Friday, December 26, 2008

Kami tak lesap - Pija, Naufara muncul kembali




MASIH ingat lagi nama Naufara danPija? Dahulu dua beradik ini pernah menempa nama sehingga mampu berdiri teguh sebaris dengan penyanyi-penyanyi popular lain.

Apalagi bila mereka tampil membawakan genre muzik berbeza, masing-masing kelihatan mempunyai kekuatan tersendiri.

Namun, entah apa silapnya perjalanan karier dua gadis ini bagaikan tersungkur di tengah jalan walaupun semua orang tahu mereka begitu berbakat.

Lalu, sedikit demi sedikit, suara mereka tenggelam begitu sahaja dan terus menyepi.

Jika mengimbas kembali zaman kegemilangan Naufara atau lebih selesa dipanggil Fara, sekitar tahun 2003 gadis ini pernah mengeluarkan sebuah album yang menggunakan namanya sendiri, Naufara Yassin.




Kemudian, rezekinya semakin memuncak apabila namanya tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik untuk Anugerah Industri Muzik (AIM 2004).

Pija atau Nor Afizah Mohd. Yassin pula mula melakar namanya selepas menjuarai program realiti televisyen, Mentor pada tahun 2005.

Selepas tamatnya Mentor, gadis ini terus disambar oleh sebuah syarikat rakaman dan sempat merakam dua buah lagu iaitu Luka dan Pinochio Si Romeo.

Kelibat Pija dan Naufara kemudian terus hilang. Bermula dari hari 'kelesapan' mereka, mulalah spekulasi demi spekulasi 'bertandang' di dada akhbar.

Muncul semula pada majlis pelancaran single terbaru mereka iaitu Pija & Fara, baru-baru ini, akhirnya, segala persoalan yang pernah menyinggah di fikiran sebelum ini dijawab.


"NAUFARA dan Pija mengharap peluang baru dapat memberikan sinar kepada kerjaya mereka."


Terus saja kepada soalan utama, ke mana menghilangnya mereka? Merajuk atau sudah sudah jemu dek pelbagai cubaan yang tidak menjadi?

"Kami tak pernah hilanglah," seloroh Pija mulakan bicara.

Melihat wajah ceria Pija dan Fara, mereka seolah-olah enggan memandang ke belakang lagi. Cukuplah, apa yang berlaku dahulu.

"Sebenarnya, masalah kami sama. Ada beberapa perselisihan faham antara syarikat rakaman dan beberapa pihak yang lain.

"Rasanya perkara sebegini pun banyak berlaku kepada artis lain di luar sana. Benda yang dah lepas, lepas. Sekarang ini, kami mahu lahirkan sinar baru yang ada dalam diri kami untuk kembali bersaing dalam industri muzik," ujar Pija penuh yakin.

Pastinya soal kecewa atau terkilan tetap terasa pada diri mereka. Sementara menanti peluang yang ada, Pija membuat kaji selidik sendiri mengenai industri muzik tempatan.


"NAUFARA dan Pija (gambar bulat) gembira dengan layanan keluarga baru Prima Music pada majlis pelancaran single terbaru mereka."


Kekecewaannya bagaikan terubat bila dia bertemu dengan Datuk Wah Idris ketika menjayakan projek lagu-lagu patriotik Malaysiaku Gemilang tahun lalu.

Tanpa disangka, komposer yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat rakaman Prima Music itu berminat memberi peluang kepada Pija dan Fara untuk menjadi artis rakaman di bawah syarikat tersebut.

"Bila dah ada peluang di depan mata, apa salahnya kalau kita ambil. Datuk Wah pun tak biarkan masa terbiar macam tu saja. Terus single terbaru kami, Pija & Fara disiapkan.

"Single itu memuatkan tiga buah lagu iaitu Posh, nyanyian duet kami berdua, Terawal & Terakhir, dari saya dan Fara pula membawakan lagu Julangkanlah," katanya.

Hasrat berduet tercapai

Walaupun pernah berjaya melakar nama seorang diri, impian Fara hanya satu. Dapat berduet dengan adiknya, itulah matlamatnya.

"Sebenarnya dari dulu lagi saya teringin nak berduet dengan Pija. Kami nak menyanyi sama-sama. Jadi bila cita-cita kami tercapai rasa gembira sangat.

"Maklumlah, bukan semua penerbit boleh terima untuk ikut cita rasa kami. Bila lagu Posh dihasilkan, kami sangat berpuas hati dengan muziknya.

"Kalau anda perasan, bila saya menyanyi sebahagian lagu itu, ia berunsur ke arah pop, tapi bila Pija yang nyanyi, dia bawa dengan cara rock. Itu yang uniknya lagu ini," ujarnya.

Begitu rancak Fara bercakap bila menceritakan mengenai perkembangan single terbaru mereka itu.

Sangkanya, dengan apa yang berlaku sepanjang tiga tahun lalu dan apa yang berlaku kini adalah di luar jangkaannya.

"Memang bila mengimbas semula kerjaya saya yang suram itu, membuatkan saya berfikir, jika mahu berusaha, kita mampu mencerahkan perkara yang suram itu.

"Walaupun tidak berjaya pada waktu itu, banyak juga pengalaman mengenai muzik sehingga membuatkan diri saya matang untuk setiap perkara," katanya.

Tambahnya, selepas tamat kontrak pada tahun 2005, Fara mula membantu perniagaan keluarganya. Mungkin dengan cara itu, dirinya dapat mencari haluan lain untuk berjaya.

"Lepas habis kontrak, keluarga pun dah memanggil untuk membantu mereka menjalankan perniagaan. Bila diberikan peluang kedua oleh Datuk Wah, saya begitu teruja dan rasa tak sabar-sabar nak menyanyi.

"Mungkin dengan kemunculan baru saya dan Pija, ia mampu memberi nafas segar dalam industri muzik. Lepas ini, jika single kami diterima masyarakat, kami akan bergabung menghasilkan album penuh pula," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: