satar yang sebelum ini diberi penangguhan daripada menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun lepas kerana terikat dengan beberapa kontrak rakaman.

Menurut Aliff, sebenarnya tidak ada layanan istimewa dalam PLKN termasuk kepada golongan artis tetapi tarikh latihan yang diberi mungkin tidak sesuai dan ia perlu diubah kepada satu tarikh lain.

"Saya cuma minta untuk diberi penangguhan dan bukan pengecualian,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Aliff, 18, berkata, tindakannya bukan mahu mengelakkan diri daripada menyertai PLKN tetapi beliau terikat dengan komitmen awal dan terpaksa mendahulukannya.

Beliau bimbang kariernya sebagai penghibur akan terjejas sekiranya melanggar kontrak dengan beberapa syarikat rakaman yang dibuat sebelum ini.

"Kontrak yang ada juga ditandatangani sebelum mendapat surat daripada pihak kerajaan untuk menyertai PLKN.

"Jadi, untuk mengelak lebih banyak masalah timbul, saya terpaksa buat rayuan di pejabat Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) supaya meluluskan penangguhan saya,'' jelas beliau.

Aliff menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan golongan artis diberi layanan istimewa oleh JLKN sambil menegaskan golongan itu juga terpaksa mengharungi proses yang sama seperti remaja lain.

Sementara itu, seorang lagi artis remaja yang merupakan juara OIAM, Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee pula memberitahu, PLKN merupakan satu program yang baik dan perlu disertai oleh semua remaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: