Friday, December 26, 2008

Janji Farid kepada David Teo


GAYA seorang pengarah muda.


SEPERTI mana yang diketahui, sebelum ini, pelakon terkenal, Farid Kamil mahu meluaskan lagi skop seninya dengan menjadi seorang pengarah filem menerusi skrip filem pertamanya, Remp-It pada tahun 2006.

Namun, impiannya itu hancur berkecai apabila pengarah filem terkenal, Ahmad Idham yang dipilih untuk mengemudi filem berkenaan sehingga ada desas-desus mengatakan Farid berjauh hati dengan Idham dan juga penerbitnya, David Teo.

Setelah hampir dua tahun, kedukaan Farid itu kini bertukar gembira kerana akhirnya peluang itu datang juga kepadanya.

Buat pertama kalinya, Farid akan mengarahkan filem pertamanya yang berjudul Remp-It V3 yang juga merupakan hasil tulisannya yang kini sedang rancak menjalani penggambaran.

Saat bertemu dengannya pada majlis pelancaran dan doa selamat filem berkenaan baru-baru ini, sememangnya wajah ceria terpancar jelas di wajah Farid.

Namun pun begitu, Farid juga tidak dapat menyembunyikan perasaan gemuruh dan gementarnya untuk mengarahkan filem pertamanya ini.

“Remp-It V3 cukup menggusarkan saya kerana ia bukan filem aksi sembarangan. Mungkin akan ada yang cuba membandingkan filem ini dengan Remp-It, tetapi apa yang boleh saya katakan, pendekatannya amat berbeza dan filem saya ini pengisian aksinya lebih terperinci dan dahsyat.

“Untuk itu, saya visualkan apa yang saya mahukan dalam filem ini menerusi story board agar hala tuju filem ini jelas kelihatan. Bukan itu sahaja, saya juga banyak berbincang dengan pengarah aksi dan jurukamera tentang apa yang saya mahukan.

“Saya juga gembira kerana mereka yang terlibat dalam produksi ini juga mereka yang hebat dan sudah terbukti hasil kerja mereka terutama sekali Raja Mukhriz yang bertindak sebagai pengarah sinematografi,” kata Farid panjang lebar.

Selain mengemudi filem ini, Farid juga memegang watak utama di samping Bront Palarae, Lisa Surihani, Intan Ladyana, Diana Danielle, Diana Amir, Corrie Lee, Os, Ruminah Sidek dan ramai lagi.

Bukan itu sahaja, Farid juga memberitahu, sebagai pengarah juga adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membentuk para pelakonnya mengikut skrip dan seperti mana yang dimahukannya.

“Itulah yang akan dapat penonton saksikan kelak menerusi watak yang akan dipegang oleh Lisa yang begitu berbeza dengan apa yang pernah dibawakannya sebelum ini.

“Sebelum ini, saya mahukan Scha dan Irma Hasmie untuk berlakon di dalam filem ini tetapi memandangkan jadual mereka yang agak ketat itu membuatkan mereka terpaksa menolak tawaran saya.

“Seperkara lagi, pemilihan Lisa juga bukanlah disengajakan hanya kerana ramai yang mengatakan kami bercinta. Saya dan Lisa tidak bercinta melainkan kawan rapat sahaja. Lebih-lebih lagi selepas ayahnya meninggal dunia baru-baru ini,” jelas Farid jujur.

Menjadi pengarah di bawah skim pengarah muda Metrowealth International Group (MIG) juga menyaksikan Farid bagaikan sirih pulang ke gagang apabila kembali mengikat kontrak bersama syarikat yang telah memperkenalkan namanya di persada seni tanah air itu.

Pelakon yang mula mencuri perhatian menerusi filem Cinta Kolestrol pada tahun 2003 ini juga memberitahu, MIG kini bertindak menguruskan kerjaya seninya untuk dua tahun.

Berdikari

“Selepas bersama dengan MIG lima tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk berdikari dan mencari hala tuju hidup saya sendiri. Ternyata, daripada pengalaman yang saya peroleh, sudah cukup mematangkan saya dalam mencari yang terbaik untuk karier saya.

“Banyak yang sudah saya pelajari dan saya sedar, tiada apa yang lebih baik daripada apa yang pernah saya perolehi daripada MIG. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk saya dan kini, saya kembali kepada mereka sebagai orang baru

“Saya berjanji untuk memberikan hasil yang terbaik untuk semua pihak dan sudah pastinya, saya tidak mahu merugikan pihak penerbit,” ujarnya tersenyum.

Farid yang dilabelkan sebagai hero generasi baru ini juga tidak menafikan dirinya telah diberi ‘amaran keras’ oleh David sebelum menandatangani kontrak.

“Saya percaya perkara yang telah berlaku sebelum ini membuatkan David lebih berhati-hati dalam memberikan yang terbaik untuk syarikatnya. Saya faham dengan mesej yang cuba disampaikannya kepada saya.

“Saya juga sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan dan pasti akan menerimanya dengan hati terbuka,” kata Farid bersungguh.

Bercerita mengenai hubungannya dengan Idham pula, Farid penuh optimis menjelaskan kisah itu telah lama berlalu dan apa yang penting kini, dia sudah bersedia bekerjasama bersama Idham untuk Remp-It V3 yang menelan belanja RM1.8 juta itu.

Bagi David pula, dia percaya dengan kredibiliti dan kebolehan Farid sebagai seorang pengarah filem dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

“Jika dia bersedia menerima teguran dan kritikan daripada semua pihak, saya yakin dia mampu pergi jauh sebagai seorang pengarah yang disegani,” katanya ringkas penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: